CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2582|Reply: 3

Tradisi Kuno Masyarakat Jepun Yang Masih Diamalkan Di Era Digital

[Copy link]
Post time 15-2-2021 12:20 PM | Show all posts |Read mode
Tradisi Kuno Masyarakat Jepun Yang Masih Diamalkan Di Era Digital


Jepun merupakan salah sebuah negara paling terkedepan dalam bidang teknologi, khasnya apabila melibatkan industri elektronik, automotif dan mekanikal.
Walaupun dengan kejayaaan-kejayaan tersebut, masyarakat Jepun turut dilihat berjaya mengekalkan beberapa warisan dan tradisi lama mereka – terus kekal menjadi amalan orang ramai.
Salah satu tradisi orang Jepun yang bunyinya agak aneh jika dibincangkan ketika ini – adalah kebergantungan mereka kepada sejenis cop yang dinamakan sebagai ‘hanko’ dalam semua urusan rasmi kerajaan dan perbankan mereka.
Apa itu tradisi hanko?
Dalam kebanyakan urusan melibatkan pentadbiran, tak kiralah sama ada pihak swasta mahupun sektor awam – penggunaan tanda tangan sama ada dalam bentuk tradisional atau digital menjadi satu kaedah penting dalam menentukan keabsahan sesuatu urusan itu.
Sebagai contoh, kita menurunkan tanda tangan kepada dokumen yang dipersetujui bagi membolehkan pinjaman bank dilakukan. Pemimpin negara menandatangani perjanjian atau pewartaan sesuatu kanun.
Masyarakat Jepun pula lebih gemar menggunakan sejenis cop yang mereka gelarkan sebagai ‘hanko’ dalam semua urusan rasmi, khasnya melibatkan pengesahan dokumen-dokumen kerajaan dan perbankan.
Diperkenalkan kali pertama di Jepun oleh Maharaja Guangwu dari China sekitar tahun 57 sebagai hadiah kepada pemimpin masyarakat, ‘hanko’ diangkat sebagai satu simbol lambang kuasa dan kedudukan pemimpin masyarakat Jepun dari segi politik.
Selepas pengenalannya cop unik itu yang diukir menggunakan tangan mengambil masa lebih 700 tahun sebelum mula digunakan sebagai kaedah utama mengiktiraf kesahihan semua dokumen rasmi dalam urusan pentadbiran kerajaan Jepun.
Budaya itu diperkembangkan, mula melibatkan orang ramai semasa era pemerintahan Meiji pada abad ke 20, kekal sehinggalah ke hari ini. Hanya pada bulan Januari tahun 2021, kerajaan Jepun dilihat sedang mula merombak sistem ini.
Kita sentuh topik ini sekejap lagi.
Keindahan seni ukir asli Jepun
Berikutan penggunaannya yang sudah berakar umbi dalam masyarakat Jepun, majoriti urusan rasmi di sana tak kiralah pendaftaran, urusan bank, perjanjian sewa beli, penyertaan insurans dan sebagainya perlu mempunyai cop pengesahan ini sebagai ‘tanda tangan’ utama.
Tanpa cop, dokumen-dokumen yang ada dianggap tidak sah. Syarat itu juga terpakai kepada warga asing yang tinggal di Jepun, kerana syarikat-syarikat di Jepun mewajibkan penggunaannya.
Kebiasaannya, majoriti warga Jepun mempunyai dua jenis cop ‘hanko’; satu untuk kegunaan urusan rasmi dan satu lagi yang lebih rendah kualitinya, digunakan untuk urusan-urusan harian.
Untuk urusan bank, mereka perlu mempunyai cop hanko ketiga mengikut format yang telah ditetapkan pihak bank, barulah pembukaan akaun dapat diteruskan.
Dalam semua urusan rasmi, bentuk cop hanko perlulah didaftarkan terlebih dahulu dalam rekod kerajaan Jepun dan bank bagi memastikan ketulenannya.
Cop unik nama sendiri
Setiap cop hanko yang digunakan dalam urusan rasmi merupakan simbol yang mewakili nama individu itu dalam bentuk ringkas.
Untuk warga Jepun, nama mereka akan ditulis berdasarkan kepada sistem tulisan ‘kanji’ Jepun yang kompleks. Sementarabagi orang asing, nama kita akan ditulis dalam sistem tulisan katakana yang lebih ringkas dan geometrik.
Oleh sebab kadar penggunaannya yang meluas di kalangan masyarakat Jepun, wujud satu persatuan bernama All Japan Seal Industry Association yang bertanggungjawab mewujudkan standard dan menyimpan rekod semua cop ‘hanko’ yang sudah dan bakal dikeluarkan, khas untuk tujuan-tujuan rasmi.
