CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3184|Reply: 9

(UPDATE!!) BILIK PERSALINAN BANGUNAN LAMA 'BAHAGIAN I' (Sudah edit, tertinggal b

  [Copy link]
Post time 11-6-2018 05:11 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Tasnim_Halil at 11-6-2018 06:50 PM

BILIK PERSALINAN BANGUNAN LAMA (BAHAGIAN I)

Oleh: TASNIM HALIL

“Ada apa tu kecoh-kecoh aku tengok?” Mona bertanya kepada rakannya Liza yang asyik dengan panggilan 3 saat dia.

“Hah, Mana-mana? Apa yang kecoh?”

“Tu haa, kat kedai kain tu. Ramai orang kerumun kat situ.” Jari telunjuk Mona dituding melintasi muka Liza.

Liza sekadar melirikkan mata melihat arah tundingan Mona. Tiada apa yang peliknya bagi dia jika kedai kain dikerumuni oleh orang ramai. Paling tidak pasti ada jualan murah atau jualan penghabisan stok. Tiba-tiba lirikan mata Liza tertangkap suatu pandangan yang berjaya mengalihkan mukanya dari skrin telefon.

“Weh, tengok tu... hensemnya mamat tu... bersihnya muka dia, kan? Liza ternampak susuk seorang pemuda yang sedang bergegas menuju ke kedai kain tadi.

“Ah kau ni, pantang nampak boy hensem sikit semua kau nak teruja. Kau tu bukannya elok sangat nak dapat boy baik macam tu...” Mona memandang susuk pemuda yang disebut-sebut oleh Liza.

“Apa benda yang korang bising-bising kat belakang tu ha? Aku nak drive pun tak senang, dah la jem teruk kat sini. Diam sikit boleh tak?” Adam membentak dari tempat duduk pemandu.

“Sori Dam, ni Liza ni duk bising pasal apa entah. Kau bukan tak kenal dia, suka berlebih kalau nampak benda yang dia berkenan.”Pantas Mona menjawab persoalan Adam.

“Ah kau ni Mon, aku cakap pasal mamat hensem tu je. Cakaplah kau tak perasan kehenseman dia tadi.” Liza mempertahankan diri.

“Diamlah kau Liz, layan jer pakwe sendu kau tu.”

Liza sekadar membatukan diri tanpa menyambung pertelingkahan mereka. Barangkali dia tidak mahu memanjangkan hal yang kecil sebegitu. Jauh dari sudut hati Mona, dia mengakui ketampanan wajah pemuda yang dilihatnya tadi.

‘Bukan saja paras rupanya yang tampan, malah gaya berpakaian pemuda tu persis seorang ustaz muda. Walaupun aku ni bukanlah layak untuk berpasangan dengan lelaki baik sebegitu, tapi tak salah jika memasang angan-angan. Percuma,’ bisik hatinya.

“Mon, kau jangan lupa next week kita nak shopping kat sini kan?” Liza mengingatkan.

“Yer betul, aku ingat. Don’t worry. Dam, kau ikut sekali tau...”

“Aku kan bodyguard korang, mana boleh tak ikut sekali...” Adam menutup bicara.



****

Pin Pin!

“Liza, aku dah sampai ni, turun cepat!” Terdengar jeritan suara Adam dari bawah rumah.

“Ha, kejap aku turun sekarang.” Liza bingkas bangun dan segera mendapatkan Adam yang sedang menunggu di kereta.

“Mona mana Dam? Bukan selalu kau ambil dia dulu ke sebelum ambil aku?”

“Tadi aku dah pergi rumah dia, mak dia makcik Saodah cakap dia sakit perut duk dalam jamban tak keluar-keluar. Jadi aku datang ambil kau dulu, lepas ni kita pergi ambil dia kat rumah.”

“Ha, takpe la kalau macam tu. Aku ok je...”

Adam terus memacu pantas keretanya menuju ke rumah Mona. Dengan harapan Mona sudah pulih daripada derita sakit perut dia. Entah apa yang dimakan sampai sakit perut, tidaklah dapat diagak oleh Adam.

