|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 78 ~
Kakinya dipaut bumi
“Kalau tak diganggu oleh komunis, mahu pergi ke Ulu Kuang,” ujar datuk sebaik sahaja turun dari teksi. Saya senyum, datuk memang agak aneh orangnya.
Kalau hatinya tergerak untuk singgah di mana-mana dalam perjalanan Ia akan turun di tempat yang diingininya, sedangkan ia sudah pun membayar tambang perjalanan terus.
Saya masih ingat, satu waktu datuk mengajak saya pergi ke Kluang, naik keretapi dari Taiping. Bila sampai di Segamat ia terus turun untuk ke Jemantah menemui kawan lamanya, padahal datuk sudah membayar tambang Taiping - Kluang. Inilah keganjilan datuk, kerana itu nenek tidak suka mengikutnya berjalan ke mana-mana.
“Apa yang kamu menungkan, mari kita pergi stesen bas”, jerkah datuk.
Apa yang bermain dalam kepala terus hilang. Kami naik beca menuju ke bas stesen. Sampai di stesen bas, datuk jumpa kawan dan kawannya itu mengajak Ia minum kopi.
Hampir dua puluh minit saya termangu di kedai kopi, mendengar datuk bercerita dengan kawannya. Perkara yang diceritakan fasal kebun pisang, fasal kebun dan musuh-musuh yang merosakkan tanaman mereka. Kemudian cerita fasal anak cucu. Memang bosan mendengar cerita seperti itu.
Bila saya memperlihatkan wajah kurang senang, barulah datuk sedar tentang kesilapan kecil yang dilakukannya. Ia segera membayar air minuman dan bangun. Bersalaman dengan kawannya dan terus keluar dari kedai. Saya gembira dengan tindakan yang dilakukan oleh datuk.
“Dia tu aku kenal sepuluh tahun yang lalu, orang kuat politik menentang Inggeris, dia tu bekas anggota Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai oleh Boestamam,” beritahu datuk pada saya.
“Macam mana tuk boleh kenal dengannya?” Saya cungkil rahsia.
“Dulu, aku pergi ke hospital Ipoh tengok anak buah aku yang kerja atendan di situ, aku terjumpa dia mengambil ubat. Aku tegur dia, kemudian dia menceritakan pada aku, dia orang tahanan politik di jalan Asby, dia juga kirim salam pada ayah saudara kamu yang jadi anggota API macamnya,” jelas datuk.
Saya anggukkan kepala.
(Boestamam yang dimaksudkan oleh datuk ialah Datuk Ahmad Boestamam yang meninggal dunia pada 18 November 1983 di Kuala Lumpur. Angkatan Pemuda Insaf atau API adalah parti politik yang dipimpinnya untuk memperjuangkan kemerdekaan tanahair).
“Kamu puas hati dengan keterangan aku ni Tamar?”
“Puas hati tuk.”
“Lain kali kamu mesti ingat, kalau aku jumpa dengan sesiapa dan bercakap panjang, itu tandanya orang yang aku lawan bercakap tu, bukan sebarang orang.”
”Ada juga orang yang tuk kenal di tepi jalan tapi datuk bercakap panjang,” saya lihat datuk bagaikan tersentak mendengar kata-kata saya itu.
Mungkin datuk tidak terdaya menafikan kata-kata saya itu. Saya lihat datuk tersenyum sambil merenung ke arah manusia yang mundar-mandir di bas stesen. Bunyi enjin bas menderu-deru mengganggu anak telinga saya.
“Barangkali itu kelemahan datuk kamu Tamar, aku suka bercakap dengan siapa saja,” datuk semacam mengeluh.
Bahu saya ditepuknya berkali-kali. Saya dan datuk menuju ke bas yang akan menuju ke bandar Batu Gajah. Sebaik sahaja penjual tiket menghampiri datuk dan enjin bas dihidupkan datuk segera bangun dan turun dari bas.
“Kenapa tuk?”
“Habis kite nak naik apa tuk.”
“Aku rasa tak sedap hati naik bas.”
“Mari kita ke tempat teksi, kita naik teksi.”
Meluat rasa hati dengan sikap datuk. Mahu sahaja saya membangkang rancangannya. Tetapi, bila mengingatkan perangai datuk yang pantang dibantah atau dihalang itu, saya menurut sahaja. Hati kecil saya tetap membebel berjalan di tengah panas menuju ke perhentian teksi yang letaknya agak jauh dari stesen bas.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 78 ~
Kakinya dipaut bumi
Kami sampai ke bandar Batu Gajah dan singgah di masjid untuk sembahyang Zuhur. Datuk berkenalan dengan seorang penjual sayur di pasar Batu Gajah yang cara kebetulan menunaikan fardhu Zuhur di situ.
Saya yang duduk bersandar di dinding masjid dalam jarak kira-kira sepuluh kaki dari mereka, tidak dapat mendengar dengan jelas perbualan mereka. Dari raut wajah datuk, saya dapat meneka yang penjual sayur ini menyampaikan sesuatu yang menarik minat hati datuk.
Mereka bersalaman dan berpisah. Sebelum keluar dari masjid penjual sayur berkulit hitam dengan tahi lalat sebesar biji betik di bibir kanan tersenyum ke arah saya. Senyuman mesra itu saya balas.
Saya dan datuk meninggalkan masjid. Kami menyusur kaki lima bangunan kedai. Bandar Batu Gajah terbahagi dua, sebelah selatan disebut Pekan Lama dan sebelah utara disebut Pekan Baru. Saya dan datuk sedang menuju ke arah Pekan Baru.
“Ke mana?”
Seorang lelaki berkulit cerah, berbadan gempal menegur datuk. Raut wajahnya tampan ada mirip aktor Allahyarham Nordin Ahmad.
“Ha kamu, kamu anak Haji Alwi,” suara datuk riang.
Datuk segera menarik tangan anak muda itu ke dalam sebuah restoran milik India Muslim. Haji Alwi memang saya kenal. Ia orang kampung saya berasal dari Kerinci, Pulau Sumarera Barat.
Kami duduk di meja tepi sebelah kanan kedal. Tersorok dari pandangan orang ramai.
“Kamu buat apa di sini Zamri?” Tanya datuk.
“Sejak saya tinggalkan kampung, saya terus masuk polis, nama saya juga sudah bertukar, bukannya Zamri lagi.”
“Habis, kamu pakai nama apa? Nama orang putih?”
“Pakai nama Islam, nama saya sekarang Mat Noor, sekarang ni nak ke mana?” Soal Mat Noor.
“Aku nak ke Bakap nak jumpa kawan.”
“Hum,” Mat Noor tersenyum.
Minuman yang dipesan oleh Mat Noor pun diletakkan atas meja. Sambil minum, Mat Noor menceritakan sebab utama meninggalkan kampung kerana takut diberkas oleb lnggeris. Ketika ia menjadi orang kuat parti Boestamam.
Mat Noor berhijrah ke Kajang. Bila kerajaan lnggeris memerintahkan setiap rakyat Tanah Melayu mesti memiliki kad pengenalan dan setiap yang mahu membuat kad pengenalan mesti membawa surat tarikh lahir atau surat beranak. Kesempatan itu digunakan dengan sebaik mungkin oleh Mat Noor untuk masa depannya.
Ia memberitahu Pegawai Daerah surat lahirnya sudah hilang. Ia diperintah membuat surat sumpah di depan hakim dengan membawa dua orang saksi. Perintah itu dipatuhi oleh Mat Noor. Sejak hari itu, nama Zamri yang diberikan oleh orang tuanya tidak digunakan lagi. Di mana-mana orang mengenalinya sebagai Mat Noor.
“Kalau saya pakal nama lain, sudah tentu saya kena masuk kem tahanan, saya tak boleh ingat , saya buat kad pengenalan masa saya dah berumur dua puluh tahun,” Mat Noor mengenangkan kisah lalu.
“Kamu dah berumur dua puluh empat tahun, aku pula lagilah tua, dah dekat lima puluh, orang kampung jadi takut, maklumlah itulah kali pertama kad pengenalan diperkenalkan pada kita, aku ingat masa nak ambil gambar kad pengenalan ayah kamu pakai serban, masa tu dia baru balik dari Mekah,” kata datuk dan mereka terus ketawa serentak.
Pertemuan yang tidak diduga antara datuk dengan Mat Noor, sedikit sebanyak memberikan pengetahuan pada saya bagaimana anak-anak kampung berjuang menentang penjajah untuk kebebasan tanahair tercinta.
Ini membuktikan anak-anak Melayu di kampung, memang manusia yang berjiwa besar, tahu menilai dan menghargai erti kebebasan dan kemerdekaan tanahair. Selain dari itu, saya juga mendapat tahu bahawa penggunaan kad pengenalan mula digunakan di tanahair sejak zaman Inggeris lagi.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 78 ~
Kakinya dipaut bumi
“Bia balik dari Bakap nanti, singgahlah di rumah saya, duduk semalam dua, boleh jumpa anak bini saya,” pelawa Mat Noor ketika keluar dari restoran tersebut.
“Tengok keadaan dulu, kalau ada masa boleh singgah.”
“Kalau mahu mesti ada masa,” jawab Mat Noor yang berusia sekitar 39-40-an. Ia senyum ke arah saya. Kami meninggalkan Mat Noor di kaki lima restoran.
Datuk amat gembira, ia dapat bertemu dengan kawan lamanya di Kampung Bakap. Melihat bentuk tubuh dan wajah kawan datuk itu, saya dapat menduga yang usia tidak jauh berbeza dengan datuk. Kalau datuk tua cuma beberapa tahun sahaja. Begitu juga dengan dirinya, kalau Ia muda, cuma dalam jarak beberapa tahun.
Sementara datuk dan kawannya itu berborak panjang di anjung rumah, saya terus berdiri di bawah pohon kelapa dalam sinaran matahari petang yang redup.
Saya merenung ke sebuah kapal korek yang berada dalam danau yang luas. Kapal Korek itu sedang mengeluarkan bijih timah dari perut bumi.
Ingin sekali saya menghampiri kapal korek yang besar itu. Tetapi, datuk melarangnya dengan alasan takut saya jatuh ke dalam lombong yang airnya cukup dalam. Kawan datuk juga tidal menggalakkan saya pergi ke tempat tersebut. Katanya ada budak yang jatuh dan mati kerana tanah tempat mereka
berdiri rebak dan mereka jatuh dalam lombong.
