|
KINABATANGAN: Seramai 14 penduduk Kampung Paris 1, dekat sini, dikhuatiri hilang di hutan simpan Ulu Segama, Lahad Datu, antara empat hingga enam hari lalu.
Dalam kejadian 21 Jun lalu, lima penduduk dilaporkan pergi ke Sungai Bilong di hutan berkenaan untuk mencari ikan, kira-kira jam 2.30 petang.
Selepas lebih dua hari tidak pulang dan gagal dihubungi, sekumpulan sembilan penduduk lagi pergi ke hutan itu untuk mencari mangsa, namun dipercayai turut hilang.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata laporan polis hanya dibuat Ahad lalu selepas penduduk gagal menghubungi semua mangsa yang berusia antara 20 tahun dan 58 tahun.
Katanya, operasi mencari dilancarkan semalam membabitkan 80 anggota polis, bomba, Jabatan Hidupan Liar dan penduduk kampung.
sumber: Berita Harian
|
|