Selang 10 minit mereka telah sampai ke perkarangan rumah Mona. Kelihatan susuk tubuh Mona berbaju kurung moden berdiri tegak dihadapan pintu. Dengan muka yang monyok, dia melangkah pantas ke dalam kereta Adam.

“Weh, kau dah kenapa pakai baju kurung pulak hari ni? Hahahaha!” Gelihati Adam melihat Mona yang mengenakan baju kurung.

“Diamlah, setan! Mak aku bising suruh aku pakai baju kurung ni. Kalau aku tak pakai kang takut jadi anak derhaka.” Mona memberi alasan.

“Aku no komen...” Liza menyambut alasan Mona sambil menekup mulutnya menahan tawa.

“Jalan cepat Dam sebelum aku ubah fikiran cancel program kita hari ni.”

“Ya… ya, aku gerak sekarang. Tapi serius kau nampak comel pakai baju kurung ni. Hahahaha...” Hilai tawa Adam hilang bersama bunyi deruan enjin keretanya. Mona sengaja buat tuli, tak kuasa dia nak melayan usikan sahabat baiknya itu.

“Eh, kau ni Liza… tak habis-habis dengan phone kau tu. Tak pening ke?” Mona mengalih topik. Dicuit bahu sahabat yang asyik menunduk dari tadi.

“Pening apa, aku dah biasa. Lagipun untung buat call tiga saat ni, tak kena caj. Jimat kredit.”

“Eleh… cakap je la kau dapat pakwe kedekut. Nak call pun berkira. Macam orang tak betul je cakap sepatah, letak. Pastu cakap sepatah lagi,” kritik Mona, sengaja nak kenakan Liza pula.

Jazman memang kedekut. Jarang sekali nak menggunakan kredit telefonnya untuk menghubungi Liza. Panggilan tiga saat itulah yang selalu dilakukan dengan telefon Nokia 3310 miliknya. Liza tak kisah, baginya dalam bercinta perlukan pengorbanan dan terima kelebihan serta kekurangan pasangan.

“Eh, nak tahu tak… semalam aku dapat mimpi pelik tapi syok.” Sekali lagi Mona cuba mencuri perhatian dua sahabatnya. Kali ini dia berjaya membuatkan Liza mengangkat muka untuk mendengar cerita selanjutnya.

“Aku mimpi ada seorang perempuan kaya bagi aku duit, banyak... Tapi yang peliknya dia suruh aku shopping dekat kedai di bangunan lama kat pekan tu.”

“Heh… kat mana lagi kita nak shopping kalau tak kat situ. Memang situ je tempat yang ada, apa yang peliknya?” tingkah Liza.

“Mak aku cakap, kalau mimpi dapat duit ni, nak lekat jodoh. Cepatlah kau kawin,” celah Adam pula. Matanya tak lari daripada memberi tumpuan di dada jalan.

“Ah, merepeklah!” Mona sengaja tarik muka masam. Dia tak mahu memanjangkan cerita lagi, tambahan pula melihat Adam dan Liza sepakat mentertawakannya.

Mona, Liza dan Adam adalah kawan rapat. Persahabatan mereka bermula dari sekolah rendah lagi. Keakraban mereka terserlah apabila masing-masing mendapat keputusan pangkat 3 dalam peperiksaan SPM. Dengan keputusan yang tidak berapa cemerlang sebegitu, mereka sekadar bergelar minah dan mamat kilang.

***

Nampaknya cuaca hari ini seakan berpihak kepada mereka. Langit cerah dan tidak terlalu panas, sangat sesuai untuk sesiapa sahaja yang ingin keluar berjalan atau beriadah. Mereka menuju ke satu-satunya tempat yang boleh dikunjungi untuk membeli belah. Bangunan lama di tengah pekan, berdiri gagah walaupun sudah berusia hampir 100 tahun.

Perjalanan mereka mengambil masa hampir 20 minit. Setibanya di sana, Adam memarkir keretanya di perkarangan Surau Al-Diniyyah. Seraya turun dari kereta, Liza ternampak pemuda hensem yang dilihat mereka tempoh hari sedang duduk bertelegu di tangga surau sambil menghadap telefon bimbit.

            “Mona, tu tu mamat hensem yang kita nampak haritu tu.” Panjang muncung Liza menunjuk ke arah pemuda tersebut.