Sedang asyik memerhatikan kapal korek tersebut, seorang budak lelaki menghampiri saya. Saya kira usianya sama dengan saya kerana tinggi kami hampir sama. Dengan wajah yang ramah Ia memperkenalkan dirinya sebagai Ramli.
Dalam beberapa minit sahaja kami jadi begitu mesra. Ayah Ramli menjadi buruh kapal korek yang saya lihat. Ramli yang ramah itu menceritakan pada saya, dulu kawasan yang menjadi lombong itu adalah perkampungan dan penuh dengan rumah orang Melayu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 79 ~
Wanita tanpa wajah berjalan malam
Pemilik lombong itu membeli tanah milik orang Melayu dengan harga yang mahal. Dan orang Melayu yang menjual tanah itu diberi tapak rumah yang terletak di satu kawasan lain. Tidak lama lagi tulang mayat yang ada di tanah perkuburan tersebut akan dipindahkan ke tempat lain. Segala perbelanjaan ditanggung oleh pihak tuan punya lombong.
“Tidak lama lagi kampung kami tinggal nama saja, semua rumah yang ada ini, paling lama boleh bertahan lima enam bulan saja lagi, lepas tu terpaksa pindah. Di bawah tempat kita berdiri ini penuh dengan bijih,” kata Ramli.
“Macam mana kalau mereka tak mahu pindah?”
“Mana boleh semuanya sudah dijual duit pun dah ambil dari tauke lombong,” jawab Ramli.
“Rugi mereka jual tanah,” kata saya.
“Awak tak boleh cakap macam ini, kalau mereka tak jual tanah, mereka juga tak boleh kaya, takkan nak cangkul tanah cari bijih, lagipun tawaran yang datang ni memang tinggi,” kata Ramli.
Bila saya fikirkan dengan halus cakapnya itu memang ada benarnya.
Rupanya Ramli yang hampir sebaya dengan saya itu, terlalu pintar bercakap. Ia boleh bercerita tentang apa sahaja yang ada hubung kait dengan Kampung Bakap. Kami terus bercerita panjang. Kami berpisah ketika azan Maghrib dilaungkan.
Ramli kini menjadi pelombong Melayu yang berjaya, setelah ia meletakkan jawatan sebagai Pengarah Galian Negeri Perak. Anak sulungnya menuntut ilmu kedoktoran di England.
Kawan datuk itu namanya, Alang Abdul Rauf. Datuk memanggilnya Rauf sahaja. Sebagai orang kampung yang sederhana, ia mempunyai dua ekar tanah dusun dan tiga ekar ladang getah. Hasil dari tanah miliknya itu menjadi sumber pendapatannya.
Sejak enam bulan kebelakangan ini, ia membuat kerja tambahan menggali kubur lama waktu malam. Tulang-temulang dari kubur lama itu dikumpulkan lalu ditanam di kawasan perkuburan yang baru. Semua pembiayaan kerja itu diuruskan oleh pihak tuan punya lombong yang mahu mencari bijih di kawasan tersebut.
Alang Rauf dibantu oleh empat orang lain. Mereka menjalankan kerja selepas waktu Isyak hingga ke Subuh. Sepanjang tugas itu dilaksanakan mereka tidak menghadapi sebarang kejadian aneh. Semua kerja berjalan dengan lancar.
“Bagaimana, kalau kamu dengan cucu kamu ikut kami malam ini,” Alang Abdul Rauf membuat tawaran pada datuk setelah selesai sembahyang Isyak.
Bulu tengkuk saya jadi meremang mendengar pelawaan itu. Ah, itu kerja gila, pergi kubur waktu malam dan menggalinya pula, rungut saya dalam hati.
“Minta maaf, malam ni saya ada berjanji dengan orang yang berniaga di pasar Batu Gajah,” ujar datuk tenang.
“Nak ke mana pula?”
“Orang tu beritahu saya, di kampung tempat dia menyewa rumah dikawal oleb satu lembaga putih, sesiapa yang datang ke kampungnya dengan niat nak mencuri atau mengambil sesuatu lembaga putih akan menganggunya.”
“Aku tahu cerita tu kalau tak silap di Kampung Dhobi di Pekan Lama.”
“Agaknya, begitulah,” datuk menelan air liur.
Alang Abdul Rauf menggaru pipi kiri. Kemudian menyedut rokok daun dengan penuh nafsu. Suara cengkerik jelas kedengaran menendang gegendang telinga.
Alang Abdul Rauf pun terus bercerita pada datuk. Kira-kira tiga bulan yang latu, waktu musim buah durian gugur. Tiga orang pemuda India yang nakal telah datang ke kampung tersebut untuk mencuri buah durian waktu malam.
Sedang mereka mengutip buah durian, tiba-tiba mereka terpandang lembaga putih memakai kain telekung. Pada sangkaan pemuda-pemuda India itu, orang-orang kampung cuba menakutkan mereka.
Mereka terus membalingkan kulit durian dan dahan kayu ke arah lembaga tersebt. Lembaga itu tidak bersuara malah terus duduk di tunggul buruk. Kerana memikirkan yang bertelekung itu orang perempuan, ketiga-tiga pemuda India ini terus rapat ke arah lembaga tersebut.
Bila sahaja lembaga itu merenung ke arah mereka. Ketiga-tiga pemuda India itu terus menjerit dan lari lintang-pukang. Dua hari kemudian seorang daripada pemuda India itu mati gantung diri. Manakala yang dua orang terus gila dan dihantar ke hospital Bahagia Tanjung Rambutan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 79 ~
Wanita tanpa wajah berjalan malam
“Apa yang mereka lihat.” tanya datuk.
“Entahlah,aku pun tak tahu.”
“Pelik juga ceritanya.”
“Kalau kamu nak tahu, kamu pergi sendiri. Aku nak mulakan kerja, kawan-kawan aku dah menunggu,” Alang Abdul Rauf segera bangun menuju ke pintu.
“Tak apalah Rauf, aku juga nak pergi ke tempat yang aku janjikan dengan peniaga tu,” datuk terus bangun.
“Kamu balik atau tidak malam ni?”
“Belum tahu lagi.”
“Tak apalah, kalau kamu balik dan aku tak ada di rumah kamu ketuk aja pintu, nanti orang rumah aku bukakan pintu.”
Alang Abdul Rauf terus melangkah menuju ke tempat kerjanya. Saya dan datuk juga mengatur langkah.
Sampai sahaja di depan Masjid Batu Gajah, kenalan datuk sudah pun menunggu. Di situ kami menuju ke rumahnya. Isterinya menghidangkan kopi dan biskut kering.
“Awak ni berminat sangat nampaknya, apa awak seorang pawang dan nak menghalaunya,” tanya peniaga tersebut pada datuk.
Ketika itu jam sudah pun hampir pukul dua belas malam.
“Bukan apa-apa, saya cuma nak tengok, apakah cerita betul atau sengaja diada-adakan.”
“Kalau awak tak mahu, biar kami pergi berdua.”
“Tak apalah. saya hantarkan awak ke hujung kampung.”
“Boleh juga,” jawab datuk.
Tepat pukul dua belas malam. Kami meninggalkan rumah. Peniaga tersebut cuma menghantar kami hingga sampai ke pohon jejawi yang besar. Ia membekalkan lampu suluh pada datuk. Saya mula resah. Angin malam yang bertiup lembut terus menjamah wajah saya.
“Saya setakat sini saja, awak tahu menuju rumah saya,” lembut benar suara peniaga.
Membayangkan rasa cemas.
“Saya tahu menuju rumah awak, terima kasih.”
“Sebenarnya, saya tak pula suruh awak buat macam ni, saya sekadar bercerita saja di masjid tadi, saya fikirkan awak olok-olok aje nak datang rupa-rupanya awak sungguh-sungguh.”
“Saya memang suka buat kerja macam ni,” jawab datuk.
Dan peniaga itu meninggalkan kami di bawah pepohon jejawi yang besar itu.
Dua tiga kali saya meraba pangkal dagu bila terdengar lolongan anjing bersahut-sahutan dari bahagian tengah dan hujung kampung. Lolongan anjing itu disertai dengan salakan yang tidak putus-putus macam menyalak sesuatu. Saya lihat ke langit, saya nampak awan putih bersih bergerak lemah ke selatan.
Suara katak dan cengkerik menambahkan rasa seram. Beberapa helai daun jejawi yang tua gugur lalu menyentuh kepala saya. Datuk tetap tenang menyuluh ke kiri dan ke kanan dengan lampu picitnya. Melihat dari langkah dan gerak tangan datuk, menggambarkan yang dirinya tidak perlu membuat apa-apa persiapan.
Datuk tidak membaca ayat-ayat suci. Ia kelihatan tenang dan adakalanya ia tersenyum panjang. Datuk duduk bersila di pangkal jejawi. Akar-akar yang bergayutan di pohon jejawi bergerak sendiri macam ada orang yang menolaknya. Akar-akar itu memukul belakang datuk dan adakalanya memukul bahagian punggung saya. Terasa juga sakitnya tetapi, saya diamkan sahaja.
“Suluh baik-baik,” datuk mengingatkan saya.
Arahan datuk saya patuhi.
Saya terdengar kicau burung murai. Pelik juga macam mana murai boleh berkicau malam. Bila kicau mural itu berhenti. Ada titik air jatuh dari dahan jejawi, macam air dari perahan kain yang dibasuh. Air itu turun berjuntai. Salakan anjing beransur perlahan begitu juga dengan lolongannya.
Terdengar bunyi kaki orang memijak reranting dan dedaun kering dalam gelap malam. Bila disuluh dengan lampu picit. Tidak ada sesuatu yang dapat dilihat.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 79 ~
Wanita tanpa wajah berjalan malam
Bulu tengkuk saya meremang. Badan saya terasa seram sejuk.
Beberapa ekor tikus liar. Entah dari mana datangnya melintas di depan saya dan datuk. Seekor anjing yang bertompok hitam putih melompat di depan datuk dan terus hilang. Beberapa saat kemudian terdengar suara anjing menderam macam menegur sesuatu.
“Dia tidak datang kerana kita tidak mengambil sesuatu di sini,” kata datuk pada saya sambil bangun.
Ia menggeliat.
“Apa yang kita nak ambil tuk?”
“Ikut aku Tamar.”
