KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) kembali untuk edisi ke-32 bertemakan ‘Melangkaui Sempadan’ bagi mengiktiraf kejayaan anak seni tempatan, bukan hanya di tanah air, malah merentasi benua.
Tema itu juga sejajar dengan kematangan akhbar BH yang kini berpegang kepada slogan ‘Wadah Pembaharuan’ dalam menjadi sumber informasi dan rujukan rakyat menerusi kandungan mantap serta menarik.
ANUGERAH Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-32.
Pengarang Kumpulan BH merangkap Penaung ABPBH 32, Khaidir A Majid, berkata BH sentiasa komited dalam menambah baik pengisian acara anugerah berkenaan dan memastikan ia kekal relevan dalam mengukur populariti penggiat seni.
“Bersesuaian tema seni sejagat, ABPBH buat julung kali memasukkan kategori artis antarabangsa iaitu Artis K-pop Popular dan Artis Indonesia Popular dalam senarai kategori utama.
“Langkah ini diambil bagi memantapkan kandungan ABPBH yang bukan sahaja menjadi acara anugerah hiburan yang ditonton peminat tempatan, malah penduduk dunia menerusi penstriman, sejak beberapa tahun lalu,” katanya pada majlis prapelancaran ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites, di sini, sebentar tadi.
Yang turut hadir Pengarang Eksekutif, Komersial dan Ehwal Semasa BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Datuk Alha. Alha Alfa menjadi Penaja Utama bagi ABPBH untuk dua tahun berturut-turut, sejak 2018.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Peter Schiesser, mewakili DuitNow yang menjadi Penaja Bersama ABPBH 32.
Meneruskan rekod cemerlang sebagai acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, ABPBH 32 bakal menyaksikan kepelbagaian dalam pengisian menerusi semua platform.
Ia merangkumi kandungan digital dan bercetak, media sosial, siri jelajah, aktiviti santai bersama kelab peminat #FANtastik dan showcase istimewa yang dirancang sepanjang bulan ini hingga September depan.
Semua acara itu dirangka berteraskan falsafah ABPBH yang bertitik tolak kepada keupayaan individu sama ada artis atau peminat untuk meningkatkan keupayaan diri, mencabar kreativiti dan memburu impian menjadi yang terbaik dalam setiap lapangan.
Khaidir berkata, semakin ramai artis tempatan melebarkan sayap di pentas antarabangsa, membuktikan bakat dan keupayaan anak Malaysia diiktiraf peminat pada peringkat global.
“Kami di BH sentiasa peka dan bersedia menghadapi cabaran yang mendatang, seiring dengan slogan baharu BH iaitu Wadah Pembaharuan,” katanya.
Khaidir berkata, bagi menghangatkan ABPBH 32, dua siri jelajah bersama artis dan kelab peminat turut dirancang iaitu di KOMTAR JBCC, Johor Bahru pada 3 Ogos ini, disusuli Aman Sentral, Sungai Petani, Kedah pada 24 Ogos.
Turut dianjurkan program santai bersama kelab peminat iaitu #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 pada 7 September depan di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor.
Acara kemuncak ABPBH 32 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 22 September depan.
Selain dua kategori baharu, ABPBH 32 turut mempertandingkan 13 kategori utama iaitu Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.
Turut dipertandingkan Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular.
Menghangatkan lagi acara, ABPBH 32 juga mempertandingkan lima kategori online iaitu Artis Sensasi Popular, Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Watak Antagonis Popular dan Lagu Paling Boom.
Selain trofi utama, Bintang Paling Popular, ABPBH juga mengiktiraf anak seni yang banyak menabur jasa kepada industri seni hiburan menerusi Anugerah Sepanjang Hayat yang bakal diumumkan pada malam kemuncak.
Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, rekod ABPBH tahun lalu membuktikan eratnya hubungan artis, peminat dan media.
“ABPBH 31 pada 7 Oktober tahun lalu merekodkan sejarah apabila lebih 24 juta undian diterima bagi 13 kategori utama dan lima kategori online yang dipertandingkan dalam tempoh undian selama sebulan,” katanya.
Proses undian ABPBH 32 boleh dilakukan menerusi laman web
www.abpbh.com.my bermula 15 Julai ini sehingga 14 Ogos depan. Calon perlu mempunyai produk yang dihasilkan mulai Januari 2018 hingga Disember 2018.
Undian ABPBH 32 lebih menarik kerana peminat berpeluang menggandakannya menerusi langganan BH Digital dengan membuat pembayaran menggunakan sistem DuitNow.
INFO:
ABPBH 32
- Lokasi rasmi acara kemuncak ditaja Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
- Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebagai penyiar televisyen rasmi, manakala Kool FM dan Hot FM sebagai stesen radio rasmi serta TONTON sebagai platform digital rasmi.
- Jumlah tontonan bagi edisi lalu mencatat rekod tontonan tertinggi hampir enam juta secara menyeluruh sepanjang hampir tiga jam bersiaran, bermula jam 9 malam sehingga 12 malam.