            “Biarlah dia, kau sibuk ni dah kenapa? Kita bukan nak pergi belajar mengaji Quran pun, kita nak shopping kan?” Mona cuba mengalihkan perhatian.

            “Eleh, kau tu saja jer kan. Bukan aku tak tahu kau suka dekat mamat hensem ni. Tu muka kau merah-merah kenapa?”

            “Dah la weh, jom cepat. Lambat masuk, lambat la kita keluar nanti.” Adam membebel lagi.

            “Jom-jom! Layan kau Liz, sampai esok pun tak selesai” Mona mengeraskan suara.

            Mereka bertiga berlalu pergi menuju ke bangunan lama bersebelahan Surau tersebut. Sesekali Mona melirikkan matanya memandang pemuda tadi sambil berangan menjadi pasangan raja seharinya. Pemuda tadi seakan perasan kelibat Mona yang memandangnya, lalu dia mendongak dan mengukir senyuman manis sekadar mengamalkan Sunnah.

            Mona, liza dan Adam menuntun tangga menuju ke tingkat 3 bangunan. Bahagian pakaian wanita berada disebelah kiri tingkat 3 dari arah tangga yang mereka naiki. Bagi Adam, dia sekadar meneman rakannya untuk membeli-belah. Dia tidak ada apa-apa keperluan untuk membeli buat masa ini. Mona dan Liza sangat teruja melihatkan banyaknya baju-baju yang cantik untuk dibeli. Hampir sahaja mereka lupa kepada Adam yangikut berada di belakang.

            Mona mula memilih beberapa helai pakaian untuk dicuba di bilik persalinan. Liza sedang asyik memilih dan membiarkan Mona bersendirian ke bilik persalinan untuk mencuba baju yang telah dipilih tadi.

Ketika hampir sampai ke muka pintu bilik persalinan,mata Mona tertangkap kelibat seseorang yang seperti dikenali olehnya. Dia berhenti seketika dan memandang terus kepada seorang wanita separuh umur yang berbaju kebaya rona kuning terang.

            “Kenapa macam pernah tengok perempuan ni ye... Eh, ni bukan perempuan yang datang dalam mimpi aku bagi duit tu ke?” getus hati Mona.

            Perempuan separuh umur tersebut perasan akan kehadiran Mona yang sedang memandangnya. Dia melemparkan senyuman manis tepat ke arah Mona. Mona terasa pelik kerana tidak pernah mengenali perempuan itu sebelum ini, namun dia sekadar membalas senyuman. Janggal.

Mona terus bergegas masuk ke dalam bilik persalinan dan memilih bilik kedua dari hadapan. Dia mengunci rapat pintu bilik tersebut dan terus menanggalkan pakaiannya satu per satu. Dicuba baju yang dipilih tadi sambil bergaya persis seorang model di hadapan cermin besar. Hanya satu sahaja baju yang sesuai daripada tiga helai yang dipilih. Mona segera menukar pakaiannya semula untuk sambung memilih baju-baju yang lain. Masih banyak masa yang ada untuk digunakan hari itu.

            “Liz, lepas ni kau ikut aku ke bilik persalinan tau. Aku nak suruh kau tengokkan baju yang aku pilih nanti sesuai ke tak...”

            “Baik tuan puteri lindungan bulan, kejap lagi hamba ikut tuan puteri ke bilik persalinan yer...” Liza membalas sinis sambil mencubit lembut pipi kawannya itu.

            Mona terus memilih baju untuk dicuba, terlalu banyak pilihan yang ada. Memang rambang mata dibuatnya. Liza juga asyik memilih baju yang sesuai untuk dibeli, sambil bertanyakan pandangan dengan teman lelaki kedekutnya. Panggilan tiga saat digunakan sebaiknya.

            “Warna apa?”

            “Kecik ke besar?”

            “Tak.”

            “Bolehlah.”

            “Okey.”

            Sesekali Mona memandang gelagat Liza yang macam orang tak berapa betul. Tapi apakan daya, dah begitu peel dia dan teman lelakinya. Mona sudah memilih lima helai baju yang dia ingin cuba. Dia segera mengajak Liza menemaninya untuk ke bilik persalinan sekali lagi. Liza yang asyik memilih baju meminta Mona untuk tunggu sebentar.