Terdapat dua jenis hanko – cop murah yang boleh dibeli di kedai-kedai serbaneka yang boleh digunakan sebagai tanda tangan anda dalam urusan tidak rasmi. Sementara satu lagi jenis dinamakan sebagai ‘jitsuin‘, cop hanko yang diukir khas menggunakan tangan.
Dalam urusan rasmi, hanya ‘jitsuin’ diterima sebagai bukti pengesahan.
Diperbuat daripada tanduk, kristal atau gading gajah, sebuah ‘jitsuin’ yang unik mampu mencecah harga yang agak tinggi untuk penghasilannya kerana diukir dengan tangan oleh individu berkemahiran tinggi.
Berbeza dengan hanko yang dihasilkan oleh mesin, hanko buatan tangan mampu mempunyai garis-garis halus yang tidak dapat direplikasi mesin serta mempunyai bentuk yang lebih seimbang – dipercayai masyarakat Jepun mustahil untuk direka semula.
Penghasilan ‘jitsuin’ dipantau ketat menerusi beberapa undang-undang yang melindunginya.
Setiap ‘jitsuin’ perlu mematuhi ukuran tertentu serta mengandungi nama penuh individu pemilik dan nama keluarganya. Setiap huruf yang diukir pula perlulah mempunyai ketebalan yang serupa, muat-muat dalam perimeter cop yang ada.
Berikutan kepentingannya – cop berstatus ‘jitsuin’ menjadi antara barangan paling dilindungi dalam setiap rumah di Jepun.
Tidak lagi relevan dalam era moden?
Sejak sekian lama, pentadbiran kerajaan di Jepun terus berpegang kepada amalan ini yang sering dikritik melambatkan urusan pentadbiran mereka sendiri.
Keperluan untuk mengesahkan sesuatu secara fizikal memakan masa yang panjang apatahlagi dalam era pandemik Covid-19 ini, apabila pergerakan menjadi sangat terhad.
Orang ramai di Jepun berhadapan masalah besar dalam urusan rasmi mereka kerana mereka masih lagi perlu hadir ke pejabat-pejabat bagi urusan, disebabkan keperluan untuk menurunkan cop pada dokumen.
Selepas Taro Kono (gambar atas) naik menjadi menteri yang dipertanggungjawab mereformasikan pentadbiran kerajaan Jepun sejak bulan September tahun 2020,beliau berikrar untuk menghapuskan kebergantungan sistem birokrasi Jepun terhadap sistem tradisional ini.
Kono percaya dengan pemansuhan ini, urusan-urusan sektor awam di Jepun boleh dipermudahkan lebih seiring dengan dunia luar yang sudah mula menggunakan sistem digital dalam talian untuk tujuan pengesahan.
Beliau mengeluarkan arahan agar semua kementerian di Jepun memansuhkan penggunaannya serta merta.
Bagi kementerian yang mahu mengekalkan sistem ini, mereka perlu memperjelaskan kedudukan mereka melalui surat tunjuk sebab yang menyatakan alasan kenapa sistem itu perlu dikekalkan.
Selepas perubahan mendadak ini dimulakan, 99% daripada keperluan penggunaan ‘hanko’ dalam urusan pentadbiran Jepun berjaya dimansuhkan sekitar bulan November 2020.
Sehingga bulan Januari tahun 2021, tinggal 83 urusan saja dalam sektor awam Jepun yang masih memerlukan pengesahan dalam bentuk cop ‘jitsuin.’
Untuk sebuah negara yang eksportnya cukup canggih dan moden, agak mengejutkan bukan pada tahun 2021 – mereka masih lagi bergantung dengan kaedah yang cukup tradisional dalam mengesahkan sesuatu dokumen?
Rujukan

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 15-2-2021 03:59 PM | Show all posts
hanko tu masih simpan sampai sekarang. yang berkerja di jepun wajib ada.
Reply

Use magic Report

Post time 27-2-2021 12:13 AM | Show all posts
Yap, saya kerja company dari Jepun so memang ada hanko ni. Kalau printed proposal memang kena guna dan sign baru submit
Reply

Use magic Report

Post time 18-3-2021 02:56 AM From the mobile phone | Show all posts
Seni budaya
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 04:14 AM GMT+8 , Processed in 0.139902 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list