Saya lihat datuk menyuluh ke kanan. Dari suluhan lampu picit ternampak beberapa batang pokok delima yang berdaun lebat. Datuk mengajak saya menuju ke pohon delima itu. Datuk serahkan lampu picit pada saya.
“Suluh, biar aku petik sebiji dua,” beritahu datuk pada saya.
“Baik tuk.”
Datuk memetik dua biji delima yang masak ranum. Dia masukkan ke dalam sakunya dan datuk melangkah ke arah pohon kelapa yang berada di depannya.
Tiba-tiba dari balik pohon kelapa itu muncul lembaga manusia, memakai kain putih menutup seluruh tubuh hingga ke kaki. Hujung kain putihnya mengheret dedaun dan ranting yang melekat dan mengeluarkan bunyi macam bunyi pinggan yang ditarik atas meja tanpa alas.
Ia berjalan di depan kami dalam jarak lima belas kaki. Bila datuk dan saya berhenti berjalan. Ia juga turut berhenti. Bila datuk mengalihkan perjalanan ke arah lain. Ia hilang untuk beberapa minit dan akhirnya muncul di depan kami.
Perbuatannya itu seolah-olah menyekat perjalanan saya dan datuk. Lebih dari satu jam kami berlegar-legar di situ. Ke mana sahaja kami pergi lembaga putih tetap berada di depan. Ia tidak menoleh ke arah saya dan datuk. Bagaikan ia mahu menyembunyikan wajahnya dari kami.
Ia juga tidak mengganggu atau cuba menakutkan saya dan datuk. Saya mengajak datuk pulang. Malangnya datuk tidak mahu mendengar cakap saya.
“Dia tidak berkasar, susah aku nak menduganya,” beritahu datuk pada saya dengan wajah sedikit kecewa.
Dan datuk cuba mendekatinya. Lembaga putih itu bagaikan tahu ape yang tersirat di hati datuk. Ia tidak bergerak, tertegun dengan membelakangi kami.
Datuk terus menepuk bahu lembaga putih. Dengan pantas lembaga itu memusingkan badannya. Menentang wajah saya dan datuk. Badan saya menggeletar dan lembik. Saya jatuh tanpa berkata apa-apa. Datuk tidak berganjak, Ia tetap menentang wajah lembaga putih itu.
Macam mana badan saya tidak lembik dan jatuh. Lembaga putih itu tidak berwajah. Bahagian muka yang tidak ditutup dengan kain putih itu sebenarnya kosong, nampak berlubang dan hitam pekat tetapi ada kilau cahaya yang amat kecil yang menyebabkan mata jadi silau bila ditentang. Kepala terasa pening.
“Aku cuma nak tengok kamu saja, apa yang aku ambil aku pulangkan ke tempatnya,” kata datuk pada lembaga itu. Perlahan-lahan lembaga itu memusingkan badannya ke arah depan. Datuk membangunkan saya. Lembaga putih masih berdiri di tempatnya.
“Kita mengambil hak orang,” beritahu datuk pada saya. Tangan saya ditariknya menuju ke pohon delima. Datuk mengeluarkan buah delima dari koceknya dan diletakkan di pangkal pokok delima. Bila kami toleh ke arah lembaga putih, lembaga itu sudah pun hilang.
Salakan dan lolongan anjing kedengaran bertalu-talu dari arah selatan. Datuk menarik tangan saya menuju ke rumah peniaga. Saya terkejut, peniaga itu menunggu kami di kaki tangga. Jam tua di tengah rumahnya berdenting dua kali.
“Jumpa?” Tanyanya.
“Jumpa, saya dah jumpa,” balas datuk.
“Apa katanya?”
“Dia mengawal kampung awak,” jawab datuk. Peniaga itu agak terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh datuk.
Ia termenung. Dengan nada suara yang lembut ia berkata; “Ramai orang yang berkata, seperti yang awak katakan itu.” Datuk tersenyum panjang.
Datuk terus duduk di sisinya. Saya masih berdiri.
Peniaga itu mengajak datuk tidur di rumahnya dengan alasan ia mahu datuk bercerita, bagaimana lembaga putih itu boleh berkeliaran di kampungnya. Ia juga ingin tahu betulkah lembaga itu menjelma untuk mengawal kampung tersebut.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 79 ~
Wanita tanpa wajah berjalan malam
Datuk menolak permintaannya. Datuk juga berjanji padanya, satu hari nanti, datuk akan menceritakan padanya bagaimana lembaga putih tu boleh muncul. Peniaga itu puas hati dengan penjelasan datuk dan merestui perjalanan kampung ke rumah Alang Abdul Rauf.
Along Abdul Rauf sudah pun pulang kerja ketika kami tiba di rumahnya. Ia sudah menyediakan tilam dan bantal untuk kami. Macam selalu, sebelum tidur datuk akan melakukan sembahyang sunat. Mungkin kerana terlalu letih, Along Abdul Rauf tidak mahu bercerita panjang.
“Esok kamu ceritakan pada aku apa yang kamu alami,” kata Along Abdul Rauf.
Saya merasa senang hati. Saya dapat tidur cepat. Sudah tidak tahan rasa menahan kelopak mata.
“Tak apalah Rauf, esok saja.”
“Tidurlah.” Alang Abdul Rauf meninggalkan kami.
Pagi itu, kami sarapan pagi di anjung rumah Along Abdul Rauf. Goreng pisang yang disediakan oleh isterinya membuat saya makan dengan penuh selera sekali.
“Kamu jumpa?” Along Rauf memulakan ceritanya.
“Jumpa dan bercakap dengannya.”
“Apa katanya?”
“Aku saja yang bercakap tetapi dia diam juga.”
“Ah, kamu mempermainkan aku.” balas Along Abdul Rauf sambil ketawa panjang.
Saya cuma tersenyum lebar. Seronok juga melihat orang tua berjenaka.
Tanpa diminta oleh datuk, Along Abdul Rauf terus bercerita berhubung dengan lembaga putih. Menurutnya, lembaga itu sudah lama muncul di tempat tersebut.
Beberapa orang pawang telah dipanggil untuk menghalaunya tetapi tidak berjaya. Penduduk di tempat tersebut terpaksa bertindak demikian kerana ramai penduduk yang terserempak dengan lembaga putih bila pulang malam. Malah, ada yang jatuh sakit.
“Saya rasa susah nak mencari orang yang boleh menghalaunya,” tercetus suara datuk.
“Kalau macam tu susahlah.”
“Tak susah satu masa nanti lembaga ini akan hilang dengan sendirinya, asalkan penduduk di situ selalu mengadakan pembacaan yasin secara beramai-ramai di masjid atau surau pada setiap malam Jumaat,” jelas datuk dengan tenang.
Datuk terus memberitahu Alang Abdul Rauf, lembaga putih itu ada hubungannya dengan orang kaya atau orang yang mula meneroka kampung tersebut. Orang kaya atau peneroka kampung tersebut memelihara sejenis makhluk untuk jadi pengapit dirinya atau untuk menjaga hartanya.
“Ilmu itu apa namanya?” Mendadak sahaja Alang Abdul Rauf bertanya.
“Setengah orang menyebutnya Pengapit dan setengah orang pula menyebutnya sebagai kembar” jelas datuk.
“Tujuannya baik, tentu tak salah?”
“Sebagal orang islam kenapa kita mesti minta pertolongan dari makhluk lain seperti syaitan atan jin, kenapa kita tidak memohon pertolongan dari Allah? Perbuatan begini sudah salah boleh memesongkan iktikad kita.”
“Tapi, kita mohon sesuatu yang baik untuk keselamatan diri dan Allah perkenankan,” Alang Abdul Rauf tidak puas hati.
“Bukankah Allah itu pemurah, apa yang diminta akan diberi tetapi, Allah memberikan fikiran pada kita untuk berfikir bagi memilih mana yang baik, Allah suka pada orang berfikir.” Sanggah datuk.
Dan datuk bersedia melanjutkannya kalau Alang Abdul Rauf mahu berhujah tentang perkara itu.
“Kamu tahu tak, apakah makhluk pengapit dari jin dan syaitan atau sebagainya,” tanya Alang Abdul Rauf lagi.
“Boleh jadi kedua-duanya sekali,” pendek datuk menjawab.
“Hum,” keluh Alang Abdul Rauf.
Datuk terus menerangkan pada Alang Abdul Rauf, bila orang yang mengamalkan ilmu pengapit itu meninggal dunia. Pengapitnya akan berkeliaran mencari kerabat si mati yang mahu membelanya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 79 ~
Wanita tanpa wajah berjalan malam
Andainya keluarga si mati itu tidak tahu simpati membela pengapit atau tidak mahu menyambung usaha si mati, pengapitnya berkeliaran ke mana sahaja di kawasan kampung yang pernah jadi tempat tinggal si mati. Pengapit itu akan menjadi penunggu kampung secara sukarela dengan harapan ada orang yang bersimpati untuk mengambilnya menjadi pengapit.
“Kamu tahu macam mana cara orang itu membela pengapitnya?” Cungkil Alang Abdul Rauf.
“Dia mengadakan kenduri, membaca doa tetapi, lebihan dari jamuan kenduri itu diambil diletakkan dalam niru lalu dicampakkan ke dalam hutan atau di bawah pokok besar.”
“Mana kamu tahu semuanya ni?”
“Aku pernah berdamping dengan orang yang membela pengapit tetapi, aku tak mengamalkannya kerana perbuatan ini bertentang dengan ajaran Agama Islam.”
“Hebat juga kamu ni?”
“Bagi aku, kita harus menyerahkan diri pada Allah minta perlindungan pada-Nya, buat apa yang disuruh, jauh dari kerja yang ditegahnya. Ajaran Islam kalau diikut dengan betul, kita selamat dunia akhirat.”
“Tetapi, ada orang campur-adukkan ajaran agama dengan ilmu dunia, campur dengan perkara tahyul, bagaimana pendapat kamu.”
“Itu cara yang salah dan tanggungjawab orang itu untuk berhadapan dengan Allah,” datuk tersenyum.
Biji mata Alang Abdul Rauf terbeliak bila datuk memberitahunya, jika datuk memasukkan segenggam tanah ke arah muka lembaga putih yang kosong itu, pasti lembaga itu akan mengikutnya dan akan menjadi hamba datuk sampai datuk mati.
