|
Edited by Nicki_Meow at 17-5-2015 08:19 PM
Tangga yang membawanya ke tingkat bawah itu dituruni dengan langkah perlahan lalu Zaffar terus menuju ke ruang tamu. Tatkala jejaknya sampai ke situ, dia sengaja memperlahankan langkah, tidak mahu kehadirannya di sedari oleh tetamu itu. Di kerusi nan empuk di ruangan itu, kelibat tetamunya tampak jelas. Sayangnya, hanya bahagian kepala lelaki itu sahaja yang kelihatan. Tetamu itu duduk dengan membelakanginya menyebabkan dia langsung tidak dapat melihat wajah itu. Semakin dia cuba meneka, semakin buntu pula jadinya.
Zaffar semakin menghampiri lelaki itu. Hadirnya berseorangan tanpa teman.
“Ehem.” Zaffar sengaja berdehem kecil, menandakan kehadirannya. Lelaki itu segera bangun lalu berpaling. Mereka saling berpandangan seketika. Zaffar mengamati wajah itu. Seperti pernah dia lihat sebelum ini cuma, entah di mana.
“Yang mulia Memanda Zaffar.” Lelaki itu membuat tunduk hormat lalu Zaffar membalas dengan anggukan kecil. Tidak lepas matanya memandang muka tetamunya itu.
“Selamat datang wahai tetamuku.” Zaffar bermanis kata.
“Terima kasih kerana sudi menerima kehadiran ini.” Tetamunya itu membalas. Zaffar tersenyum mendengar kata-kata itu.
“Jemputlah duduk.” Pelawa Zaffar.
“Terima kasih sekali lagi, tuan.”
Mereka kemudiannya melabuh duduk di kerusi, saling berhadapan.
“Maaf seandainya kehadiranku mengganggu tuan kala ini.” Si tetamu bersuara.
“Aku pasti, kedatanganmu ke sini pastinya dengan tujuan penting.” Ujar Zaffar.
“Sangat penting.” Tetamunya terangguk-angguk.
“Sebelum itu, apa kata tuan memperkenalkan diri, agar bicara kita menjadi lebih mudah.”
“Iya, sudah semestinya.” Si tetamu mengangguk lagi. Zaffar kekal memerhati.
“Namaku...Rouman.”
“Rouman?” Kening Zaffar terangkat. “Memanda Rouman?”
Rouman tersenyum lebar. |
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Nicki_Meow at 17-5-2015 08:58 PM
“Kau kelihatan terkejut? Apakah kehadiranku ini sememangnnya mengganggu?” Rouman menyoal apabila mereka terdiam agak lama.
“Oh...tidak. Bukan begitu. Maaf. Aku cuma tidak menyangka Tuan Roumanlah yang menjadi tetamuku pada hari ini.”
“Aku gembira kau kenal dengan namaku.”
“Masakan tidak? Kemakmuran Lembah Keramat adalah kerana kebijaksanaan penasihat seperti tuan.” Zaffar memuji. Rouman tersenyum namun kemudiannya, senyuman itu pudar perlahan-lahan.
“Itu dulu, Zaffar. Sekarang Lembah Keramat dilanda sumpahan. Tanahnya tidak subur seperti dulu. Para pedagang juga sudah tidak mahu lagi datang menyinggah.” Tutur Rouman. “Semuanya kerana peperangan itu...” Kekesalan jelas tergambar di wajah. Dia kemudian tertunduk sendiri. Zaffar mendiamkan diri, langsung tidak membalas kata-kata Rouman berkenaan dengan Lembah Keramat.
“Tuan Rouman....” Panggil Zaffar apabila Rouman kekal begitu untuk seketika. Mendengar teguran itu, Rouman mengangkat kepalanya.
“Maaf. Rasanya aku terlalu memikirkan tentang Lembah Keramat.” Rouman tergeleng beberapa kali.
“Apa tujuan sebenar Tuan Rouman ke mari?” Zaffar bertanya. Rouman tersenyum sedikit.
