|
Kes 2/2019 - Bobot (Bahagian III)
Teman Nenek Aton yang merupakan salah seorang jemaah pada malam itu menceritakan, para jemaah tidak dapat menghabiskan solat Isyak ketika itu di rakaat ketiga. Semua berpusu ke luar surau.
Bobot di perkarangan surau sambil mendakap sekumpulan anak-anak baru pulang mengaji. Di antara jemaah dan Bobot terlentang seorang lelaki tak sedarkan diri. Dengan parang terhunus di tangan Bobot, masing-masing teragak-agak nak berhadapan dengan anak arwah Mak Enab.
Tapi bila Bobot main-main mata parang depan anak-anak, baru berderau darah semua. Ditambah pula raungan anak-anak yang semakin nyaring.
Teman Nenek Aton tak ingat siapa, ada seorang jemaah cuba menerjah Bobot.
Aku boleh bayangkan, Bobot seperti samurai dari anime ganas sering aku tonton, sebelah tangan melibas senjata ke penyerangnya.
Teman Nenek Abot kata ia terjadi begitu pantas, laungan amarah terhenti serta-merta dan tubuh terpelanting ke kiri. Sebaik menyentuh bumi, kepala bergoling-guling terpisah dari tubuh.
Bak kata orang putih, all hell break loose.
Ada yang cuba menyerang, ada yang bertempiaran lari. Laman surau dihiasi rumput hijau bertukar warna menjadi hitam di sebalik cahaya bulan dek darah memancut-mancut dari tubuh tidak berkepala yang menurut teman Nenek Aton, masih terhenjut-henjut.
Malam berdarah itu meragut tiga nyawa termasuk seorang anak berusia sekitar 6 tahun yang menjadi mangsa libasan rawak parang panjang. Bobot berjaya meloloskan diri dari kepungan dan menghilangkan diri di hutan berdekatan.
Kawasan surau dikerumuni orang ramai, termasuk dari kampong-kampong berdekatan. Raungan dan ratapan ahli keluarga mangsa berlanjutan hingga subuh.
Pagi itu, surau penuh sehingga melimpah ke jalan. Pertama kali, jiran dari kampong-kampong berdekatan datang membantu, dimana sebelum ini hubungan agak dingin kerana isu persempadanan.
Urusan pengkebumian mangsa dilakukan pada pagi yang sama. Nenek Aton terkenang memori menyaksikan orang-orang dewasa bertengkar berkenaan hala tuju masalah itu. Ada yang mahu perkara itu dibawa ke pihak Inggeris, ada yang mahu membuat buruan Bobot di hutan besar-besaran dan ada yang mahu cari bomoh untuk santaukan Bobot.
Akhirnya, mereka semua sepakat hanya untuk satu perkara.
Petang itu, seluruh penduduk kampong, termasuklah wakil-wakil dan penyibuk-penyibuk dari kampong berhampiran berkumpul di halaman rumah arwah Mak Enab, menyaksikan rumah kayu usang itu dijilat api yang dinyalakan dengan sengaja.
Dengan dramatiknya, malam yang sama, hujan turun dengan lebat. Nenek Aton kata macam dunia nak kiamat kerana mereka sekeluarga berpelukan ketakutan kerana rumah bergoyang-goyang dihempas ribut. Daun-daun tingkap bergegar-gegar, menunggu masa nak melayang dibawa badai.
Bunyi pintu dihentak membuatkan Nenek Aton dan adik-adik mula menangis ketakutan. Suara di luar memanggil-manggil nama ayah Nenek Aton. Dengan pantas ayah membuka pintu dan mendapati jiran mereka yang Nenek Aton sudah lupa nama tercungap-cungap memberitahu sesuatu.
"Jangan keluar! Jangan buka pintu! Tunggu sampai aku balik!" suara tegas ayah Nenek Aton jelas di sebalik dentuman petir.
Ribut petir berterusan hingga ke pagi. Tidur Nenek Aton diganggu dengan jeritan adik-adik. Dia membuka mata melihat adik-adiknya terkinja-kinja di depan pintu yang sudah terbuka.
Di luar Nenek Aton melihat halaman rumah lenyap, hilang di ditelan banjir separas anak tangga kedua. Kemudian dia bergegas ke dapur, ibunya bertungkus lumus cuba menyelamatkan kelengkapan dapur dari dibawa arus. Nenek Aton tahu, mereka akan kelaparan hari itu. Tak lama selepas itu, ayah Nenek Aton pulang dihantar menggunakan sampan dan mengarahkan semua membawa beberapa pakaian dan meninggalkan rumah.
Pertama kali kampong dilandar banjir. Sepanjang perjalanan di dalam sampan, Nenek Aton melihat kampong seperti padang jarak padang tekukur. Dari sampan, mereka menaiki bas ke pekan. Lebih kurang seminggu melepak di sebuah dewan serbaguna, mereka dan lain-lain pulang ke rumah masing-masing.
