Pandemik Covid-19 menyebabkan ada segelintir masyarakat yang terpaksa berdepan kesusahan hidup berikutan hilang mata pencarian dan sumber pendapatan.
Simpati dengan nasib yang menimpa mereka, pelakon Datuk Adi Putra bersama pasukannya giat turun padang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan menerusi pertubuhan amal Jai The Legend.
Kata Adi atau nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim, 40, bantuan itu disalurkan secara terus kepada penerima hasil sumbangan beberapa organisasi dan individu persendirian.
"rogram bantuan yang kami jalankan sejak tahun lalu masih diteruskan, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
"Saya dan beberapa kakitangan sentiasa turun padang menyalurkan bantuan sewajarnya kepada masyarakat. Alhamdulillah, dalam masa sama ramai juga yang menyumbang.
"Kita tak pernah meletakkan KPI berapa nilai bantuan setiap bulan, ada yang memerlukan bantuan dalam bentuk wang tunai dan ada juga yang perlu bantuan dalam bentuk barangan kegunaan harian... semuanya kami cuba bantu sedaya mungkin," katanya kepada mStar.
Kredit foto: IG Adi Putra
Sementara itu, pelakon filem KL Gangster ini berkata dia jarang memuat naik perkongsian mengenai program bantuan di media sosial kerana bimbang dengan penerimaan netizen.
"Banyak tempat kita pergi... ada yang saya upload di media sosial, ada yang saya tak post sebab nanti kalau banyak sangat orang kata riyak pula.
"Jadi bagi saya itu cara masing-masinglah! Dalam keadaan sekarang ini apa yang boleh bantu kita bantu... kita semua sedang melalui satu fasa ujian yang kita tak pernah lalui sebelum ini," ujarnya yang bakal menerbitkan filem amal berjudul Syaaban.
Bercakap mengenai karier lakonan, Adi bakal muncul dalam drama terbaharu, Aku Yang Kau Gelar Isteri yang akan bersiaran dalam slot Samarinda (TV3) bermula 17 Februari ini.
Selain Adi, drama arahan Shuhaimi Lua ini turut dibintangi oleh Nadia Brian, Lana Nodin dan Sharifah Sakinah.
Sumber: mStar |