Khas buat para pendaki, backpackers dan pencinta alam semulajadi, artikel kali ini penulis ingin kongsikan tentang sebuah destinasi yang mungkin anda belum tahu.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Pulau Padar adalah "syurga tersembunyi" yang terletak di Taman Nasional Komodo, Indonesia. Pulau ini merupakan antara pulau yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menariknya di sini, tiada sebarang pembangunan. Pendek kata "masih dara" lah sebab belum diceroboh dan harap ia akan kekal terpelihara dari sebarang pembangunan.
Di sekitar pulau ini terdapat tiga atau empat pulau kecil yang lain dan turut memiliki keunikan panorama masing-masing.
Selain aktiviti seperti berenang dan snorkeling, pengunjung juga berpeluang mendaki bukit yang berada di Pulau Padar untuk menikmati keindahan panorama dari atas. Biru laut dan jajaran pulau di sekitarnya pasti membuat pengunjung teruja untuk mendaki ke puncak bukit.
Meskipun trek menuju ke puncak agak mencabar dan memenatkan, namun amat berbaloi kerana pengunjung dapat mengabadikan momen indah dengan panorama yang sukar ditemui di pulau-pulau lain di seluruh dunia.
Cantik kan? Apa lagi, jom rancang percutian hebat di pulau ini. - CARI
|