|
Kekejaman terhadap etnik Islam Rohingya oleh tentera Myanmar semakin ketara apabila ramai penduduk membanjiri negara-negara jiran bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan.
Memetik laporan Harian Metro, berikut adalah kisah benar seorang ustazah etnik Rohingya yang disambar api selepas dapur rumahnya di Pangsapuri Putra Impian, Seri Kembangan di Serdang terbakar pada 14 Julai lalu.
Kredit foto: carian internet
Akibat kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Yasmin Mohamad Hanif itu mengalami kelecuran hampir 50 peratus pada muka, tangan dan kakinya.
Difahamkan Yasmin tidak berani keluar rumah kerana malu dengan keadaan fizikalnya yang kelihatan seperti penghidap penyakit kulit.
Menceritakan detik cemas itu, Yasmin yang menetap di negara ini sejak lima tahun lalu berkata, api tiba-tiba menyambar muka, kaki dan tangan sejurus dia menghidupkan dapur gas untuk memanaskan makanan.
Yasmin yang juga tenaga pengajar di Madrasah Arabiah Taalimulqran, Seri Kembangan berkata, pihak hospital memintanya membayar kos rawatan berjumlah RM16,000.
Namun, suaminya yang bekerja sebagai pembantu kedai di Pasar Borong Seri Kembangan, juga tidak berkemampuan menjelaskan bil rawatan berkenaan berikutan menerima upah RM35 hingga RM40 sehari.
“Kesusahan saya mendapat perhatian pihak hospital yang memberikan kelonggaran dan membenarkan saya membuat bayaran secara ansuran RM1,000 sebulan."
“Mujur komuniti Rohingya melancarkan tabung derma untuk membantu saya bayar bil hospital. Namun setakat ini kami cuma mampu kumpul RM6,000.”
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Nur Atiqah Talkah berkata, pihaknya giat mengumpul dana termasuk daripada ahli bagi membantu menyelesaikan bil hospital Yasmin.
“Oleh itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya di nombor akaun Maybank 562759673888 Pertubuhan Pemuda GEMA Selangor,” katanya.
Meskipun tertekan dengan musibah menimpanya, Yasmin berazam meneruskan kehidupannya bersama keluarga dengan hati yang tabah.- CARI
|
|