“Bukan itu tujuan aku mencarinya, aku sekadar nak tahu saja. kalau aku tanya orang-orang kampung tersebut, aku mesti dapat tahu pengapit siapa lembaga putih itu, tapi kena makan masa yang panjang.”
“Tak usah buat kerja salah tu,” tahan Alang Abdul Rauf.
“Kalau kamu tak cakap pun, aku tak akan membuatnya.”
“Bagus, malam esok ikut aku ke kubur korek mayat,” pelawa Alang Abdul Rauf.
“Boleh juga,” jawab datuk pantas.
Saya menarik nafas panjang.
Saya tinggalkan datuk dan Alang Abdul Rauf yang rancak berbual. Saya duduk berjuntai kaki di tangga, melihat pepohon yang berdaun lebat di halaman rumah Alang Abdul Rauf. Dari radio jiran tetangga Alang Abdul Rauf, saya menikmati lagu ‘Tak Mengapa’ dendangan A. Rahman Hassan yang popular ketika itu.
Hati saya jadi terhibur lalu menepuk tangan perlahan-lahan mengikut rentak irama lagu tersebut. Sesekali saya menyebutkan senikatanya. Memang, semua senikata lagu itu tidak dapat saya ingati. Tetapi, iramanya memang menarik, sambil mendengar lagu tersebut, saya cuba mengkhayalkan dalam kepala yang saya sedang mendendangkan lagu itu di atas pentas di hadapan ribuan para peminat.
Saya tersenyum bila menerima tepukan yang bergemuruh. Saya lalu menundukkan badan dan kepala membalas penghormatan itu. Saya bayangkan, ketika turun dari pentas saya terus dikerumuni oleh para peniinat, mereka hulurkan tangan untuk bersalaman, mereka lari beri autograf untuk ditandatangani. Ada yang beri baju dan sapu tangan untuk ditandatangani. Saya jadi lemas di tengah para peminat yang terdiri dari para belia.
Saya juga membayangkan gambar saya jadi bahan siaran majalah hiburan. Di mana-mana saya pergi, saya tetap disanjungi dan dihormati. Setiap hari saya membalas beratus-ratus surat perninat. Oh, seronoknya.
“Eh, kamu ini tak habis-habis dengan menung, berangan-angan,” datuk terus menepuk bahu kanan saya.
Semua khayalan indah yang berbunga dalam kepala hancur punah. Saya renung mukanya dengan rasa kesal. Bukannya senang mahu membina satu khayalan yang menyeronokkan.
“Kamu ikut Alang Abdul Rauf pergi ke Kota Baru,” kata datuk.
“Tuk nak ke mana?”
“Aku nak jumpa dengan peniaga di pasar Batu Gajah.”
“Kalau macam tu, saya ikut tuk saja, tak seronok dengan Alang Rauf, saya tak begitu kenal dengannya tuk.”
“Jangan bantah cakap aku.” suara datuk mula keras.
Dan Alang Abdul Rauf segera mendekati saya. Perlahan-lahan saya lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 79 ~
Wanita tanpa wajah berjalan malam
“Mari,” kata Alang Abdul Rauf.
Saya tak ada pilihan. Terpaksa ikut cakap datuk dan mematuhi ajakan datuk.
Datuk, saya dan Alang Abdul Rauf meninggalkan rumah. Jalan bersaingan hingga sampai kepala simpang. Dari situ kami berpecah. Datuk menuju ke pasar Batu Gajah. Alang Abdul Rauf dan saya menuju ke tempat yang dirancangkan.
Seronok juga ikut Alang Abdul Rauf. Saya dapat pengalaman baru yang amat menyeronokkan. Melintasi ladang getah dan kawasan perlombongan yang amat luas. Tidak saya sangka Alang Abdul Rauf yang sudah tua, (saya kira usianya sekitar lima puluh tujuh) masih bertenaga mengayuh basikal berbatu-batu. Saya yang membonceng di belakangnya perlu mengimbangkan badan supaya tidak berat sebelah.
Sesekali terpaksa angkat punggung, bila tayar basikalnya melanggar akar-akar getah yang berselirat di jalan kampung. Alang Abdul Rauf memberitahu, dia sengaja membawa saya melalui jalan tersebut, kerana jalan kampung itu merupakan jalan pintas yang terdekat untuk sampai ke Kota Baru, sebuah pekan kecil dalam daerah Kinta.
Sejam kemudian, kami sampai ke pekan kecil itu. Alang Abdul Rauf sandarkan basikal di pangkal pokok jati depan kedai kopi. Bahagian belakang baju Melayunya, saya lihat dibasahi peluh. Daging punggung saya terasa kebas dan sengal-sengal.
“Kita minum, rumah adik aku tak jauh Lagi,” kata Alang Abdul Rauf.
“Saya tak dahaga pakcik.”
“Tak dahaga pun, apa salahnya minum.”
“Tak payahlah pakcik.”
“Jangan begitu, datuk kamu tak marah, dia suruh aku bawa kamu, biar kamu tahu tentang keadaan orang di sini.”
“Hummmm,” ketuh saya lalu mengikutnya masuk kekedai kopi.
Alang Abdul Rauf minta dua cawan kopi. Sementara menanti kopi yang dipesan, Alang Abdul Rauf menatap akhbar Utusan Melayu yang memang disediakan okh pihak pekedai untuk para pelanggan yang datang minum. Saya lihat tidak berapa ramai orang yang minum dalam kedai tersebut.
Kebanyakannya sudab tua-tua belaka. Tetapi, mereka tetap bersikap ramah pada saya dan Alang Abdul Rauf. Mereka tidak kedekut untuk memberikan senyuman pada kami. Sikap mereka itu membuat saya gembira dan senang hati. Kopi yang dipesan pun sampai.
“Minumlah” kata Alang Abdul Rauf pada saya.
Cepat-cepat saya anggukkan kepala lalu mendekatkan piring dan cawan ke tepi meja. Saya kacau air dalam cawan dengan sudu. Biar gula, kopi dan susu jadi sebati. Alang Abdul Rauf masih lagi menatap akhbar. Seolah-olah buat tidak kisah dengan air kopi yang dipesannya.
“Pak cik kenapa tak minum?” Tanya saya.
Alang Abdul Rauf jatuhkan suratkhabar atas meja. Muka saya ditentangnya sambil menolak suratkhabar Utusan Melayu ke tepi. Saya terus mendermakan senyum padanya sambil mengangkat cawan untuk menghirup air kopi.
“Tamar.”
Cawan kopi saya letakkan atas meja kembali. Saya lihat Alang Abdul Rauf menekup kedua belah telinganya dengan telapak tangan. Matanya tertatap pada dada meja. Memang saya, tidak mengerti kenapa Alang Abdul Rauf berbuat demikian. Mungkin itu kebiasaan yang sering dilakukannya atau dia mengalami sakit telinga, saya membuat andaian yang tersendiri.
Alang Abdul Rauf terus menghirup kopi. Bahu kanan saya dicuitnya, menyuruh saya minum. Tanpa membuang masa, air kopi terus saya hirup. Rasa kering di anak tekak terus berakhir.
“Makan kuih,” kata Alang Abdul Rauf.
Ia terus mengambil pulut udang dalam piring. Pembalut pulut udang dikoyakkannya dengan berhati-hati.
Sebelum pulut udang disumbat ke dalam mulut, pembalut bahagian atas dan bawah terus dibuang. Alang Abdul Rauf terus mengunyah pulut udang dan kemudian ditelan.
Saya terus mengambil kuih Seri Muka, bila kuih itu saya dekatkan ke mulut. Alang Abdul Rauf terus berdehem. Saya segera memandang padanya dengan ragu-ragu. Kenapa setiap kali saya mahu minum dan makan, Alang Abdul Rauf melakukan sesuatu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 79 ~
Wanita tanpa wajah berjalan malam
“Kau tak baca bismillah,” Alang Abdul Rauf mengingatkan.
“Oh. terima kasih.”
Saya terus membaca bismillah. Kuih Seri Muka saya kunyah dengan rakus sekali. Alang Abdul Rauf tersenyum memandang pada saya. Beberapa orang pelanggan, masuk dan keluar dari kedai kopi. Matahari yang memancar garang di luar menghantar bahang panas ke dalam kedai.
Badan saya jadi berpeluh. Alang Abdul Rauf menghabiskan sisa-sisa kopi di cawan. Ia minta lagi secawan kopi. Jumlah pulut udang dalam piring terus berkurangan. Saya kira kopi dan pulut udang merupakan makanan dan minuman yang amat digemari olch Alang Abdul Rauf.
“Tamar, kau mahu mengamalkan petua orang tua-tua.”
‘Mahu pakcik.”
Alang Abdul Rauf kacau kopi dengan sudu berkali-kali. Sudu yang berlaga dengan bibir cawan melahirkan bunyi yang amat menyeronokkan bagi diri saya. Sebelum minum kopi, Alang Abdul Rauf menggosok-gosok rambutnya dengan telapak tangan. Kemudian baru ia minum dengan tenang.
“Apa petua yang pakcik nak cakapkan dengan saya?”
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 80 ~
Mayat berbau wangi
"Begini," Alang Abdul Rauf menggosok-gosok badan cawan dengan jari kelingkingnya.
Lagi sekali ia merenung ke kiri dan ke kanan. Ia menarik nafas panjang. Kesan air kopi yang melekat di bibir bawahnya terus dikesat dengan hujung jari telunjuk. Saya masih menanti, apakah petua-petua yang akan diucapkannya kepada saya.
"Begini Tamar, orang tua-tua kita dulu, banyak mengamalkan petua terutama bila berdepan dengan minuman dan makanan," Alang Abdul Rauf memulakan,
" petua tu digunakan untuk menjaga diri, mungkin makanan atau minuman yang diberi atau dihidangkan oleh orang lain pada kita, ada benda-benda bisa yang termasuk secara tidak sengaja," tambahnya dengan nada suara yang lembut.
Wajahnya nampak tenang sekali. Saya anggukkan kepala beberapa kali sambil merenung tangkai cawan.
"Apa dia petuanya pak cik?"
"Selalunya, orang menaruh guna-guna dalam minuman, juga makanan dengan tujuan untuk menjadikan seseorang tu bodoh, ada juga yang cuba menaruh racun," Alang Abdul Rauf membetulkan duduknya, supaya selesa.
