PERTAMA kali digandingkan dalam drama slot Akasia TV3, Rindu Awak 200%, ada rasa kekok yang bertamu di hati masin pelakon Zul Ariffin dan pelakon baharu, Ayda JebatBukan sekejap, malah perasaan seperti orang asing itu berlangsung selama dua minggu penggambaran drama yang sebahagiannya dilakukan di Istanbul itu.
Memiliki perbezaan umur dengan Ayda sebanyak enam tahun, Zul mengakui, bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) itu seorang yang tidak suka duduk diam dan suka bermain.
"Sejujurnya saya mengaku tidak mempunyai keserasian langsung dengan Ayda. Memang kami kena bina keserasian itu secara spontan di set penggambaran kerana masing-masing sibuk untuk keluar bersama mengenali satu sama lain.
"Saya kena ikut rentak dia sebab dia sangat suka bermain dan tidak suka duduk diam. Sehingga kami mahu berbincang mengenai babak juga susah," ungkap Zul sambil ketawa ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, selepas melakonkan babak romantik bersama Ayda, baru pelakon bertubuh sasa itu dapat mengenali sikap sebenar pelakon yang memiliki wajah seiras pelakon Wawa Zainal itu.
Kata Zul, Ayda sebenarnya takut untuk berlakon bersamanya.
Mengakui telahan Zul itu betul, dedah pelakon berasal dari Melaka itu, pada mulanya dia susah untuk berlakon di samping Zul.
"Zul macam seorang abang. Dia serius dan tegas. Saya pula seorang yang gila-gila. Susah sebenarnya mahu menangani dia," jelas Ayda.
Biarpun berkeadaan kekok selama dua minggu penggambaran, sebenarnya ia membantu Ayda dan Zul.
Sebabnya, ujar Ayda, pada episod pertama hingga ketujuh drama yang ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam itu, dia melakonkan watak isteri bernama Armel Aisya yang tidak menyukai suaminya, Zill Faezrul (lakonan Zul).
"Mujurlah, episod pertama hingga ketujuh drama ini, saya dan Zul masih berlakon sebagai suami isteri yang memiliki hubungan yang tegang. Armel seorang keras kepala dan tidak menerima Faezrul sebagai suaminya selepas perkahwinannya diaturkan keluarga," ulas Ayda mengenai wataknya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz3AEWXCTuE
Hakcipta terpelihara
Ayda mahu bina namaMengakui drama Rindu Awak 200% merupakan pembuka langkah untuk kerjaya lakonannya, Ayda memberitahu, dia tidak menyangka rezekinya dalam bidang lakonan terbuka selepas tersingkir pada minggu ketiga AF9.
Menurut Ayda, dia tidak terfikir untuk menjadi seorang pelakon kerana keinginannya ketika itu hanyalah menjadi penyanyi.
"Saya sanggup memilih menyertai AF9 daripada meneruskan pengajian dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, selepas pensyarah meminta saya memilih antara satu bidang daripadanya. Namun, ternyata rezeki tidak memihak kepada saya selepas tersingkir awal pada minggu ketiga.
"Sewaktu saya berfikir untuk masa depan, secara tiba-tiba produksi Zeel Production menawarkan saya membintangi telefilem Cer Citer Cinta di samping pelakon Rozita Che Wan dan Shahir dalam tahun 2012," tutur Ayda yang juga merupakan kakak kepada bekas peserta AF9 iaitu Fina Jebat.
Tidak terhenti di situ, Ayda seterusnya memperoleh tawaran membintangi filem Gila-Gila Remaja 2 di samping pelakon Hairul Azreen dan Bella Daly serta terkini drama Rindu Awak 200%.
Biarpun sibuk berlakon, kata Ayda, dia masih mahu meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian. Bagaimanapun, keinginannya itu terpaksa ditangguhkan untuk beberapa tahun demi membina nama dalam bidang lakonan.