“Tidak lama dahulu. Desa Keramat Maiya menerima kunjungan dari tiga orang anak muda. Dua daripadanya adalah anak-anakmu.”
Zaffar terangguk-angguk.
“Mereka amat tangkas dan cukup berani.” Rouman memuji.
“Mereka itu kebanggaanku.” Zaffar tersenyum dalam diam. Di depan Zamzam dan Zuhril, dia tidak akan sekali-kali mengucapkan kata-kata seperti itu.
“Mereka mencari berita tentang anak Raja Zulkhan. Menurut anakmu Zuhril, penyokong-penyokong Raja Zulkhan masih wujud.”
Zaffar diam. Tidak mengiyakan mahupun menidakkan.
“Kehadiran mereka juga telah memberikan satu sinar baru buat kami di Lembah Keramat.”
“Apa maksud Tuan Rouman?” Kening Zaffar berkerut.
“Aku pasti, anak-anakmu telah bercerita tentang Mak Inang. Pengasuh anak Raja Zulkhan dahulu.”
Zaffar mengangguk.
“Selepas anak-anakmu meninggalkan Keramat Maiya, Mak Inang telah menunjukkan perubahan, yang aku rasa...sangat bagus. Entah bagaimana, ingatan Mak Inang pulih sedikit demi sedikit. Dan dia telah menceritakan lebih banyak perkara tentang anak Raja Zulkhan itu.”
“Jadi?” Zaffar masih samar-samar.
“Begini...Zaffar.” Rouman menarik nafas lalu mula bercerita. Zaffar mendengar semuanya dengan penuh perhatian.
|
|
|
|
|
|
|
|
Begini.. sebenarnya Ipo adalah anak raja zulkhan yg telah disumpah menjadi helang emas. |
|
|
|
|
|
|
|
amboi...Ipo ni jelmaan atau sumpahan?
|
|
|
|
|
|
|
|
“Apakah ceritamu ini semuanya benar, Rouman?” Zaffar meminta kepastian setelah Rouman mengakhiri cerita.
“Iya...benar.” Rouman mengangguk. “Semuanya berlaku sebelum kau dilantik memegang jawatan ini, Zaffar. Ketika bapamu masih lagi hidup. Ketika bapamu menjadi Penasihat Diraja.”
“Mak Inang yakin, dia akan dapat mengenali anak Raja Zulkhan itu sekiranya diberi kesempatan untuk bertemu empat mata.” Rouman menyambung kata.
Zaffar diam. Dia tergeleng-tergeleng. Kemudian, bunyi tawa terbit dari mulutnya, semakin lama semakin kuat. Rouman memandang, pelik.
“Benarlah ramalan itu. Anak Raja Zulkhan itu berdekatan dengan takhta. Aku tak sangka, ianya semudah ini.” Zaffar berkata sendiri lalu tertawa lagi. Rouman seolah-olah tidak wujud dihadapannya ketika ini.
“Zaffar...” Panggil Rouman, masih merenung dengan penuh tanda-tanya. Zaffar seperti sudah gila.
“Maaf, Tuan Rouman.” Zaffar mengawal ketawanya lalu akhirnya hilang. Tidak perlu dia menjelaskan apa yang bermain difikirannya kala ini.
“Jadi...Tuan Rouman ke mari adalah untuk...”
“Meminta bantuanmu.” Pantas Rouman memotong kata-kata Zaffar.
“Bantuan yang bagaimana?”
“Aku mahu membawa Mak Inang untuk bertemu dengan anak Raja Zulkhan itu. Aku yakin, sebagai Penasihat Diraja, pastinya kau dapat menunaikan permintaan ini dengan mudah.”
“Apa balasan yang akan kau berikan sekiranya aku bersetuju?” Zaffar bertanya menyebabkan dahi Rouman berkerut. Lama dia terdiam. Dalam hati, langsung dia tidak menyangka yang Zaffar akan meminta balasan. Pada hematnya, bantuan yang dipinta tidaklah terlalu besar.
