Bagi anda yang kerap menonton drama Melayu, anda pasti bakal menemukan adegan-adegan tipikal berikut dalam kebanyakan drama Melayu dahulu mahupun sekarang. Biarpun tidak semua drama Melayu mempunyai adegan tipikal berikut namun apabila adegan yang sama diulang-ulang menyebabkan penonton jemu.
Selain itu, ia menyebabkan penonton dapat meneka jalan cerita yang bakal terjadi serta beberapa adegan yang tidak perlu sama sekali kerana ia hanya membazirkan waktu siaran.
Adegan makan-makan
Adegan makan wajib ada dalam drama Melayu. Asalkan jangan korang gaduh depan rezeki /tak makan sudah- Gambar hiasan dari Google
Oh, adegan makan-makan adalah babak wajib dalam setiap drama Melayu. Selain memaparkan watak-watak drama sedang makan di restoran mahupun di rumah, namun apa yang paling menjengkelkan, penonton juga sering dipaparkan dengan adegan watak drama yang menolak untuk makan makanan yang sudah sedia terhidang dengan alasan sudah kenyang atau sudah terlewat ke tempat kerja.
Pernah tak anda tertanya-tanya siapakah yang akan menghabiskan semua makanan tersebut sedangkan watak watak berasal dari keluarga kecil? Haish, membazir betul!
Adegan watak bersama kenderaan yang dinaiki
Toyota Vellfire yng dipandu oleh watak utama dalam drama Pujaan Hati Kanda Foto-Google
Watak utama sering dipaparkan memandu kenderaan sendiri walau tinggal di bandar besar sedangkan dia adalah golongan marhein yang bekerja biasa sahaja. Mengapa tidak memilh pengangkutan awam yang tersedia? Jarang-jarang dipaparkan watak utama menaiki keretapi ataupun bas untuk ke tempat kerja.
Manakala, watak utama yang dari golongan kaya sudah tentu memandu kereta sport mewah bagi golongan muda dan bagi yang berpangkat Datuk dan CEO sudah tentu dipandu oleh pemandu peribadi dengan BMW atau Mercedes Benz.
Adegan memandu laju bila frust dan akhirnya kemalangan
Ha ni lagi satu! Selalunya, watak utama atau watak antagonis yang bengang selepas bergaduh akan terus memandu laju tak ingat dunia entah nak ke mana dan akhirnya bila tiba di selekoh kereta yang dipandu pun terbabas dan terbalik.
Akhirnya, watak tersebut akan mati ataupun kalau masih hidup pasti akan hilang ingatan atau lebih tragis menjadi lumpuh.
Adegan watak perempuan naif diserang watak antagonis
Ini sering terjadi apabila berlakunya perebutan lelaki antara dua wanita sehingga menyebabkan wanita yang naïf diserang oleh watak antagonis dan selalunya dipaparkan sebagai seorang wanita yang gedik. Pastinya ia menyebabkan penonton menyampah.
Hakikatnya inilah drama Melayu. Formula dan template yang sama diulang-ulang sehingga menghasilkan lambakan drama tidak berkualiti. Adakah anda bersetuju dengan adegan-adegan tipikal yang disenaraikan di atas? - CARI |