Sebuah syarikat dari China menghasilkan sut badan berotot yang memberi ilusi bahawa pemakanya mempunyai bentuk badan tegap dan sasa, lapor laman berita Oddity Central.
Sut badan silikon itu memberi peluang kepada lelaki untuk mendapatkan bentuk badan idaman tanpa perlu melalui rejim senaman ketat di gimnasium.
Pelapik badan berotot memberi ilusi realistik seakan-akan badan sebenar kepada si pemakai. – Oddity Central
Dihasilkan oleh syarikat bernama Smitizen, sut tersebut didatangkan lengkap dengan ‘otot’ yang terserlah serta direka mengikut posisi badan manusia sebenar. Menurut Smitizen, sut tersebut amat sesuai dipadankan dengan pakaian ketat.
Malah, ada sut yang dilengkapi bulu roma bagi menjadikannya kelihatan lebih realistik.
Ada antaranya hanya menutupi bahagian tubuh dengan membiarkan tangan terdedah dan ada sut yang menutupi seluruh badan.
Produk itu laris dijual menerusi platform e-Dagang seperti Taobao dan Aliexpress pada harga 790 yuan (RM501) hingga 3,980 yuan (RM2,523), bergantung kepada saiz dan kualitinya.
Sumber: Kosmo |