“Aku tak punya apa-apa, Zaffar. Tiada apa yang mampu aku balas selain ucapan terima kasih.” Jawab Rouman, mendatar.
“Mengapa anak Raja Zulkhan itu terlalu penting buatmu?” Zaffar melontar soalan lagi.
“Kerana dia sahaja yang mampu merungkai sumpahan yang melanda Lembah Keramat. Anak Raja Zulkhan akan kembalikan semula kemakmuran pada tanah itu.” Rouman menghela nafas panjang usai berkata-kata.
“Sumpahan...” Ketawa sinis terbit dari mulut Zaffar. Percaya benar Rouman bahawa Lembah Keramat itu dilanda sumpahan.
“Tolonglah Zaffar. Aku tidak tahu, siapa lagi yang dapat membantu, jika bukan kau.” Rouman sepertinya merayu walaupun dalam masa yang sama, dia mula jengkel dengan perlakuan Zaffar yang seolah-olah memperlekehkan permintaannya.
“Aku sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk membantumu.” Tutur Zaffar. Rouman memandangnya tanpa suara.
“Tapi, aku punya perancangan yang lain. Mahukah kau turut serta?”
“Rancangan apa?” Rouman meminta penjelasan.
“Aku memberi jaminan, jika kau menyertai aku, Lembah Keramat akan kembali makmur.”
Rouman masih menunggu Zaffar meneruskan bicaranya.
“Bukan itu saja. Aku berjanji, kau akan memperolehi kembali segala harta dan kuasa yang telah terlepas dari genggamanmu. Malah, lebih daripada apa yang pernah kau ada sebelum ini.”
Riak wajah Rouman berubah. Tawaran Zaffar mula mengujakannya.
“Dan aku juga menjanjikan sesuatu yang lebih baik lagi.”
“Apa?”
“Amariya.”
“Apa kau sudah gila?” Nada suara Rouman meninggi.
“Aku berkata benar. Seluruh kekuasaan Amariya akan berada dalam genggaman kita sekiranya kau bersetuju untuk turut serta dalam rancanganku ini.”
“Kau tidak bersenda, Zaffar?” Rouman masih tidak percaya.
“Tidak.” Zaffar menjawab tegas. Dia perlu meyakinkan Rouman untuk turut serta dalam rancangan ini. Dia akan mempergunakan Rouman agar cita-citanya tercapai. Saki-baki tentera dan penyokong Raja Zulkhan yang masih ada di Lembah Keramat dapat membantunya mencapai impian nan satu.
“Bagaimana, Rouman? Tidakkah kau mahu hidup senang-lenang dan berkuasa seperti masa lalu?” Zaffar galak mempengaruhi lelaki tamak haloba itu.
“Baiklah, aku setuju.” Rouman memberi jawapan setelah lama berfikir. Tawaran yang diberikan Zaffar tidak mampu ditolak begitu saja.
Zaffar tersenyum mendengar jawapan Rouman. Sungguh dia tidak sangka, jalannya menakhluk Amariya menjadi semudah ini.
“Jadi, apa rancanganmu wahai Zaffar?”
Senyuman Zaffar menjadi lebih lebar. |
|
|
|
|
|
|
|
Aku rasakan...salah satu soalan yang bertindan itu pasti berbunyi begini....
'Bila agaknya cerita ko ni boleh habis? '
|
|
|
|
|
|
|
|
Bak kata kamus dewan, Pusang = Hati tidak tenteram.
Maksud lain, Perut busung...
|
|
|
|
|
|
|
|
Abaikan / skip ajelah part tu kalau camtu. Apa yg ada kat sini semua draft aje. Main taip ikut suka, apa yg terfikir. Kalau ada rezeki dibukukan (KALAU ), mungkin akan ditukar plot / gaya etc.
