SHAH ALAM, 21 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima peruntukan kerajaan persekutuan kepada negeri Selangor berjumlah RM42.1 juta. Pejabat Sultan Selangor dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu adalah untuk disalurkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Menurut kenyataan tersebut, peruntukan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Istana Bukit Kayangan di sini.
Mujahid berkata, peruntukan itu adalah bagi bayaran imbuhan Imam, elaun Guru KAFA dan Guru Takmir Negeri Selangor bagi tahun 2019. "Peruntukan tersebut akan memberi manfaat kepada seramai 2,700 orang guru KAFA, 760 orang imam dan 142 orang guru takmir di negeri Selangor," katanya menerusi entri dalam akaun Facebooknya semalam. Turut berangkat pada majlis itu adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim. Sumber : Bernama & Kosmo
|