JAKARTA, 3 Safar 1439H, Isnin – Indonesia menghantar nota diplomatik kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) dan memanggil timbalan duta negara itu di Jakarta berhubung isu Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), tidak dibenarkan masuk ke AS. Jeneral Gatot Nurmantyo sepatutnya berlepas ke AS, Sabtu lalu bagi menyertai Persidangan Ketua-Ketua Tentera Bagi Menangani Tindak Balas Keganasan Ekstremisme di Washington, minggu ini, atas jemputan Pengerusi Ketua Turus Staf AS, Jeneral Joseph Dunford Jnr. Jurucakap TNI, Wuryanto pada sidang media hari ini berkata, bagaimanapun, tatkala hendak menaiki pesawat, syarikat penerbangan memberitahu Jeneral Gatot bahawa pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) tidak membenarkan beliau memasuki negara itu. Tidak dapat dipastikan kenapa beliau dihalang daripada memasuki AS, kata Wuryanto sambil menambah bahawa Jeneral Gatot tidak mempunyai masalah ketika lawatan ke AS pada Februari tahun lalu. “Kami meminta penjelasan daripada AS, Jabatan Negara selain kedutaannya di Jakarta. Sehingga sekarang kami masih menunggu penjelasan itu,” kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. Jurucakap Kementerian Luar, Arrmanatha Nasir sebelum ini berkata, kedutaan Indonesia di Washington telah menghantar nota diplomatik kepada Setiausaha Negara AS meminta penjelasan berhubung insiden itu. Sementara itu, kedutaan AS di Jakarta dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang berhubung dengan kakitangan Jeneral Gatot untuk memudahkan perjalanannya, tetapi tidak mengulas lanjut. “Duta AS ke Indonesia, Joseph Donovan memohon maaf kepada Menteri Luar, Retno Marsudi mengenai kesulitan yang dihadapi Jeneral Gatot. “Kami tetap komited dengan perkongsian strategik dengan Indonesia sebagai cara untuk mewujudkan keamanan dan kemakmuran kepada kedua-dua negara,” kata kenyataan itu. – Agensi
dimane demonya ????
|