Tengku Abdullah turut mengakui berasa dukacita selepas dikejutkan dengan tindakan pelakon tersebut yang ditahan dan didakwa di mahkamah kerana menampar seorang anggota polis di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
"Semua individu yang mendapat (gelaran) Datuk, telah tersurat dan tersirat dalam etika untuk (layak) memakai gelaran ini.
"Kalau hendak diikutkan hati, nak tarik semua (anugerah kebesaran negeri). Saya dukacita kalau terdapat individu yang digelar Datuk berkelakuan seperti ini.
"Kalau dia hendak pulangkan, terpulanglah. Kalau dia sedar dan dia hendak pulangkan, itu lebih baik," titah baginda kepada pemberita di sini semalam.
Baginda bertitah demikian ketika mengadakan lawatan ke atas mangsa kebakaran tiga buah rumah di Perkampungan Sungai Isap di sini yang hangus dijilat api dalam kejadian petang kelmarin.
Sebagai rekod, Farid Kamil menerima anugerah DIMP di Istana Abu Bakar, Pekan pada 16 Disember tahun lalu yang membawa gelaran Datuk.
Ujar Tengku Abdullah lagi, baginda tidak mahu menghukum mana-mana pihak bergelar Datuk sekiranya individu terbabit melakukan kesalahan.
"Saya bukan mahu menghukum, tapi mereka sendiri yang tersalah langkah. Kalau kita hendak tarik semula (gelaran Datuk), kita juga harus mengikut prosedur.
"Tapi kalau dia hendak pulangkan, itu cara terbaik," tambah baginda. - K! ONLINE