Anak lembu berwajah manusia yang dilahirkan di kampung Villa Ana, Argentina. Kredit foto: YouTube
Penduduk Villa Ana di Argentina gempar apabila seorang anak lembu yang mempunyai wajah mirip manusia dilahirkan di kampung tersebut baru-baru ini.
Seorang penduduk kemudian merakamkan video haiwan ternakan tersebut sebelum menularkannya melalui YouTube.
Memetik laporan Mirror pada 10 September, anak lembu yang mempunyai hidung dan mulut yang kecil itu menghadapi kesukaran untuk mengangkat kepalanya.
Nampaknya, ia mempunyai tengkorak yang tidak terbentuk dengan sempurna dan akhirnya anak lembu itu mati dalam masa beberapa jam selepas dilahirkan.
Anak lembu ini mati dalam masa beberapa jam selepas dilahirkan. Kredit foto: Mirror/CEN
Pakar genetik, Nicholas Magnago ketika ditemu bual media tempatan menyatakan, anak lembu tersebut mungkin mengalami mutasi genetik yang jarang ditemui.
"Mutasi adalah perubahan dalam penjujukan DNA yang dipindahkan kepada anak lembu berkenaan.
"Ia adalah mutasi spontan yang disebabkan oleh tindakan mutagen serta agen-agen fizikal dan kimia yang mengubah penjujukan genetiknya," jelasnya.
Awal tahun ini, seekor lembu yang mempunyai dua kepala, empat mata dan dua mulut dilahirkan di Himachal Pradesh, India. - CARI |