"Cara pertama gunakan lidah untuk menjolok lelangit, kalau terasa geli, bolehlah minum dan makan benda yang dihidangkan, kalau tidak terasa apa-apa semacam kebas jangan makan atau minum, itu merbahaya," Alang Abdul Rauf meluahkan petua pertama.
Saya mendengar dengan penuh minat.
"Cara kedua macam mana pak cik?"
"Tekup kedua belah telinga kamu dengan tangan, biasanya bila telinga ditekup, kita akan terdengar bunyi gugup memenjang, macam bunyi dalam air waktu kita menyelam. Kalau terdengar bunyi macam tu, kita boleh minum dan makan, kalau tak dengar macam tu jangan makan,"
"Lagi petua yang ketiga macam mana pula?"
"Sebelum makan atau minum, gosok rambut dengan telapak tangan, biasanya, jika rambut digosok terasa kesat dan mengeluarkan bunyi, jika tak dengan bunyi, jangan minum dan makan barang yang dihidangkan di depan kamu," Alang Abdul Rauf meluahkan semua petua yang diketahuinya pada saya.
Saya mengaru-garu batang leher yang gatal. Mata terus merenung ke setiap sudut kedai kopi. Saya kira petua-petua yang dikatakan oleh Alang Abdul Rauf itu memang baik untuk diamalkan.
"Tetapi, orang-orang muda sekarang mana mahu amalkan semua petua, Bismillah pun jarang dibaca bila mahu makan atau minum," kata Alang Abdul Rauf dan saya merasakan kata-kata itu, bagaikan menyindir diri saya sendiri.
Muka Alang Abdul Rauf saya pandang sejenak.
"Tapi, aku yakin kamu selalu baca Bismillah setiap kali minum dan makan, bukan begitu Tamar?"
"Insya-Allah pak cik," balas saya dengan segaris senyum.
"Mari kita pergi Tamar."
Alang Abdul Rauf terus bangun. Ia menuju ke meja tuan punya kedai kopi. Alang Abdul Rauf bayar harga kopi dan kuih. Kedai kopi kami tinggalkan dan saya terus duduk di pelantar basikal menuju ke rumah adiknya yang terletak kira-kira sebatu dari kedai kopi tersebut.
Tujuan utama Alang Abdul Rauf menemui adiknya untuk membincangkan tanah pusaka peninggalan orang tua mereka. Alang Abdul Rauf mahu menjual tanah pusaka itu pada orang lain.
Tetapi adiknya tidak setuju dengna alasan tanah pusaka itu mahu ditanam dengna pokok durian dan langsat. Sedangkan Alang Abdul Rauf berpendapat cara yang mahu dilakukan oleh adiknya itu tidak sesuai kerana kedudukan tanah itu jauh dan tidak pernah dijaga.
"Dari tanah tu terbiar ada baiknya kita jual, duitnya kita bagi sama, selama ni duit cukai tanah aku yang membayar hasilnya tak ada apa-apa," ujar Alang Abdul Rauf pada adiknya.
"Saya tak mahu jual, kalau abang jual juga, kita bukan lagi adik beradik," suara adiknya keras.
"Kalau sudah begitu kata kamu, tak jadilah aku nak jual tapi, cukainya kita bayar sama-sama."
"Abang saja yang bayar, saya mana ada duit, anak-anak saya ramai, bila saya ada duit nanti saya bayar."
"Itulah yang selalu kamu cakapkan, bila aku datang minta duit kamu lari," suara Alang Abdul Rauf meninggi.
Adiknya terus membisu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 80 ~
Mayat berbau wangi
Mungkin kerana sifat penyabarnya, Alang ABdul Rauf tidak mahu menyebut-nyebut soal tanah pusaka dalam perbincangan berikut dengan adiknya. Anehnya, sebelum Alang Abdul Rauf pulang, adiknya meminta wang darinya. Alang Abdul Rauf hulurkan wang dua puluh ringgit pada adiknya.
"Itulah adik aku Tamar, namanya Mat Judin, susah mahu diajak berunding," bisik Alang Abdul Rauf pada saya, ketika turun dari rumah.
"Adik nombor berapa pak cik."
"Adik bongsu, yang dia tahu minta duit tak beri tarik muka, kerana tak mahu bergaduh dengan adik-beradik, terpaksa aku ikut cakapnya," terang Alang Abdul Rauf.
"Apa pendapat kamu tentangnya."
"Tak ada apa-apa pak cik," balas saya dengan senyum pendek.
Saya tidak mahu melibatkan diri dalam urusan keluarga orang lain.
Kami tinggalkan rumah Mat Judin, ketika matahari sudah condong. Seronok naik basikal di bawah lindungan pokok-pokok getah. Terasa cukup redup dan selesa sekali. Peluh tidak sehebat tadi mercik di dahi dan tubuh. Alang Abdul Rauf cukup rancak bercerita tentang keluarganya. Saya cuma anggukkan kepala. Sesekali, saya ketawa, bila terdengar peristiwa lucu terjadi antara Alang Abdul Rauf dengan adik bongsunya.
Tiba-tiba, Alang Abdul rauf brek basikalnya dengan mengejut. Saya terpelanting ke tanah. Siku kiri saya berdarah kena tunggul getah. Dengan susah payah saya bangun. Pada mulanya saya mahu marahkan Alang Abdul Rauf tetapi, bila saya lihat dirinya terkial-kial ditindih basikal dan baju Melayu cekak musangnya koyak, saya tidak jadi marah.
"Kenapa pak cik," tanya saya.
"Tengok tu,"
"Ha," mulut saya ternganga.
Kepala lutut saya terasa lemah. Seekor ular tedung sela memanggungkan kepalanya separas dada saya. Ular itu kelihatan seperti berdiri atas ekornya.
"Kamu jangan bergerak, Tamar," perintah Alang Abdul Rauf. Saya mematikan diri.
Tegak macam patung.
Ular tedung selar itu menggerakkan kepalanya ke kanan mengikut gerakan tubuh Alang Abdul Rauf yang cuba mendirikan basikalnya. Ular tedung sela itu terus mematuk ke arah tubuh Alang Abdul Rauf. Anehnya patukan ular itu bagaikan tidak sampai ke tubuh Alang Abdul Rauf, macam ada sesuatu yang menghalangnya.
Ular tedung sela berhenti mematuk tubuh Alang Abdul Rauf . Basikal tua berjaya ditegakkan. Ular tedung sela masih berdiri dengan kepala yang terkembang.
Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf membongkokkan badannya. Ular tedung sela turut merendahkan badannya dan bersedia untuk melepaskan patukan pada ubun-ubun kepala Alang Abdul Rauf.
Belum pun sempat ular tedung sela membenamkan siungnya yang bisa ke kulit Alang Abdul Rauf, saya lihat Alang Abdul Rauf terus melompat dengan sekelip mata sahaja, bahagian bawah kepala ular tedung sudah berada dalam genggamannya. Cepat-cepat Alang Abdul Rauf menekan siung ular tedung pada besi galang basikal.
"Kau ambil mangkuk getah dan tadah," perintah Alang Abdul Rauf.
Saya segera mengambil mangkuk yang tersangkut pada pohon getah lalu menadah bisa ular tedung yang keluar. Badan ular terus melilit lengan Alang Abdul Rauf. Pada mulanya lilitan itu cukup kuat dan kejap. Sepuluh minit kemudian, lilitan ular tedung menjadi lemah dan badannya terus lurus ke bawah, tidak bermaya.
"Balik ke tempat kamu," kata Alang Abdul Rauf meletakkan ular tedung selar atas tanah.
Beberapa minit kemudian, ular tedung sela itu menggerakkan ekornya beberapa kali. Panggungkan kepala separas lutut Alang Abdul Rauf untuk beberapa saat. Badannya direndahkan lalu melata atas bumi masuk ke dalam semak di sebelah kanan jalan.
"Buat apa bisa ular ni pak cik,” tanya saya.
Alang Abdul Rauf terus mengeluarkan botol kecil yang dibawanya. Ditutup dengan sapu tangan bewarna merah.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 80 ~
Mayat berbau wangi
"Jarang-jarang dapat bertemu dengan ular tedung, entah macam mana petang ni, dia datang serah diri," Mukanya kelihatan kemerah-merahan.
"Buat apa bisa ular ni pak cik?" ulang saya lagi.
"Untuk menawarkan bisa ular," balasnya tersenyum.
"Naik, kita balik," gesa Alang Abdul Rauf pada saya.
Ia terus menolak basikalnya atas jalan tanah merah. Tanpa membuang masa saya terus melompat atas lanting basikal. Kali ini Alang Abdul Rauf kayuh basikal dengan laju sekali. Rambut saya terus mengerbang ditolak angin.
"Pak cik saya nak tanya sikit?"
"Apa dia tamar."
"Tadi saya nampak ular tu patuk ke badan pak cik tapi macam tak sampai."
"Betul ke?" Alang Abdul Rauf macam terkejut.
"Ya, pak cik."
Alang Abdul Raud tidak menjawab, ia terus membongkok kayuh basikal. Langgar akar dan tanah keras. Saya terpaksa angkat punggung. Kalau tak buat macam itu, daging punggung saya terasa sakit dan mungkin juga lebam. Angin yang memukul tubuh membekalkan kesegaran.
"Lain kali saja perkara tu aku ceritakan pada kamu Tamar."
"Kenapa?"
"Tak usahlah kamu tanya kenapa."
"Bisa ular tu nak buat apa pula?"
"Kamu terlalu banyak bertanya," suara Alang Abdul Rauf mula meninggi.
Saya tahu ia kurang senang dengan sikap saya. Buat beberapa ketika kami tidak bercakap. Bunyi rantai basikal tua yang tidak pernah ditaruh minyak menyakitkan anak telinga saya.
"Bisa ular itu, aku campurkan dengan minyak kelapa tulin kemudian aku hangatkan ke api hingga mendidih, isi dalam botol," tidak saya duga Alang Abdul Rauf mahu membuka rahsia kegunaan bisa ular yang diambilnya sebentar tadi.
Saya tersenyum dan memasang telinga untuk mendengar keterangan lanjut darinya.
"Lepas tu pak cik buat apa?"
"Aku jadikan minyak untuk menyapu seluruh badan, bila mahu tidur malam, dengan izin Allah jika kita kena patuk ular bisanya terus tawar, kadang-kadang ular tidak mahu mematuk kita, kecuali ular yang betul-betul ganas."
"Macam ular tadi."