Sejak dari kejadian Bobot mengganas, ayah Nenek Aton jarang berada di rumah. Ibu pula mengerti tetapi tidak memaklumkan kepada anak-anak. Apa yang Nenek Aton tahu ketika itu, sekiranya ibu masak dengan banyak, maknanya ayah akan 'outstation' beberapa hari. Bila ditanya, dia akan dimarahi ibunya.
Situasi itu bukan sahaja terjadi kepada keluarganya, malah teman-teman sepermainan juga senasib, bapa-bapa mereka jarang berada dirumah. Ada memberitahu bahawa bapanya dan lain sering masuk hutan untuk memburu Bobot.
Dalam diam, Nenek Aton sering berharap supaya Bobot segera ditemui dan dihukum mati. Lagi cepat betina itu lenyap dari dunia ini, lagi bagus. Keganasan Bobot yang menghantui kampong itu betul-betul menganggu kehidupan seharian dia dan yang lain.
Kalau dulu waktu malam pun meriah dengan anak-anak pergi mengaji, orang dewasa solat berjemaah di surau, tukar-tukar lauk makan malam tetapi sejak kejadian di surau, kampong itu akan menjadi kampong hantu sebaik matahari mula menghampiri ufuk barat, semua akan berkurung di rumah. Banjir besar itu pula telah merosakkan banyak tanaman tapi nasib baik ikan sungai membuak-buak, kalau tidak mati kebuluran satu kampong.
Waktu malam pula, jangan kata nak keluar rumah, nak berborak dalam rumah pun tak berani. Takut kalau bising-bising nanti akan menarik perhatian anasir-anasir tak diingini ke rumah. Sesiapa yang sakit perut nak melabur itu, selamat berjaya lah, kalau ada keberanian, boleh lah pergi membuang di luar, kalau tak berani, tahan lah sampai pagi.
Pada satu malam, gara-gara makan kerang basi, perut Nenek Aton memulas-mulas. Memendam perasaan malu, dia terpaksa minta tolong ayah temankan dia buang air besar di jamban sungai terletak lebih kurang 300 meter dari rumah.
Nenek Aton masih ingat betapa sepinya malam tersebut. Sekali-sekala deruan angin membuatkan bulu roma meremang. Pelita yang dibawa tidak dinyalakan kerana bulan penuh menerangi persekitaran. Sewaktu proses melabur dilakukan, Nenek Aton meneran sekuat boleh supaya cepat selesai dan boleh segera pulang ke rumah.
Sebelum masuk ke tempat membuang, ayah Nenek Aton kata dia akan tunggu di jalan, sekitar 30 meter dari jamban dan akan buat bunyi burung tekukur dan Nenek Aton membalas satu tepukan, dan dua tepukan kalau Nenek Aton perlukan pertolongan.
Bunyi burung tekukur.
Satu tepukan.
Selesai. Nenek Aton memperkemaskan diri dan melangkah keluar.
Bunyi burung tekukur.
Tak sempat Nenek Aton nak bertepuk, tepukan berulang-ulang memecah keheningan.
"ATON SINI!" tempikan ayah membuatkan Nenek Aton berlari tak cukup tanah. Dia menoleh ke kanan, kelihatan kelibat manusia di seberang sungai turut berlari menuju ke titi yang menyambung ke jalan menuju rumah.
Nenek Aton dapat merasakan air mata merembes ke pipi. Tak tahu digambarkan bagaimana takutnya ketika itu. Sebaik tiba dekat ayah, pergelangan tangan disambar pantas dan kedua anak-beranak itu berlari menuju ke rumah, sambil melihat kelibat sosok tinggi berambut panjang semakin hampir dengan titi.
"Ayah!, ayah! itu Bo"
"DIAM! JANGAN TEGUR!" kata-kata Nenek Aton dimatikan oleh herdikan ayahnya.
Ada sesuatu yang keras dan laju melintas di hadapan dan mereka menghentikan larian. Sebilah parang panjang terpahat di sebatang pokok, pemegangnya beralun-alun dan berdesing.
Sah. Bobot lempar parangnya dari seberang sungai, dan Nenek Aton yakin, mereka bukan bernasib baik tak jadi mangsa parang terbang, tetapi itu sekadar 'gurauan' dari Bobot.
Ayah menerpa ke arah parang dan cuba menarik keluar. Tapi segala usaha dan kudrat jantan ayah Nenek Aton tidak berjaya mengeluarkan walau seinci pun. Akhirnya mereka membuang masa dan kini Bobot sudah di tengah-tengah titi, bermakna sekitar 50 meter dari mereka.
Kedua beranak itu berlari hingga ke pintu rumah dan bertalu-talu menghentak supaya ibu segera membuka. Nenek Aton ketika itu macam marah sangat dengan ibunya kerana terhegeh-hegeh nak buka pintu. Lama betul rasanya nak tunggu pintu dibuka.
(Bersambung)
|
|