Lagipun, kalau memanjang pasal Qi, Syakilla, Arania...mcm susah pulak nak cari point kesinambungan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Nicki_Meow replied at 17-5-2015 10:37 PM
Bak kata kamus dewan, Pusang = Hati tidak tenteram.
Aku ingatkan typo |
|
|
|
|
|
|
|
baru nak feeling sekali cerita dah abis |
|
|
|
|
|
|
|
Nak sambunglah ni.... sikit...
|
|
|
|
|
|
|
|
BAB 41
Tidak tahu sudah berapa jauh perjalanan telah dilalui. Pada awal tadi, ada juga beberapa kali mereka berbual namun kini, tiada lagi bicara yang terbit antara mereka. Rouman sedikit sangsi. Tingkah-laku Zaffar membuatkan teka-teki bermain dalam kepala. Zaffar masih tidak memberitahu secara terperinci akan rancangannya. Dan kini, dia berasa berbelah-bahagi.
Rouman berpaling sedikit ke belakang. Dalam diam, dia menjeling pandang ke arah dua orang pengikut Zaffar itu. Mereka berpakaian serba hitam dengan burka menutup muka. Yang kelihatan hanyalah mata sahaja. Tampak sungguh misteri. Lebih aneh lagi, pengikut Zaffar itu muncul hanya setelah perjalanan mereka telah menghampiri lorong masuk ke Omarin.
Pohonan Rhuda yang tumbuh dikiri dan kanan jalan turut membuatkan Rouman berasa tidak selesa. Ianya terlalu banyak, melebihi apa yang pernah dia lihat di Lembah Keramat. Pohon berduri itu amat beracun. Jika terkena, boleh mendatangkan maut seandainya tidak ditawar lebih awal.
Dia mula rasa berbolak-balik, bersoal-jawab sendiri. Haruskah niat untuk mengikut rancangan Zaffar itu diteruskan? Hatinya sudah mulai khuatir namun nafsunya mendambakan harta dan kekayaan yang dijanjikan Zaffar. Bagaimana jika Zaffar berbohong? Bagaimana jika rancangan ini gagal?
Nafsunya lebih menguasai fikiran lalu dia terus membuang segala rasa syak wasangka yang bertunas dalam diri.
Perjalanan mereka terhenti dihadapan sebuah rumah agam. Terpencil sekali. Suasana juga sunyi sepi sehinggakan cengkerik pun sepertinya lundung mahu berbunyi.
“Apa tujuan kau membawa aku ke mari?” Rouman melontar soalan tanpa memandang Zaffar. Matanya terarah pada rumah agak yang tersergam kaku. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya.
“Aku mahu kau bertemu dengan seseorang.” Jawab Zaffar.
“Siapa?”
“Dia adalah penghalang kepada rancangan kita.”
Dahi Rouman berkerut, mahukan lebih penjelasan.
“Sudah lama aku menyimpan dia di rumah ini. Pada sangkaanku, dia mampu membantu aku untuk melaksanakan semua rancanganku. Tapi aku silap. Dia hanya membebankan. Lebih-lebih lagi kini, dia sudah kemamaran. Perilakunya seperti orang gila.” Terang Zaffar.
“Dia sudah tidak berguna lagi.” Zaffar memandang Rouman seraya berkata. Lelaki yang 12 tahun lebih tua darinya itu masih kelihatan bingung.
“Kenapa aku perlu berjumpa dengan dia?” Rouman menyoal lagi.
“Sebagai bukti kerelaan kau untuk turut serta dalam rancangan ini.”
“Berterus-terang saja, Zaffar. Apa yang kau mahu aku lakukan?”
“Aku mahu kau bunuh dia.”
Rouman terdiam seketika. Permintaan Zaffar itu agak berat untuk dituruti.
“Aku bukan pembunuh, Zaffar.”
Zaffar hanya tersenyum sinis. “Kau mahukan harta dan kemewahan. Tapi, kerja enteng sebegini pun kau tidak sanggup.”
