TURKI – Ternyata beruang mempunyai cita rasa yang tinggi dan sangat pandai untuk merasa keenakan sesuatu makanan.
Itulah antara hasil eksperimen saintifik yang telah dilakukan oleh seorang penternak lebah Turki yang telah merakam reaksi seekor beruang tempatan yang telah menceroboh stor penyimpanan madunya.
Penternak lebah, Ibrahim Sedef sering mengalami kerugian berikutan stor madunya sering diceroboh oleh beberapa ekor beruang yang menyukai madu. Menurut laporan tempatan berbahasa Turki, TRT World, selama tiga tahun, Sedef menganggarkan kerugian sekitar AS$10,000 madu kepada beruang-beruang tersebut.
Sedef telah melakukan apa sahaja demi menghalang beruang tersebut daripada terus menceroboh stor madunya itu seperti memberikan makanan yang lain seperti buah epal, roti paun, pisang dan madu biasa akan tetapi beruang-beruang tersebut terus kembali dan memecah masuk ke dalam stor madunya itu.
Melakukan penyelidikan
Dalam tempoh yang tertentu, Sedef memutuskan untuk mencuba dan menyelidiki dengan menyediakan madu tertentu yang digemari oleh beruang tersebut. Justeru, penternak tersebut memasang kamera penglihatan malam dan meletakkan pelbagai jenis madu seperti Flower, Chestnut dan Anzer – dan satu mangkuk jem ceri, untuk ujian rasa serta membiarkan beruang tersebut untuk merasakannya.
Selepas menyaksikan rakaman video tersebut, Sedef menyedari bahawa beruang tersebut sentiasa memilih madu Anzer, ini membuktikan bahawa beruang mempunyai cita rasa yang sangat baik, memilih antara madu yang paling mahal di dunia. Menurut The Guardian, madu Anzer diperoleh melalui nektar 90 bunga yang hanya tumbuh di kawasan pergunungan Anzer.
Terima kasih kepada warisan pembuatan madu di Turki, madu Anzer antara yang termahal sekali di dunia di mana ia dijual sekitar AS$300 sekilogram dan beruang-beruang tersebut sangat menyukai madu tersebut. Melihat akan kebijaksanaan beruang-beruang tersebut menyebabkan Sedef melupakan kerugian yang pernah dialaminya itu.
“Saya sudah lupa apa yang telah dilakukan haiwan itu kepada saya, sekarang, saya sangat menyayanginya,” katanya kepada Media TRT World. Walaupun bagi sesetengah pihak, menguji makanan dengan menggunakan haiwan adalah salah dan tidak digalakkan, namun dalam situasi Sedef, ia hanya untuk tujuan kebaikan. – Agensi