Edited by ifanonline at 22-3-2017 09:07 AM
Polis lindungi peniaga air ketum direman
Dua anggota polis diiringi pegawai SPRM setelah dikenakan tahanan reman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. AZMAN ASMAYATIM 22 Mac 2017 12:56 AM
PULAU PINANG 21 Mac – Dua anggota polis masing-masing berpangkat Inspektor dan Koperal direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengambil rasuah bagi melindungi peniaga air ketum.
Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga Isnin depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftaran Mahkamah Sesyen, Ahmad Tajudin Zain.
Kebenaran reman itu dikeluarkan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pengarah Siasatan SPRM nege­ri, Datuk Simi Abd Ghani berkata, pegawai berpangkat Inspektor itu ditahan dalam operasi ber­a­singan kelmarin di Raub, Pahang manakala suspek kedua ditahan di negeri ini.
Katanya, kedua-dua suspek yang berusia 33 dan 31 tahun itu disyaki mengambil rasuah antara RM2,000 hingga RM3,500 untuk melindungi kegiatan penjual air ketum.
“Difahamkan, peniaga air ketum ini boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 iaitu kerana memiliki dan menjual air ketum.
“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda di bawah Seksyen 30 (5) Akta Racun 1952 iaitu denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Menurutnya, SPRM negeri percaya peniaga-peniaga berkenaan mengaut keuntungan bersih sehingga RM350 sehari yang menyebabkan mereka tidak kisah membayar wang perlindungan kepada anggota polis.
Beliau memberitahu, kes seper­ti itu tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan kemudaratan kesihatan masyarakat berikutan pengambilan bahan itu secara berlebihan boleh membuatkan seseorang berasa khayal dan mabuk sama seperti pengambilan alkohol dan dadah.
|