“Enteng? Membunuh kau katakan kerja enteng? Apakah kau sedang berlucu?” Suara Rouman meninggi.
“Lelaki itu tahu segala-galanya. Jika rahsia ini terbongkar, buruk akibatnya.”
Rouman menggeleng.
“Dia sudah tidak waras, Rouman. Lambat-laun dia akan mati juga.”
“Jadi, biarkanlah saja dia mati.”
Zaffar ketawa sinis. Kepala tergeleng-geleng dua tiga kali. “Nampaknya, kau masih belum dapat menangkap maksudku. Aku cuma mahu lihat kau membuktikan kerelaan.”
Rouman kembali membisu.
“Ah...aku faham. Tidak mengapa, Rouman. Kau boleh menarik diri. Pulanglah ke Lembah Keramat yang disumpah. Teruskan hidup kau yang melarat sehingga habis nyawamu.”
“Mereka-mereka ini akan mengiringi perjalananmu ke Lembah Keramat nanti.” Sambung Zaffar.
Rouman memandang ke arah pengikut Zaffar. Serta-merta, dia memahami maksud kata-kata Zaffar itu. Kekesalan mula terasa, berbaur amarah. Namun, dia tidak mampu bertindak apa-apa kala ini.
“Kau mengugut aku?” Suara Rouman kembali meninggi.
“Aku mahu melaksanakan cita-citaku. Tak akan aku biarkan sesiapa menjadi penghalang. Kau sudah tahu sebahagian dari rencanaku dan aku tak dapat melepaskan kau begitu saja.”
Rouman menghela nafas panjang. Sepatutnya, dia sudah boleh menjangka semua ini bakal berlaku. Sudah tentu, Zaffar tidak akan memberikan saja semua kemewahan dan harta begitu saja tanpa balasan.
“Terimalah tawaranku, Rouman. Kau tidak akan rugi apa-apa. Lagipun, lelaki ini sudah tidak siuman. Menunggu mati. Kita hanya mempercepatkan takdirnya sahaja.” Zaffar memujuk.
Rouman terdiam lama. Pandangan bertukar diantara Zaffar dan dua orang pengikutnya. Jika dia menolak, akibatnya pasti buruk. Lebih baik jika dia menurut sahaja kehendak Zaffar. Lagipun, dia tidak akan rugi. Harta dan kemewahan yang dijanjikan Zaffar lebih bernilai dari nyawa lelaki yang tidak siuman.
“Baiklah.” Rouman memberi jawapan pasti.“Tapi...aku mahu tahu, siapa sebenarnya lelaki yang nyawanya perlu aku tamatkan?”
Zaffar memandang Rouman. Senyuman yang terukir dibibirnya sukar ditafsirkan.
“Kau kenal akan lelaki itu.” Tutur Zaffar.
“Siapa dia?”
“Dia adalah....Judasi.”
Mata Rouman terbeliak. |
|
|
|
|
|
|
|
sikitnya....mana Qi dgn Syakilla... |
|
|
|
|
|
|
|
sambung la lebih-lebih sikit
|
|
|
|
|
|
|
|
Errr...next chapter
|
|
|
|
|
|
|
|
Okay...sambung lagi sikit....
|
|
|
|
|
|
|
|
Lembah Keramat
Rembang petang begini, Rouman menghabiskan masa di kedai kecil miliknya di Pekan Keramat. Tiada pengunjung saat ini. Dia juga tidak berapa ambil peduli tentang itu. Kala ini, otaknya masih memikirkan perkara yang berlaku dua hari lepas. Ketika dia berada di daerah Omarin. Saat dia membuat perjanjian dengan Zaffar.
Saat mata belati tajam ditusuk ke perut Judasi tanpa belas kasihan….
Tiga kali. Sebanyak itu tikaman dibuat sehingga lelaki itu rebah dengan darah yang membuak-buak keluar dari bekas tusukan.