            “Kalau tunggu kau pilih baju, memang tak sempat aku nak test baju ni tau. Jom la cepat!” Mona yang kurang sabar telah memegang tangan Liza dan ditarik kawannya itu menuju kebilik persalinan.

            Liza tidak berkata apa dengan tindakan Mona. Dia hanya mendiamkan diri dan tersenyum nipis. Lain benar keadaan Liza ketika itu, selalunya dia pasti akan membantah dengan tindakan Mona yang memaksanya.

            “Kau duduk depan pintu ni tau Liz, aku tukar baju kejap. Lepas dah tukar aku tunjuk kat kau ye.”

            Sekali lagi perangai Liza tampak berbeza. Dia sekadar melemparkan senyuman manis dan menganggukkan kepala tanda setuju. Mona perasan perbezaan yang ditunjukkan Liza, tapi dia fikir mungkin itu sekadar gurauan sahaja.


***


             “Ni cantik, yang ni pun cantik... kan Mon?” Liza cuba mendapatkan sokongan Mona.

              ........

            “Eh mana pulak si Mon ni pergi? Tadi ada kat belakang aku,” getus Liza perlahan.

            Dia mula tercari-cari kelibat Mona yang tidak kelihatan. Tadi dia sudah berjanji mahu menemani sahabatnya itu ke bilik persalinan untuk mencuba baju yang dipilih, sekarang ini sudah lesap pula. Adam yang tadi duduk bertelegu di tepi dinding mula bangun dan bertanya apa yang terjadi kepada Liza.

            “Kau dah kenapa liz? Tetiba je buat muka gelabah ni? Mon mana?”

            “Tu la sebabnya aku risau ni, tadi dia ajak aku pergi bilik persalinan tapi aku suh tunggu kejap sebab aku tengah pilih baju. Alih-alih aku tengok belakang, dia dah takde. Takkan dia pergi bilik persalinan sorang-sorang kot.”

            “Dah tu, pergi la cek dekat sana. Mana tahu dia ada tengah test baju,” tegas Adam.

            “Ye lah, aku pergi tengok kejap. Kau tunggu sini, jangan ke mana-mana. Kang kalau aku nak panggil senang.”

            Liza pantas melangkah kebilik persalinan yang berada lebih kurang 10 meter dari tempat dia memilih baju tadi. Dilihat ada beberapa orang wanita dan anak kecil sedang menggunakan sebahagian bilik persalinan, tetapi tidak terlihat kelibat Mona.

Setiap bilik diketuk dan ditanya sama ada keberadaan Mona di situ, tapi hampa. Bayang Mona langsung tidak kelihatan. Liza mula tidak sedap hati dan berasa risau dengan situasi ketika itu. Dia memanggil Adam untuk memaklumkan ketiadaan Mona di bilik persalinan.

            “Aku dah cek semua sekali, memang Mon takde kat sini. Macam mana ni Dam?”

            “Dia pergi toilet kot, mana tahu sakit perut dia jadi balik...” Adam cuba menenangkan keadaan.

            “Ye tak ye jugak kan, mungkin betul dia ada kat toilet. Jap aku pergi cek kat sana.”

            Liza meneruskan pencarian dengan harapan Mona ada di tandas sedang memerut. Jika tidak, pasti akan menambah kegusaran di dadanya.


***


            “Liz, cuba tengok baju ni. Sesuai tak dengan aku?” Mona membuka pintu bilik dan menunjukkan baju yang dipakai kepada Liza sementara dia masih mengadap cermin.

            Liza sekadar mengangguk. Tiada sepatah perkataan pun yang terzahir dari lidahnya.

            “Kau ni dah kenapa liz? Tiba-tiba jadi senyap tak berbunyi. Dah bisu ker?” Mona mengerling Liza melalui biasan cermin di hadapannya…

            Liza kekal dengan senyuman manis sambil matanya menyorot tajam melihat muka Mona. Kemudian perlahan-lahan Liza melangkah ke arah Mona yang masih leka menggayakan pakaian yang sedang dipakainya.

