Siti Nordiana Tempat Teratas Calon Awal APO2016
Diterbitkan: Rabu, 16 Mac 2016 3:58 PM
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana yang sebelum ini dianggap sebagai ‘penyanyi kampung’ mempunyai pengaruh besar di kalangan penggemar media sosial apabila menduduki tempat teratas bagi tempoh pencalonan dalam Anugerah Pilihan Online (APO2016).
Menurut rekod pencalonan sehingga pukul 11 pagi Rabu, Siti Nordiana atau Nana, 33, mendapat pencalonan terbanyak menerusi kategori Penyanyi Wanita Terhebat Pilihan Online.
Artis lain yang turut tersenarai dalam kategori itu antaranya Dayang Nurfaizah, Datuk Siti Nurhaliza, Ayda Jebat, Misha Omar, Yuna dan Ella.
Bagi kategori penyanyi Lelaki Terhebat Pilihan Online pula menyaksikan Akim Ahmad memperoleh kedudukan tinggi bersama Hazama.
Aktor Terbaik Pilihan Online pula sehingga Rabu menyebelahi Shaheizy Sam manakala Aktres Terbaik Pilihan Online berpihak kepada Ayda Jebat.
Pelakon Syarul Ridzwan pula menunjukkan peningkatan ketara pencalonan apabila berada pada kedudukan kukuh berbanding Shaheizy Sam, Aaron Aziz dan Fattah Amin bagi kategori Lelaki Tampan Pilihan Dnars.
Ayda Jebat yang mesra media sosial menyebabkan dia memperoleh ramai pengaruh.
Wanita Anggun Pilihan Dnars pula setakat ini menjadi milik Mira Filzah manakala Selebriti Komedi Pilihan Online berpihak kepada Zizan Razak.
Bagi Grup Pilihan Online menyaksikan Akim & The Majistret mendapat pencalonan tertinggi dan Penyampai Radio Pilihan Online adalah milik Johan (Era FM).
Untuk kategori sukan memperlihatkan Datuk Lee Ching Wei mendapat pencalonan tinggi menerusi Bintang Sukan Pilihan Online.
Bintang Sukan Wanita Pilihan Online pula berpihak kepada Datuk Nicol David manakala pasukan bola sepak JDT (Johor) mengungguli Pasukuan Sukan Pilihan Online.
Penggemar media sosial turut memilih Mia Ahmad bagi Ikon Fesyen Pilihan Online manakala Neelofa (Naelofar Hijab) dipilih Ikon Niaga Muda Pilihan Online.
Peminat blog mencalonkan Siakap Keli dalam kategori Blog Pilihan Online manakala pensyarah dari UiTM Pulau Pinang, iaitu Chef Azli memperoleh undian dalam kategori Chef Selebriti Pilihan Online.
Selebriti Media Sosial Pilihan Online pula menyaksikan Amran Fans memperoleh pencalonan terbanyak.
Dalam pada itu Pengurus Produk mStar, Michael Fredericks berkata, sambutan tinggi Siti Nordiana dan juga kategori membabitkan artis adalah disebabkan kempen dilakukan kelab peminat masing-masing.
Syarul Ridzwan mendapat pencalonan tinggi bagi kategori Lelaki Tampan Pilihan Dnars.
Katanya, trend itu secara tidak langsung menggalakkan orang ramai dan pengikut personaiti berkenaan berlumba-lumba membuat pengundian.
“Kita lihat sahaja di Facebook, Instagram dan Twitter dengan hastag #APO2016, banyak kempen dilakuklan oleh kelab peminat untuk membolehkan personaliti yang dicalonkan mendapat pencalonan tinggi,” katanya.
Populariti Siti Nordiana juga katanya naik secara mendadak selepas dia menjuarai Gegar Vaganza 2015.
Dalam pada itu orang ramai boleh terus membuat pencalonan sehingga 30 Mac ini agar selebriti kesukaan masing-masing boleh berada dalam senarai top five.
Untuk membuat pencalonan, mereka hendaklah ke laman web apo.mstar.com.my dan perlu mempunyai akaun media sosial masing-masing.
Bagi tempoh ini, hanya sekali sahaja pencalonan dibenarkan bagi setiap akaun media sosial.
APO2016 yang dilaksanakan dengan kerjasama Suria FM membawa tema glam digital dan bakal bersiaran pada 30 April 2016 menerusi saluran TV2.
Sebanyak 18 kategori dipertandingkan termasuk satu kategori khas itu Personaliti Terhebat Pilihan Online yang dipilih berdasarkan undian tertinggi dalam semua kategori.
APO2016 dihebatkan oleh Dnars sekalu penaja rasmi.