Wajah Judasi sebelum hilang nyawa juga masih kekal diingatan. Mata hitam lelaki itu bagai tidak kelihatan. Hanya mata putih saja dan menurut Zaffar, Judasi telah buta. Anehnya, Judasi sepertinya tidak dimamah usia. Raut wajahnya masih sama seperti kali terakhir Rouman lihat hampir dua puluh tahun yang lalu. Anehnya juga, Judasi tahu bahawa nyawanya bakal berakhir. Lelaki itu seolah-olah telah bersedia. Ketika dia dan Zaffar masuk ke ruang utama rumah agam itu, Judasi hanya duduk bertafakur di tengah-tengah ruang. Langsung tidak berganjak walaupun menyedari, dia telah dikunjungi tetamu.
“Kau rupanya, Rouman.”
Itu kata Judasi saat dia menghampiri. Sungguh, ketika itu dia benar-benar terkejut kerana ketika memasuki ruang ini tadi, dia langsung tidak memperkenalkan diri.
“Kau sangka, aku tidak tahu?”
Dia kekal membisu sambil memerhati. Sempat juga dia bertukar pandangan dengan Zaffar yang langsung tidak terkesan dengan kata-kata Judasi.
“Kau sudah silap membuat keputusan. Apa kau fikir, Zaffar akan memberikan segala yang kau mahu? Lelaki itu sangat keji, Rouman. Dialah punca kepada semua yang berlaku. Dia pengkhianat terbesar.”
“Lakukan sekarang!”
Arahan Zaffar itu dituruti. Lalu dengan belati tajam ditangan, dia menikam Judasi. Lelaki itu langsung tak melawan. Tidak tahu adakah kerana sememangnya Judasi sedang menunggu mati ataupun kerana dia sudah tidak lagi siuman.
“Aku mohon maaf, Judasi.”
Kata-kata itu sempat dibisikkan pada telinga Judasi saat lelaki itu rebah.
“Yang batil tetap akan kalah, Rouman. Begitulah aturan yang telah ditetapkan.”
Itu adalah ayat terakhir yang diucap Judasi sebelum mata lelaki itu tertutup. Kata-kata itu juga yang terngiang-ngiang ditelinganya saat ini.
Sungguh, dia tidak tahu apa yang terjadi selepas itu. Zaffar mengatakan mayat Judasi itu akan diuruskan oleh orang suruhannya. Dan dia, terus meninggalkan rumah agam itu bersama janji-janji Zaffar.
Kekesalan sebenarnya masih berbekas dalam jiwa. Nyawanya bakal hilang jika memilih untuk tidak menuruti suruhan Zaffar. Iya, akalnya rasa terbejat saat
Zaffar membuat ugutan. Dia belum mahu mati lagi. Apatah lagi, mati dengan sia-sia.
“Jangan terlalu memikirkan perkara itu. Ianya sudah berlaku. Tiada apa-apa lagi yang mampu kau buat. Judasi juga sudah tidak siuman. Sama ada dia hidup atau mati, tiada bezanya. Lagipun, kau akan mendapat segala harta dan kemewahan. Usah gundah lagi…”
Seperti ada suara berbisik padanya. Itu adalah suara hati untuk menenangkan diri sendiri. Untuk cuba mewajarkan tindakkannya membunuh Judasi.
“Rouman!”
Suara itu mematikan monolog dalam minda. Lantas, Rouman berpaling ke belakang. Di hadapan pintu masuk kedai kecilnya, dua susuk tubuh berdiri kaku. Dua pasang mata memerhatikannya.
Rouman menarik nafas panjang. |
|
|
|
|
|
|
|
Kena bunuh jugak ka Rouman nie...percaya lg kat Zaffar.. |
|
|
|
|
|
|
|
kalau la citer ni dlm versi buku..memang aku skip2 part rouman zaffar segala neh..
baca part qi ngan arania ngan syakilla je..
bila lost nanti aku patah balik baca laju2 part yg aku skip2 tu |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|