Edited by Kangkung1M at 2-2-2018 11:00 PM
Terlajak Perahu Boleh Diundur Terlajak Terbang Tular Padahnya
Umum mengetahui tentang penularan video ‘terbang di atas eskalator’ yang melibatkan seorang pelakon bernama Hairul Azreen yang bertebaran di seluruh portal berita dan hiburan tempatan.
Ekoran daripada penularan video tersebut, netizen meluahkan rasa kecewa terhadap perilaku tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab Hairul Azreen tersebut.
Mereka juga mengecam kerana perbuatan vandalisme tersebut dirakam dengan berlatarbelakangkan hilaian ketawa dan sengihan si pelaku, si perakam video dan konco-konconya, seolah-olah bangga mempertontonkan aksi tidak bertamadun sebegitu di khalayak ramai, dan bangga memperakui yang pihak keselamatan komplek tersebut tidak berani menegur.
Malah video yang dirakam tersebut turut dimuat naik di media sosial untuk dikongsikan dengan para peminat yang rata-rata golongan muda dan remaja.
Hairul, tidak salah jika anda ingin menarik perhatian orang ramai untuk sedar akan ketibaan dan kehadiran 'public figure' seperti anda di lokasi kejadian, tetapi janganlah melakukan sesuatu yang boleh membawa kerosakan dan membahayakan.
Jangan kerana terlalu taksub untuk mendapatkan ‘ like’ yang banyak di media sosial, anda mempamer dan mempromosikan sesuatu yang boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anak-anak remaja yang menjadikan anda sebagai idola mereka.
Pepatah Melayu ada mengatakan satu dijentik, sepuluh yang rebah.
Semoga jentikan manja penulis ini berjaya merebahkan bukan setakat satu, sepuluh, malah semua ‘public figure’ di luar sana agar lebih bertanggungjawab dengan apa yang mereka kongsikan untuk tatapan umum.
Penulis pasti ada pihak yang mengecam tindakan penularan video ini dengan mengganggap perbuatan vandalisme seperti ini adalah satu isu yang remeh dan sengaja diperbesarkan.
Penulis ingin mengajak anda bersimulasi sebentar dan bayangkan apa yang akan terjadi jika panel kaca handrails eskalator di mana Hairul melakukan aksi ‘terbang’ tersebut pecah dan kacanya berderai berterbangan menimpa orang ramai. Ataupun jika Hairul gagal mengimbangi badannya dan jatuh menimpa para penguna yang lain. Apakah natijahnya? Adakah ia akan mewujudkan suasana yang meriah dengan hiruk pikuk ketawa riang seperti di malam raya, atau…biarlah Hairul sendiri yang sambung ayat ini.
Semoga penularan seperti ini dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada Hairul, penulis, anda, dan mereka di luar sana, malah penulis juga berharap agar ianya dapat membuka mata pihak-pihak yang berkaitan untuk mengambil langkah kawalan sewajarnya agar kejadian sama tidak berulang lagi.
Jangan kerana kes ini melibatkan seorang selebriti, pihak berwajib hanya diam membisu membutakan mata dan memekakkan telinga.
Penguatkuasaan undang-undang dengan menjatuhkan hukuman kepada pelaku vandalisme seperti ini harus dilakukan bagi mencegah gejala seperti ini daripada berleluasa. Ini sebagai tauladan dan pengajaran kepada vandal atau bakal-bakal vandal agar menjauhi perbuatan seperti ini.
Pesanan penulis kepada ‘public figure’ sekalian, berfikirlah dengan menggunakan akal yang waras dan matang sebelum melakukan sesuatu. Mungkin tindakan tersebut tampak ‘kool dan hebat’ di screen iPhone kita, tapi sebenarnya ianya memberi ‘gangguan’ kepada kesejahteraan dan kepentingan orang lain.
Jika kita kekurangan ilmu untuk membuat penilaian tentang baik buruk sesuatu perkara, buanglah ego dan bertanyalah kepada mereka yang lebih arif.
Seeloknya gunakan masa terluang yang ada dengan menerokai dunia ilmu. Nescaya dengan ilmu pengetahuan yang kita ada, kita akan lebih dihormati dan dipandang tinggi, dan bukan dipandang sebagai badut tidak bertauliah.
Bak kata pepatah, biar miskin harta tapi kaya ilmu dan budi bahasa.
Renung-renungkan.
|