Anggota tentera tak lapor tugas dikhuatiri hilang
Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat bagi mengesan seorang anggota tentera, Dodit Wilman, 25. - Foto ihsan polis
JOHOR BAHRU: Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat bagi mengesan seorang anggota tentera dari Kem Tentera Iskandar, Mersing yang dikhuatiri hilang sejak 8 Disember lalu. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata Dodit Wilman, 25, yang berketurunan etnik Rungus dari Sabah, sepatutnya melapor diri di kem berkenaan pada 16 Disember lalu, namun sehingga kini gagal dikesan. "Kali terakhir dia dilaporkan dilihat meninggalkan rumah keluarga di Program Perumahan Rakyat (PPR) Cahaya Senibong, Masai, jam 7.30 malam, 8 Disember lalu. "Laporan polis kemudian dibuat kakak iparnya di Balai Polis Permas Jaya jam 12.38 tengah hari, 17 Disember lalu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, hari ini. Beliau berkata, kakak ipar anggota tentera itu memaklumkan, pihak kem berkenaan yang memberitahu bahawa lelaki itu tidak melaporkan diri di kem pada 16 Disember lalu. Menurutnya, kenderaan terakhir digunakan anggota berkenaan adalah Perodua Viva bernombor pendaftaran BKS 1233 warna oren. Raub berkata, cubaan ahli keluarga menghubungi lelaki bujang itu melalui telefon bimbitnya juga tidak berjaya. "Hebahan sudah dibuat di semua balai polis berhampiran untuk membantu usaha mengesannya. "Semakan melalui Integrated Police Reporting System (IPRS) mendapati tiada laporan tangkapan atau kemalangan yang membabitkannya "Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Johor Bahru Selatan sedang menjalankan siasatan dan tindakan lanjut untuk mengesan keberadaan lelaki itu," katanya. Raub berkata, sebarang maklumat, boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1340403/anggota-tentera-tak-lapor-tugas-dikhuatiri-hilang
|