Kredit foto: Google - Gambar Hiasan
Seorang pekerja hotel mendedahkan sikap seorang wanita yang tergamak meninggalkan bayinya keseorangan di bilik semata-mata untuk main kasino.
Menulis di Twitter, tanpa menyebut nama atau lokasi hotel berkenaan, Syiera Raof berkata bayi dianggar berusia tiga atau empat bulan dikesan menangis sendirian dalam satu bilik susulan penginap lain mengadu 'ada bayi nangis dalam sejam lebih tanpa henti'.
Beliau kemudian memaklumkan penyelia dan pengawal keselamatan yang terpaksa membuka pintu menggunakan kunci pendua.
Sekitar 15 hingga 30 minit kemudian, Syiera berkata seorang wanita yang tidak disebut usianya datang ke kaunter dengan muka risau dan memaklumkan yang anaknya hilang. Semakan kemudian mendapati bayi yang dibawa ke pejabat adalah anaknya.
Apabila pihak keselamatan bertanya mengapa beliau meninggalkan anaknya keseorangan di bilik, wanita itu berkata:
"Dia tidur so (jadi) saya keluar laa kejap pergi casino (kasino) main dia biasa tidur dua jam".
Tanpa berselindung, Syiera menganggap wanita itu tetamu 'paling bodoh' pernah ditemuinya kerana individu berkenaan sanggup tinggalkan bayinya berseorangan di bilik hotel demi untuk pergi ke kasino.
Warga maya turut tidak berpuas hati dengan tindakan ibu yang pentingkan diri sendiri itu.
Perkongsian Syiera diulang siar hampir 10,000 kali setakat ini dipersetujui kebanyakan warga maya yang menyifatkan perbuatan wanita berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab.
Malang tidak berbau. Kalaulah jadi kejadian tidak diingini barulah nangis tidak berlagu. - CARI |