             “Haish! Kau ni, buat aku terkejut jer la. Yang kau masuk dalam ni nak buat apa? Sempit tau tak...” Mona mengangkat kepala dan terkejut melihat Liza betul-betul berada di belakangnya ketika itu.

            “Kau yang tarik tangan aku tadi kan? Sekarang kenapa tanya pulak? Hik hik hik...” Liza ketawa kecil sambil tangannya menarik daun pintu rapat dan menguncinya.

            “Liz, kau tutup pintu tu kenapa? Bukak balik sekarang, panaslah!” Mona seperti tidak merasai kelainan pada Liza.

            “Nak buka buat apa, kita duduk sinilah baru seronok. Hik hik hik...”

            Tiba-tiba telinga Mona berdesing kuat. Dia seakan-akan baru tersedar dari lamunan yang panjang dan merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan Liza. Matanya mengerling pada cermin untuk melihat Liza. Dia terkejut apabila melihat wajah Liza yang berubah menjadi pucat lesi. Mona terus memusingkan badannya, sekali lagi dia tersentak apabila melihat susuk tubuh di hadapannya kini bukanlah Liza yang dikenalinya.

            Sesusuk makhluk berupa seorang wanita berpakaian lusuh dengan mata yang menyorot tajam dan mulut yang sedang terbuka luas berdiri di hadapan Liza.

            “Arrrggggggghhhhhhhh!”  Mona menjerit sekuat hatinya untuk meminta tolong dalam keadaan matanya terpejam rapat kerana ketakutan.
            Tiba-tiba Mona terasa ada sesuatu telah menutup mulutnya supaya tidak terus menjerit. Apabila dibuka mata, tangan makhluk tadi sudah menutup penuh mulut Mona.

            “Syuhhhh... Jangan bising, jom aku bawa kau ke tempat yang lebih menarik. Hihihihi...”

            Makhluk tersebut terus menolak Mona ke arah cermin yang berada dibelakang lalu mereka menembusinya, masuk ke suatu tempat asing yang tidak diketahui oleh sesiapa.

            Mona sekadar mampu membeliakkan matanya dan butiran jernih mula berguguran membasahi pipi.

            Sementara di surau Al-Diniyyah, pemuda hensem tadi baru selesai mengimamkan solat zohor. Dialah Ustaz Saiful yang pernah membantu pasangan Saad dan Salmah semasa peristiwa mereka kehilangan anak di kedai kain sebelum ini.

“Assalamualaikum warahmatullah, Assalamualaikum warahmatullah...”

“Allahu akbar, dia dah kembali...” Ustaz Saiful mendapat firasat buruk.

***

Bersambung...


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-6-2018 06:44 PM | Show all posts
Maaf semua, tadi tersalah upload... Terkurang beberapa perenggan... Saya dah edit semula... Mohon baca semula untuk mengelakkan kekeliruan. T.kasih...
Reply

Use magic Report

Post time 12-6-2018 11:18 AM | Show all posts
terima kasih tt sudi berkongsi kisah .terbaik
Reply

Use magic Report

Post time 18-6-2018 04:13 AM From the mobile phone | Show all posts
Tq tt. Menarik semua cerita tt. Tapi better upload saja terus jadikan 1 thread senang nak cari. Tak perlu bukak thread baru.
Reply

Use magic Report

Post time 18-6-2018 11:41 AM From the mobile phone | Show all posts
Sambungannya?
Reply

Use magic Report

Post time 18-6-2018 10:14 PM From the mobile phone | Show all posts
Sambungan.pls..
Huhu
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 25-6-2018 11:01 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-6-2018 11:02 AM | Show all posts
lagendahidup replied at 12-6-2018 11:18 AM
terima kasih tt sudi berkongsi kisah .terbaik

Sama2 Tuan... T.kasih kembali sudi baca dan komen...

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-6-2018 11:02 AM | Show all posts
juliesha replied at 18-6-2018 04:13 AM
Tq tt. Menarik semua cerita tt. Tapi better upload saja terus jadikan 1 thread senang nak cari. Tak  ...

T.kasih sudi baca dan komen... Insya-Allah lepas ni sambung kat thread yang sama... Maaf 'newbie'...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-6-2018 11:03 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 07:31 AM GMT+8 , Processed in 0.153726 second(s), 36 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list