PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad berkongsi berita duka mengenai pemergian bapanya, Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad, yang meninggal dunia pada jam 1.40 pagi tadi.
Meskipun dirundung pilu, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 38, meluahkan rasa kagum terhadap kekuatan dan semangat bapanya dalam menghadapi ujian kesihatan.
“Hero saya menghembuskan nafas yerakhir pada pukul 1.40 pagi tadi.
“Dia tidak pernah menyerah untuk bertarung, tetapi jantungnya berhenti berdetak.
“Dia akan selamanya menjadi pahlawan dan juaraku. Aku mencintaimu, papa. Al-Fatihah, papa,” ujarnya.
Dalam nada penuh emosi, pelakon filem Polis Evo 3 itu menyifatkan arwah sebagai seorang bapa yang hebat dan inspirasi terbesar dalam hidupnya.
“Terima kasih kerana menjadi bapa yang hebat untuk kami semua. Saya hanya setengah kuat dan setengah baik seperti papa.
“Sekarang ajarkan saya untuk menjadi sehebat papa dari syurga,” luahnya.
Bagaimanapun, Sharnaaz tidak berkongsi secara terperinci punca kematian bapanya.
Sebelum ini, Sharnaaz pernah memaklumkan bahawa Allahyarham mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Syed Eyusof Georgetown selepas solat Asar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Lama, Pulau Pinang.
Sharnaaz menerima sokongan dan ucapan takziah daripada peminat serta rakan artis yang turut mendoakan agar roh bapanya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/11/27/bapa-sharnaaz-ahmad-meninggal-dunia/