"Bila orang sudah mengenali siapa Ayda Jebat, baru saya akan cuba mengeluarkan lagu single. Saya juga kini sedang menghasilkan beberapa buah lagu namun masih belum puas hati dengan hasilnya," luah Ayda.
Masih dalam mood raya, biarpun sudah beberapa minggu berlalu, Ayda mengakui, sambutan rayanya tidak meriah selepas ibu bapanya bercerai.
Biarpun tidak berasa meriah, namun kongsi anak kelahiran Batu Berendam, Melaka itu, dia tetap memakai baju raya dan menjamah hidangan raya.
"Setiap tahun raya saya tidak meriah. Pakai baju raya tetapi tiada apa yang istimewa. Sebabnya, ibu bapa saya sudah bercerai. Cuma, dua tahun lepas bapa sudah mula menghubungi kami semula. Saya tidak mengharap mereka kembali bersama. Saya juga tahu mereka sekadar menjalinkan hubungan baik tetapi bukan bermaksud bersama kembali," dedah anak sulung daripada empat beradik itu menutup bicara.
Kehidupan peribadi tidak baik - Zul
Berkongsi mengenai wataknya pula, Zul memberitahu, dia membawakan watak sebagai seorang lelaki yang berubah perwatakannya menjadi pemalu dan pendiam selepas kematian tunangnya.
"Keluarga saya dan Armel meminta kami berkahwin. Armel terima atas sebab berdendam kepada bekas kekasihnya. Sebaliknya, saya pula menerima perkahwinan ini selepas melakukan solat sunat Istikharah. Saya dapat petunjuk bahawa dialah calon isteri saya," cerita Zul.
AIDA teruja kerana diberi kepercayaan menjadi watak utama sebagai Armel Aisya dalam drama arahan Aidilfitri Mohamed ini.
|
Menjalani penggambaran di Istanbul selama 12 hari, Zul mengakui, dia berasa seronok menjejakkan kaki buat pertama kali di Istanbul.
"Walaupun waktu siang di Istanbul lebih lama daripada waktu malam, namun saya seronok sebab Istanbul sangat cantik. Perjalanan kami ke sana juga ditaja oleh Jabatan Pelancongan Malaysia," ulas Zul.
Ditebak mengenai status hubungannya bersama penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, pelakon berasal dari Taiping, Perak itu mengakui kehidupan peribadinya buat masa ini tidak begitu bagus.
Enggan mengulas lanjut mengenai masalah yang dihadapi, kata Zul, bukan sahaja hubungan malah ia melibatkan banyak perkara.
Zul juga turut menafikan mengenai hubungannya dengan pelakon Singapura, Elfaeza Ul Haq. Sebaliknya, dia mengakui masih menjalin hubungan dengan Gayatri. "Selama saya bergelar pelakon, sudah terlalu banyak saya kongsikan mengenai kehidupan peribadi kepada masyarakat. Sehinggakan jika saya taip nama di carian Google, kebanyakan cerita yang keluar adalah kontroversi.
"Saya rasa inilah masanya saya tidak perlu berkongsi terlalu mendalam tentang kehidupan peribadi. Saya cuma boleh berkongsi bahawa kehidupan peribadi saya sekarang tidak begitu bagus. Bukan semata-mata kerana hubungan dengan Gayatri tetapi juga banyak perkara lain," dedahnya.
Mengakui kehidupan peribadinya tidak begitu bagus sejak awal 2014, bagaimanapun rezeki pelakon filem Penanggal itu mencurah-curah dengan tawaran lakonan.
Pulang ke Taiping selama seminggu sempena Syawal, Zul mengakui, dia mahu menenangkan diri.
"Aktiviti raya saya sekadar menunaikan solat sunat hari raya, bertemu adik-beradik dan juga kawan-kawan. Saya juga beraya di rumah datuk di Ipoh," ceritanya mengenai sambutan hari rayanya.