Alang Abdul Rauf terus anggukkan kepala. Badannya terus membongkok kayuh basikal.
"Selain dari itu, apa khasiatnya lagi."
"Boleh menghilangkan sakit-sakit lenguh sendi, terkehel dan penawar bisa binatang."
"Macam tu, barulah saya tahu."
"Datuk kau tak cakap dengan kau."
"Tidak."
Alang Abdul Rauf terbatuk. Basikal terus dikayuh dengan tenaga tuanya. Bau peluhnya terasa hangit menyucuk lubang hidung saya. Baju dibahagian ketiaknya basah dengan peluh. Dedaun getah yang tua terus berguguran. Melayang-layang di udara sebelum tersadai di tanah.
"Kalau macam tu, kenapa pak cik tak tangkap ular dan ambil bisa untuk dijadikan ubat, jual pada orang ramai macam tukang-tukang ubat kaki lima buat," soal saya.
Alang Abdul Rauf memperlahankan laju basikalnya.
"Tak boleh, kita tak boleh tangkap sebarang ular bisa, kecuali ular yang betul-betul garang dan menyerang kita, macam ular tadi. Kalau sengaja kita tempah cari ular bisa, perkara tu tak mahu menjadi," terang Alang Abdul Rauf dalam keadaan yang mengah.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 80 ~
Mayat berbau wangi
Ia terus menyapu peluh di dahi dengan telapak tangannya. Saya terus melihat pepohon getah yang kaku. Dua tiga ekor kera berlompatan di dahan getah, memulas dan membuang buah getah muda.
"Lagi satu ubat macam tu, tak boleh dijual, kalau dijual mujarabnya kurang, malah tak datang kesan langsung, kita boleh menyimpannya dan menggunakannya untuk orang yang benar-benar memerlukan pertolongan, kalau dijadikan punca rezeki, ia tak mahu menjadi, silap-silap caranya kita dituduh orang, jadi penipu." lanjut Alang Abdul Rauf penuh semangat.
Saya terus diam.
Apa yang saya fikirkan dalam kepala, macam mana Alang Abdul Rauf tahu kegunaan bisa ular itu. Apakah sebelum itu ia pernah kena patuk ular bisa atau memang sejak dulu lagi, ia ada ilmu ular.
"Agaknya pak cik ada ilmu ular?"
Saya memberanikan diri bertanya. Soalan saya tidak dijawabnya untuk beberapa minit. Saya tidak berani mengulanginya, saya takut kena marah. Saya biarkan ia mengayuh basikal dengan tenang.
"Tak ada ilmu, memang aku tak tahu ilmu ular, cuma setiap kali berhadapan dengan ular aku baca Bismillah, kemudian amalkan petua orang tua-tua bersama dengan rasa yakin dan berani, tidak melupai kebesaran ALLAH."
"Apa dia petuanya."
"Bila kamu jumpa kulit ular mahu bersalin kulit, ambil kulitnya itu, bawa pulang dan bakar, abunya kamu isi dalam buluh kecil, bila kamu masuk hutan yang kamu fikirkan terdapat ular bisa bawalah buluh tu, dengan izin Allah, ular datang ke kaki kamu menyerah diri. Kamu jangan buat apa-apa, bacalah Bismillah dan tangkap ular itu, letakkan ke tanah sebelah kanan tempat kamu berdiri." Alang Abdul Rauf berhenti bercakap.
Ia menelan air liur dua tiga kali. Bau peluhnya bertambah hebat.
"Biarkan ular itu pergi, kalau ular tu tak mampu bergerak kerana terkena sumpah kulitnya, kau mesti meletakkan di tempat yang kamu fikirkan ia boleh bergerak. sebaik-baiknya cari pucuk gelenggang letakkan atas kepalanya, kamu dapat tengok ular itu lari macam pelesit," tokok Alang Abdul Rauf sambil batuk.
"Berani kamu membuatnya Tamar?"
"Tak berapa yakin."
"Kalau tak yakin, jangan cuba-cuba melakukannya nanti kamu terima padah, lagipun petua ni ada ujiannya, bila kamu bawa kulit ular dalam buluh, macam-macam ular yang tak pernah kamu lihat akan kamu lihat."
"Ular macam mana tu pak cik?"
"Ular kepala dua, kadang kepala tiga, ada masanya kamu jumpa ular bertanduk, kalau kamu takut, petua tu tak akan menjadi."
"Kalau saya berjaya macam mana pak cik?"
"Kamu boleh jadi macam aku, bila jumpa ular yang garang macam tadi ambil bisanya dan buat seperti apa yang aku katakan," Alang Abdul Rauf menoleh ke arah saya bersama senyum sinis.
Saya tahu, ia semacam memperkecilkan kemampuan diri saya. Sesungguhnya, saya tidak minat sama sekali untuk jadi macam dirinya. Tetapi saya seronok melihat kejadian-kejadian yang aneh dalam hidup saya. Saya bercadang minta kebenaran dari datuk untuk tinggal lebih lama dengan Alang Abdul Rauf, saya mahu berkongsi pengalaman dengannya. Saya yakin tidak ramai orang-orang tua yang ada ilmu dan petua dalam dada seperti Alang Abdul Rauf.
Kalau saya tidak mahu mengambil petua darinya, apa salahnya melihat dirinya mengamalkan petua itu. Setidak-tidaknya akan jadi bahan cerita anan cucu saya, betapa orang-orang tua terdahulu mempunyak keistimewaan yang tersendiri.
Lebih kurang pukul empat petang, saya dan Alang Abdul Rauf sampai ke rumah. Saya lihat datuk duduk menongkat lutut atas pelantar di bawah pohon mempelam membaca akhbar dengan tenang.
"Macam mana, semuanya berjalan dengan selamat." tanya datuk pada Alang Abdul Rauf yang sedang menyandarkan basikal tuanya di tiang rumah.
"Semuanya selamat, kalau tak selamat aku dan cucu kamu tak sampai ke sini," sahut Alang Abdul Rauf dalam nada suara yang meninggi.
Datuk melipatkan akhbar yang dibaca. Saya terus menghampirinya dan duduk disisinya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 80 ~
Mayat berbau wangi
Beberapa minit kemudian Alang Abdul Rauf datang ke pelantar dan duduk di sebelah kanan saya. Datuk terus meraba-raba dagunya.
"Apa yang cucu aku dapat ikut kamu Alang?"
"Banyak yang dia dapat, kamu tak percaya cubalah tanya dirinya sendiri."
"Betul ke ni Alang atau nak bergurau saja," tingkah datuk dan mereka ketawa berderai di bawah sinar matahari petang yang cerah.
"Eh Tamar kau cakapkan pada datuk kamu, apa yang kamu tengok dan masa kamu ikut aku," Alang Abdul Rauf merenung mata saya.
Datuk menggaru-garu pangkal telinganya.
"Cakaplah Tamar," Alang Abdul Rauf seperti mendesak.
"Tak payah Tamar cakap pun aku dah tahu, kamu bawa balik bisa ular tedung Alang,"
Saya lihat muka Alang Abdul Rauf berubah. Ia terkejut besar. Memang ia tidak menduga yang datuk tahu apa yang telah terjadi.
"Mana kamu tahu?" tanyanya cemas.
"Hidung aku dapat menciumnya," balas datuk.
"Bukan hidung, tetapi pancaindera yang kelima memberitahu aku."
"Kamu memang manusia aneh."
"Tak aneh, tetapi aku mengamalkan pantang larang dan petua orang tua-tua," suara datuk merendah.
Alang Abdul Rauf termenung panjang. Membiarkan angin petang menyentuh wajahnya. Saya mengeliat dua tiga kali.
"Sengaja aku suruh si Tamar ikut kamu, biar dia tahu setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya, aku tak suruh dia ikut saja, semuanya sudah aku kira dan perhitungkan," datuk membuka rahsia.
"Jadi, semuanya sudah kamu rancang." tanya Alang Abdul rauf.
"Ya, bila kamu sebut kamu nak pergi jauh, aku segera terfikir untuk menyuruh Tamar menemani kamu, aku tahu kamu bukan sebarang orang, setidak-tidaknya Tamar dah tahu kamu memang handal melemahkan ular berbisa.”
"Kamu memang bijak, cara kamu mengajar cucu kamu supaya menghargai kehebatan orang tua-tua memang tidak terasa."
"Entahlah," datuk terus menepuk pangkal pahanya berkali-kali.
Saya terus bangun dan menggeliat, tidak lama kemudian terdengar suara azan asar. Kami bertiga segera bangun. Menuju ke rumah. Saya basuh muka dan kepala. Datuk tukar baju dan Alang Abdul Rauf tergesa-gesa mandi.
Kami pun menuju ke masjid untuk berjemaah. Selesai berjemaah Alang Abdul Rauf mengajak saya dan datuk meninjau ke kawasan tanah perkuburan yang sudah dikosongkan. Tidak lama lagi kawasan itu akan menjadi kolam lombong.
"Kawasan sebelah sana, kubur-kuburnya masih belum diubah."
Alang ABdul Rauf berdiri di bawah pohon gajus. Tangannya mengarah ke kawasan perkuburan yang penuh dengan susunan batu nisan dalam pelbagai aneka bentuk. Pokok-pokok yang tumbuh di situ, seolah-olah menjadi payung pada perkuburan dan batu nisan. Sinar matahari bagaikan tidak menyentuh tanah kubur.
"Kubur yang kamu korek tu sebelah mana?"
Tanya datuk pada Alang Abdul Rauf, saya lihat Alang Abdul Rauf membetulkan songkok putihnya yang senget di kepala. Ia menarik nafas panjang.
"Saya korek sebelah kiri kawasan kubur yang kita nampak ni, lepas tu baru sebelah kanan. Semua kawasan kubur orang Islam ini penuh dengan bijih," tangan kanan Alang Abdul Rauf terus cekak pinggang merenung kawasan-kawasan yang disebutnya.
"Sejak kamu korek kubur, kamu tak jumpa dengan perkara-perkara yang ganjil Alang?"
Saya lihat Alang Abdul Rauf tersenyum sumbing mendengar pertanyaan dari datuk. Saya terus garu kepala dalam keresahan yang tidak menentu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 80 ~
Mayat berbau wangi
"Setakat ini, dengan izin Allah tak ada perkara buruk yang aku alami," jawab Alang Abdul Rauf.
