Babah angkat lakonan hebat Qi Razali
Qi (dua dari kanan) bersama barisan pelakon pada sesi tayangan eksklusif filem Babah di TGV One Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
KUALA LUMPUR: Selepas tampil dengan lakonan cukup memberi kesan terhadap emosi penonton menerusi filem Babah, pelakon Qi Razali, 47, mengakui tidak mengharapkan sebarang anugerah. Biarpun rata-rata peminat memuji lakonannya dalam filem yang mengangkat nilai kekeluargaan membabitkan hubungan bapa dan anak itu, Qi menyifatkan apa dicapai adalah hasil kerjasama semua barisan pelakon dan produksi. Bagaimanapun, tanpa berselindung, Qi bersyukur sekiranya ada ruang untuk dirinya lolos dalam mana-mana acara pengiktirafan. "Kalau ada rezeki untuk tercalon dalam kategori pelakon lelaki terbaik, saya bersyukur dan kalau tiada pun saya sudah seronok jika filem ini dapat perhatian selayaknya.
"Sejujurnya, saya tidak mengharapkan apa-apa (anugerah), tapi bila dengar dan dapat pujian selepas membintangi filem ini, ada jugalah terbayang untuk dapat anugerah, tapi saya cepat-cepat fokus balik pada kerjaya. "Bagi saya, jika kerja kita kena ikhlas, lakukan terbaik dan mendapat kerjasama pasukan, insya-Allah hasilnya pun akan terbaik," katanya ditemui pada sesi tayangan eksklusif filem Babah di TGV One Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini. Mengulas watak dibawa dalam filem Babah, bekas pemain dram kumpulan OAG itu berkata, awalnya, dia perlu menyesuaikan diri untuk menjadi seorang bapa kerana masih tiada pengalaman.
Justeru, Qi berterima kasih kepada pihak produksi yang memilih dan mempercayainya untuk memegang watak tidak pernah dibawa. "Saya perlu terima kasih pada pihak penerbit dan produksi kerana percayakan saya dengan watak yang diberikan. "Ini kali pertama saya bawa watak berat. Insya-Allah, saya juga akan bergelar bapa, suatu hari nanti. "Jadi, secara tak langsung apa yang dilakonkan adalah cara saya akan melayani anak saya nanti," katanya. Filem Babah meraih kutipan sebanyak RM6 juta sejak mula ditayangkan di pawagam pada 5 Disember lalu. Atas sambutan menggalakkan diterima, filem terbitan Nads Media Entertainment itu akan menembusi pasaran filem di Borneo termasuk negara seberang seperti Singapura dan Indonesia. Filem Babah mengambil dua kisah tular mengenai hubungan antara bapa dan anak. Produksi kemudian menggabungkannya untuk dijadikan jalan cerita menarik dan dekat dengan kehidupan masyarakat.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/12/1342462/babah-angkat-lakonan-hebat-qi-razali
|