Perlukah Ditambah Kategori Dalam ABPBH?
4 Apr 2012, 08:41am | Miss Ayu |
Demam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) semakin hampir ke puncaknya. Seperti tahun lalu, sebanyak 16 buah kategori dipertandingkan dan sempena penganjuran ke 25 tahun ABPBH, satu anugerah khas telah diperkenalkan untuk menghargai pemenang-pemenang Bintang Paling Popular.
Anugerah yang dinamakan Anugerah Sri Perak ini bakal membariskan nama-nama besar dalam industri seperti Datuk M. Nasir, Ziana Zain, Mawi, Datuk Siti Nurhaliza, Rosyam Nor, Sofea Jane, dan Eman Manan.
Sejujurnya, apa pendapat anda dengan kategori-kategori yang dipertandingkan? Adakah 16 kategori itu memadai atau pihak penganjur boleh memperkenalkan beberapa kategori baru untuk penganjuran akan datang?
Bagi GUA, ada beberapa kategori yang mungkin boleh dipertimbangkan seperti Filem Popular, Drama TV Popular, Program TV Popular dan juga Pasangan Serasi Popular. Keempat-empat kategori ini dirasakan releven dengan perkembangan industri hiburan ketika ini.
Kategori Filem Popular dicadangkan kerana sambutan yang diterima oleh filem-filem Melayu dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini sangat memberangsangkan. Malah banyak filem yang meraih kutipan pecah panggung dengan mudah. Ini menunjukkan peningkatan terhadap sambutan industri perfileman tempatan. Malah, bilangan filem yang ditayangkan di pawagam juga bukan sedikit tetapi cukup banyak untuk disenarai pendek.
Begitu juga dengan Drama Popular. Kebelakangan ini ramai yang menjadi fanatik sesebuah drama sehingga sanggup berkejar balik ke rumah atau tidak membuat sebarang temujanji ketika drama kegemaran bersiaran. Antara drama yang mencetuskan ‘ketagihan’ ialah Nora Elena, Tentang Dhia, Juvana, Cinta Elysa dan Vanilla Coklat.
Benar, kedua-dua kategori ini tidak mempertandingkan seorang bintang, tetapi tidak mustahil kerana pada tahun 1992 kategori Drama TV Popular telah dipertandingkan dan ia dimenangi oleh drama bersiri Opah. Sama seperti kategori Filem Popular, ia pernah dipertandingkan dari tahun 1996 hingga tahun 1998. Kategori ini mungkin digugurkan kerana kekurangan sambutan terhadap filem Melayu ketika itu.
Jika sudah diperkenalkan kategori Filem dan Drama Popular, tidak salah seandainya kategori Pasangan Serasi Popular turut dipertandingkan. GUA percaya peminat di luar sana ada pasangan yang digemari seperti Izara Aishah-Aiman Hakim Ridza dan Tiz Zaqyah–Remy Ishak. Selain itu, mungkin juga boleh dimasukkan kategori Pengarah Filem Popular dan Pengarah Drama Popular.
Bagaimana pula dengan kategori Program Realiti Popular? Relevan atau tidak? Jika dihitung memang banyak program realiti yang diterbitkan oleh stesen televisyen sekarang ini, tetapi tidak semua mendapat maklum balas memberangsangkan. Malah, ada juga yang dihentikan setelah beberapa musim menemui penonton.
Berdasarkan situasi terkini, program Mentor dan Maharaja Lawak meraih populariti yang cukup tinggi. Begitu juga dengan Masterchef Malaysia. Mungkin kategori ini boleh dipertandingkan, cuma mungkin ia terpaksa digugurkan pada masa akan datang apabila program sebegini bukan lagi menjadi pilihan penonton.
Walau apa pun, GUA percaya akhbar Berita Harian sudah membuat pertimbangan sewajarnya dalam menyenaraikan kategori yang ingin dipertandingkan. Artikel ini hanya sekadar pandangan untuk menghangatkan lagi suasana penganjuran ABPBH 2011 tahun ini.
credit to Gua.com.my
|