"Syukur, tetapi sikit-sikit tu ada," datuk buat serkap jarang.
Saya terus menggosok-gosok pangkal hidung. Alang Abdul Rauf merenung wajah datuk.
"Perkara tu ada juga, umpamanya jumpa perempuan cantik berjalan dekat pokok besar, jumpa musang yang bertukar menjadi kucing," satu pengakuan dari Alang Abdul Rauf yang tidak berselindung.
Tidak saya duga serkap jarang datuk menjadi tepat.
"Itu syaitan nak menguji kamu," celah datuk.
"Aku pun fikir begitu juga, aku dan kawan-kawan buat tak kisah, harimaukah, perempuan burukkah, kami tak peduli akhirnya benda-benda tu semuanya terus hilang," Alang Abdul Rauf terus ketawa.
Dari pinggir kawasan kubur, kami menyusur ke kanan menuju ke kaki bukit, melihat kebun-kebun getah yang bakal jadi lombong. Bergerak lagi melalui kawasan dusun yang penuh dengan pohon kelapa, durian dan langsat, semuanya tidak boleh bertahan lama di situ. Dalam sedikit masa lagi kawasan durian itu akan menjadi lombong yang memuntahkan bijih dari perut bumi.
Saya dapat membayangkan dalam tempoh dua tiga tahun lagi, kawasan sekitar akan menjadi lapang. Penuh dengan pepasir dan saujana mata memandang. Dan kawasan tempat yang kami lalui sekarang, tidak mungkin dapat dikesan. Kami terus berjalan. Terasa segar dan menyenangkan kerana hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa.
"Ke mana lagi kamu nak bawa aku Alang?" Tanya datuk.
"Tak ke mana-mana, kita pergi ke sungai dari situ kita terus pulang.
"Sungai tu ada ikan tak?"
"Ada, kenapa? Kau nak memancing," Alang Abdul Rauf renung muka datuk.
Mereka berbalas senyum.
"Kalau ada ikan, aku nak menjala," ujar datuk.
"Itu satu cadangan yang baik, aku juga nak ikut kamu menjala."
"Bila kita nak menjala?" Datuk renung muka Alang Abdul Rauf yang sedang mengerutkan dahinya.
"Nanti dua tiga malam lagi."
"Boleh juga, kalau aku tak ubah rancangan, memanglah aku nak duduk dua tiga hari di sini," datuk menelan air liur.
Kami terus melangkah. Akhirnya sampai ke rumah.
Seronok rasa hati, setelah penat berjalan. Isteri Alang Abdul Rauf menyediakan kopi dan goreng pisang panas. Saya terus makan dengan lahapnya. Lepas makan dan minum kopi, datuk terus berborak dengan Alang Abdul Rauf di serambi rumah hingga menjelang waktu Maghrib. Entah apa yang mereka cakapkan saya tidak berminat mahu mendengarnya. Bukannya menarik sangat cerita orang tua-tua.
Malam itu lepas sembahyang Isyak, datuk dan Alang Abdul Rauf terus berwirid hingga jam sepuluh malam. Sebaik sahaja wirid berhenti, kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang mengorek kubur terus datang dan duduk di serambi. Saya kira jumlahnya lebih kurang enam orang. Semuanya berbadan tegap tetapi, wajah mereka nampak tenang dan berani untuk menghadapi dugaan dan rintangan.
Datuk dan Alang Abdul Rauf berbincang, sejenak, tanpa saya duga perbincangan mereka, kerana mahu membawa saya ikut sama rombongan menggali kubur. Alang Abdul Rauf menggalakkan datuk supaya membenarkan saya ikut serta dalam rombongan menggali kubur. Datuk patuh dengan cadangan Alang Abdul Rauf.
Pukul sepuluh lebih, kami meninggalkan rumah menuju ke tanah perkuburan yang sunyi dan seram. Saya terdengar bunyi suara burung hantu sayup-sayup, saya juga terdengar desiran angin malam menyentuh dedaun getah yang memagari kawasan perkuburan.
Bunyi dedaun yang disentuh angin itu melahirkan suara yang menakutkan, ada masa terdengar seperti orang menangis dan ada masa pula terdengar macam bunyi orang ketawa yang tidak putus-putus
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 80 ~
Mayat berbau wangi
Dari sinaran lampu picit, saya melihat batu-batu nisan tegak kaku. Malah ada yang nampak berkilau-kilau kena cahaya lampu picit. Katak-katak puru melompat di kaki membuat saya terperanjat. Bagi saya tidak menghadapi masalah yang sukar berjalan di situ kerana saya di barisan tengah.
Kepala jalan Alang Abdul Rauf, dituruti oleh orang kanannya. Kemudian datuk, diri saya dan kawan-kawan Alang Abdul Rauf. Menurut Alang Abdul Rauf yang jadi pembantunya cuma tiga orang sahaja yang lain cumma ikut-ikut sahaja, mereka mahu menggeletar kerana kesejukan.
"Kita korek dua kubur malam ni, kau sebelah kanan dan aku korek kubur ini," Alang Abdul Rauf memberitahu kawannya yang sedang berusaha menyalakan api gasolin.
Seluruh kawasan yang mahu dikorek terang-benderang tetapi, cahaya gasolin tidak mampu menghalau nyamuk yang memang dahagakan darah manusia. Suasana di situ mula dikuasai dengan bunyi cangkul dan menyebak membongkar tanah kubur. Tanah-tanah yang segar bertimbun sedikit demi sedikit lalu membentuk sebuah bukit kecil. Suara jampuk dan burung hantu bersahut-sahutan, angin menjatuhkan reranting kering yang bunyinya macam orang berjalan. Terdengar juga salakan anjing yang bertalu-talu dan berpanjangan. Saya melihat malam yang pekat bersama titik-titik embun dari langit.
Ada seribu macam bunyi yang datang ke telinga saya. Semuanya membuatkan bulu tengkuk saya tegak. Terdengar juga suara seakan-akan orang menangis. Bila saya renung ke arah yang tidak kena cahaya lampu gasolin. Saya lihat nisan yang tadi kaku, macam bergerak-gerak. Saya lihat datuk masih duduk dengan tenang.
Bila kubur yang digali oleh Alang Abdul Rauf sampai separuh, saya mula terhidu bau wangi macam kasturi.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 81 ~
Dicakat kucing hutan
DI bawah sinar lampu gasolin yang cerah, saya tatap wajah datuk. Datuk nampak tenang menarik dan melepaskan nafas. Alang Abdul Rauf terus menggosok batang cangkul dengan sepasang telapak tangannya. Kawan-kawannya terus menggali kubur dengan rancak sekali. Bau wangi terus menguasai tanah perkuburan.
Saya terus mendekati datuk.
“Bau apa yang wangi tu tuk?”
“Ada mata tengok, ada telinga dengar.”
Jawapan yang datuk hamburkan itu amat mengecewakan diri saya. Suara cengkerik dan katak terus berlarutan. Angin yang bertiup membekalkan rasa dingin ke seluruh tubuh. Bunyi mata pencebak dan cangkul berlaga dengan tanah jelas kedengaran. Suara burung hantu dan jampuk sayup-sayup kedengaran.
Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf menghampiri kami. Badannya nampak peluh dan saya terhidu bau hangit yang meloyakan tekak. Saya paling hidung saya ke arah lain. Tetapi bau hangit itu tetap memburu hidung saya.
“Lap peluh kamu.”
Alang Abdul Rauf mencampakkan kain padanya. Orang itu terus menyapu peluh yang melekat di badan. Ia tersenyum ke arah saya. Ia bagaikan tahu yang saya tidak menyenangi dirinya.
“Dah jumpa tulang orang mati?” Alang Abdul Rauf mengajukan pertanyaan padanya. Orang itu tidak menjawab, Ia mencapai botol air sejuk di hujung lutut Alang Abdul Rauf.
Saya lihat buah halkumnya bergerak kencang ketika ia meneguk air dari dalam botol. Kulit perutnya juga turun bergerak-gerak. Sebahagian dari air yang tidak masuk ke mulutnya terus jatuh atas dada bidangnya yang berbulu lebat. Ia berhenti minum. Botol diletakkan kembali dekat hujung lutut Alang Abdul Rauf.
“Kali ni bukan jumpa tulang,” katanya sambil menyapu kesan air yang melekat di bibirnya. Saya angkat kepala merenung muka datuk yang kelihatan terkejut. Alang Abdul Rauf menujah-nujah permukaan tanah dengan ranting kayu.
“Kalau bukan tulang, kamu jumpa apa?” tanya datuk.
“Mayat tak reput.”
“Mayat tak reput?” Alang Abdul Rauf terus berdiri.
“Ya bau wangi ini, datangnya dari mayat tu,” orang itu tersenyum.
Muka Alang Abdul Rauf nampak resah.
Datuk terus menggigit kuku di jari. Saya teraba-raba batang leher beberapa kali. Badan terasa seram.
“Aku dah agak bau wangi tu dari kubur yang digali, waktu aku menolong kamu menggali tadi, makin jauh dikorek makin kuat bau tu menyumbat hidungku,” Alang Abdul Rauf bersuara lemah.
Ia merenung muka datuk sejenak.
“Aku berhenti mengorek tadi kerana pinggang aku terasa sakit, dan terus duduk dekat kawan aku ni tapi, bau wangi tu sampai ke sini,” tambah Alang Abdul Rauf sambil menggeliat beberapa kali.
“Eloklah kita tengok Alang,” datuk mengeluarkan cadangan.
Alang Abdul Rauf mengekori langkah mereka yang tenang menuju ke kubur yang jaraknya dari tempat saya dan datuk, kira-kira sepuluh kaki. Datuk dan Abdul Rauf jengok ke lubang kubur. Kawan Abdul Rauf yang berbadan tegap bercekak pinggang merenung ke arah kawannya yang sedang berhempas-pulas mengorek kubur yang lagi satu.
Tiba-tiba saya bagaikan dipaksa untuk melihat ke dalam kubur. Tanpa memberitahu datuk dan Alang Abdul Rauf saya jenguk lubang kubur. Saya menarik nafas. Apa yang saya lihat ialah mayat seorang lelaki dalam keadaan yang baik. Wajahnya nampak bersih dalam keadaan yang tersenyum. Alang Abdul Rauf segera menyuruh kawannya mengambil kain untuk menutup mayat dalam lubang kubur. Perintah Alang Abdul Rauf segera dipatuhi.
“Sekarang kamu pergi ke balai polis, laporkan perkara ni pada tuk sarjan,” kata Alang Abdul Rauf pada kawannya.
Tanpa sebarang bantahan kawannya terus meninggalkan kami, meredah malam menuju ke arah jalan raya pergi ke balai polis. Embun jantan yang gugur dari langit terasa menyentuh muka. Saya mula menguap, bau tanah kubur yang baru dikorek memang kurang menyenangkan hidung saya. Sesekali saya tercium bau kapur barus dan bau air mawar. Saya tidak tahu, apakah bau tersebut tercium oleh datuk dan Alang Abdul Rauf. Bunyi dedaun yang disentuh angin bagaikan bunyi tapak kaki orang memijak daun getah di musim kemarau. Bunyinya bersambung-sambung.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 81 ~
Dicakar kucing hutan
“Dah kurang bau wanginya,” ujar Alang Abdul Rauf pada datuk yang sedang meraba-raba misainya. Mulut datuk tetap bergerak. Entah apa yang dibacanya saya sendiri pun tidak tahu.
“Ya, tapi bau ni takkan hilang terus,” sanggah datuk.
“Mana awak tahu?”
“Bukankah bau tu datang dari mayat, waktu begini bau kurang, menjelang subuh dan pagi baunya bertambah harum dan kuat,” jelas datuk lagi.
“Eh, macam mana awak tahu semuanya ni?” Alang Abdul Rauf tatap muka datuk di bawah sinar lampu gasolin yang memancar terang. Saya terus merenung ke arah kawan Alang Abdul Rauf yang sedang menggali kubur yang lagi satu.
Sesekali saya terdengar suara mereka ketawa berselang seli dengan suara batuk. Barang kali kawan Alang Abdul Rauf yang itu tidak menghadapi masalah. Kalau ada masalah terus mereka datang ke sini, kata hati saya sambil menggaru pangkal leher yang gatal akibat digigit nyamuk.
“Awak tahu makin terasa cuaca sejuk, makin kuat baunya, saya dah tahu, sebabnya dalam cuaca yang sejuk udara tidak dapat bergerak dengan lancar, sentiasa berpusing-pusing sebelum bergerak lebih jauh,” saya lihat datuk bersuara dengan tenang dan penuh keyakinan.
Apakah cakap datuk itu memang benar atau sengaja di ada-adakan bagi menyenangkan hati Alang Abdul Rauf. Saya lihat Alang Abdul Rauf anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diucapkan oleh datuk. Saya menggeliat, menghilangkan rasa lenguh di pinggang. Rasa seram tetap menguasai seluruh badan saya.
“Pak Alang ke mari.”
Serentak kami memandang ke arah suara memanggil nama Alang Abdul Rauf. Dua orang lagi kawan Alang Abdul Rauf yang bersandar pada sebatang pokok terus mendekati datuk. Saya lihat muka keduanya sangat pucat.
“Kamu ke mana? Diam tak bercakap,” Alang Abdul Rauf menyoal kedua-dua orang kawannya dengan wajah bersahaja.
Suara burung hantu dan jampuk masih berterusan. Laungan anjing tidak pernah putus. Tetapi, deru angin malam bertambah lemah.
“Kamu tengok apa yang dia orang mahu. Tolong dia orang, kalau ada apa-apa masalah datang bagi tahu aku di sini,” Alang Abdul Rauf mengeluarkan penintah.
“Baiklah Pak Alang,” kedua-duanya meninggalkan kami.
“Mari kita duduk di sana,” Alang Abdul Rauf meluruskan jari kelingkingnya ke arah sebatang pokok kayu condong.
“Boleh juga, datuk.
“Mari.”
Kami bertiga terus menuju ke pokok condong. Duduk di situ. Datuk dan Alang Abdul Rauf duduk berdekatan hingga berlaga bahu. Saya duduk berdepan dengan mereka. Saya lihat datuk resah tidak menentu.
Dalam saat yang sama saya bagaikan terasa ada sesuatu yang bergerak di ruang kosong, antara saya dengan Alang Abdul Rauf. Saya rasa benda yang bergerak dan tidak dapat dilihat itu seperti kaki gajah. Dedaun kering dan reranting kecil nampak bergerak dan terbenam di bumi macam dipijak sesuatu. Meninggalkan tapak yang besar. Bentuknya macam tapak kaki manusia yang berjari empat.
Alang Abdul Rauf segera bangun. Sebaik saja Alang Abdul Rauf berdiri. Ia terus jatuh terlentang macam ditolak sesuatu, baju Melayu yang dipakainya terkoyak bagaikan kena rentap oleh tangan manusia. Saya segera menghampiri Alang Abdul Rauf. Dadanya bercalar bagaikan dicakar oleh kuku kucing hutan. Muka Alang Abdul Rauf berkerut menahan kesakitan.
Datuk segera bertindak, merentap daun gelenggang yang berbunga tunggal di kanannya. Daun itu digosoknya dengan kedua belah telapak tangan hingga hancur dan mengeluarkan air. Kemudian, air dan daun gelenggang itu disapu ke dada Alang Abdul Rauf. Darah berhenti keluar dan bekas kena cakar itu nampak kering.
“Aduh!”
Saya terus berguling di tanah. Bahu kanan saya bagaikan ditikam dengan pisau belati. Pedih dan sakitnya hingga tidak terkata. Dalam pandangan yang berpinar-pinar itu, saya lihat datuk bergerak ke sana dan ke sini sambil mengembangkan tangannya. Menepis ke kiri dan ke kanan. Tidak tahu apa yang datuk tepiskan. Saya tidak nampak ada orang yang menyerangnya. Pokok-pokok kecil sekitar pokok condong jadi rata akibat dipijak oleh datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 81 ~
Dicakar kucing hutan
Alang Abdul Rauf mula bertenaga. Duduk bersila di tanah sambil melagakan jari telunjuk dengan ibu jari berkali-kali seperti orang membilang tasbih. Pandangan saya jadi gelap dan saya terdengar suara orang membaca Quran. Saya mengikut pembacaan itu dalam hati sambil menyerahkan diri pada Allah yang maha besar. Saya terdaya membuka kelopak mata. Saya toleh ke kanan, saya lihat Alang Abdul Rauf sedang membaca ayat-ayat suci.
Datuk yang tertiarap di bumi bangun perlahan-lahan. Sekujur tubuhnya berpeluh dan baju yang dipakainya penuh dengan tanah kubur. Alang Abdul Rauf berhenti membaca ayat-ayat suci dan membantu datuk. Saya masih lagi terkapar menahan rasa sakit. Datuk menghampiri saya lalu menampar bahu saya yang sakit. Lagi sekali saya terus pengsan. Tidak tahu berapa lama saya tidak sedarkan diri. Bila saya sedar saya rasa bahu saya tidak sakit lagi.
Datuk terus mengikat ranting kering dengan kain hitam. Ranting kering itu ikat bersusun. Ranting kering yang sudah diikat itu terus dipijak hingga terbenam dalam bumi. Suasana terasa amat sepi sekali.
“Syaitan kacau kita,”
“Saya tahu,” balas Alang Abdul Rauf.
“Apa ikhtiar kita?”
“Usah bimbang, kuasa Allah tak ada sesiapa yang dapa menentangnya,” balas Alang Abdul Rauf penuh keyakinan.
“Aghhhhh !! ”
Serentak saya dan Alang Abdul Rauf serta datuk menoleh ke kanan. Kami terbangun. Dari celah pepohon di atas perkuburan kami terlihat satu lembaga yang amat menggerunkan, lembaga tanpa badan itu bagaikan muncul dari pohon. Kami berpandangan sama sendiri. Mata saya kembali tertumpu pada lembaga tersebut. Keadaannya amat menakutkan.
Mulutnya cukup lebar hingga bertemu dengan telinga. Bibir bawahnya nipis di pagar dengan gigi yang halus dan putih, macam gigi ikan haruan. Biji matanya agak tersorok jauh ke dalam, memancarkan sinar yang garang.
Datuk menarik nafas dengan kencang sekali. Alang Abdul Rauf toleh kiri dan toleh kanan. Kulit mukanya nampak pucat. Perhatian saya masih tertumpu pada lembaga tanpa badan. Rambutnya yang kusut masai menutup dahinya yang luas dan terdapat bekas jahitan hingga ke pangkal leher.
Kulit pipinya nampak lembik ke kanan dan ke kiri bersama gerak darah segar. Hidungnya rasa sama dengan kulit pipi. Bila matanya yang kebiru-biruan menatap muka saya seluruh badan saya menggeletar. Bibir Alang Abdul Rauf membaca ayat Qursi lembaga itu membuka mulutnya lebar-lebar serta menjelirkan lidahnya yang panjang macam lidah cicak. Setiap kali lidahnya bergerak, keluar air lendir berwarna putih.
Alang Abdul Rauf terus membaca ayat-ayat suci. Saya terdengar bunyi ombak yang kuat. Aneh sekali, macam mana suara ombak boleh terdengar di tanah kubur sedangkan laut berpuluh-puluh batu jaraknya. Dalam gemuruh bunyi ombak itu lembaga yang berada di depan kami terus hilang.
Suasana kembali tenang. Tiada deru ombak, tiada lembaga putih tanpa kepala di depan mata. Tetapi, keresahan tetap terbayang di wajah Alang Abdul Rauf dan datuk. Mata mereka sentiasa saja mengawasi kiri dan kanan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang buruk.
“Rasanya tak ada apa-apa yang nak ganggu kita,” datuk renung muka Alang Abdul Rauf.
Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf anggukkan kepala.
“Tapi, rasanya ada baik kita tinggalkan tempat ini,” suara Alang Abdul Rauf lemah.
Matanya tertumpu ke arah kawan-kawannya yang sudah berhenti menggali kubur.
“Kita ke sana, tengok apa yang dia orang dapat,” tambah Alang Abdul Rauf.
“Mari,” Alang Abdul Rauf cuit bahu datuk.
“Boleh juga,” balas datuk.
Sebelum melangkah saya merenung arah kubur yang sudah digali. Teringin rasa hati mahu melihat mayat yang tidak reput dan berbau wangi. Tidak mungkin saya pergi ke situ sendiri tanpa ditemani oleh datuk dan Alang Abdul Rauf.
“Mari,” datuk tarik tangan saya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|