CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1488|Reply: 1

Nikmat yang perlu disyukuri

[Copy link]
Post time 15-7-2021 11:40 PM | Show all posts |Read mode
Nikmat yang perlu disyukuri



KITA diajar agar bersyukur atas nikmat kurniaan Allah, maka peluang dapat menunaikan ibadah di masjid perlu disyukuri.
PADA Jumaat baru-baru ini terdapat negeri yang memberi kebenaran lebih luas kepada jemaah menunaikan solat fardu Jumaat mengikut kapasiti masjid. Peluang ini adalah satu rahmat besar setelah lebih sebulan majoriti umat Islam tidak dapat menunaikan solat Jumaat. Terengganu, Perak serta Wilayah Persekutuan adalah antara kawasan yang membuka kembali masjid mengikut kapasiti kepada jemaah bukan sahaja solat fardu Jumaat, tetapi juga solat fardu lima waktu dan solat sunat Aidiladha nanti.

Bagaimanapun, jemaah yang hadir masih perlu mematuhi prosedur operasi standard  (SOP) yang ditetapkan. Jemaah perlu memakai pelitup hidung dan mulut (mask) dan membawa sejadah masing-masing dari rumah. Jarak kedudukan antara jemaah dalam ruang masjid juga perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Semua ini adalah nikmat besar yang perlu disyukuri oleh umat Islam. Setelah sekian lama tidak dapat menunaikan solat fardu dan solat Jumaat secara berjemaah, Allah terus mengurniakan nikmat itu meskipun kes positif Covid-19 bagi seluruh negara belum menunjukkan penurunan. Lihatlah betapa Allah tetap melimpahkan kasih sayang serta rahmat-Nya kepada hamba agar berpeluang melaksanakan ibadah pada musim wabak.

Sepertimana kita diajar agar bersyukur atas nikmat kurniaan Allah, maka peluang dapat menunaikan ibadat di masjid perlu disyukuri. Mudah-mudahan dengan syukur itu, Allah akan menambah lagi nikmat berkenaan sehingga akhirnya masjid dapat diimarahkan seperti biasa.

Firman Allah bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku (Allah) akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." Surah Ibrahim, ayat 7

Bersyukur dapat menunaikan solat Jumaat di masjid perlu dibuktikan dengan perbuatan. Selain memperbanyakkan zikir mensyukuri nikmat kurniaan Allah, umat Islam perlu memanfaatkan peluang terhad berada di masjid untuk melakukan pelbagai amalan.

Jika sebelum ini, mungkin kita kurang prihatin tentang ibadah yang dianjurkan oleh Islam ketika berada di masjid, maka sekarang ia perlu diberi perhatian sewajarnya. Kita perlu lebih bersedia dan mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum pergi ke masjid. Sebagai contoh, niat iktikaf ketika berada dalam masjid. Mungkin ada yang sering terlupa untuk berniat iktikaf ketika berada dalam masjid.

Kita boleh menunaikan solat berjemaah di rumah namun peluang untuk berniat iktikaf tidak diperoleh jika tidak berada di masjid. Iktikaf dalam rumah Allah akan mendapat rahmat daripada-Nya sebagaimana masjid dipersiapkan untuk orang yang melakukan ibadah termasuk mereka yang beriktikaf.

Ini sepertimana dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran: "…Dan Kami (Allah) perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): Bersihkanlah rumah-ku (Kaabah dan Masjidil Haram daripada segala perkara yang dilarang) untuk orang yang bertawaf dan orang yang beriktikaf, dan orang yang rukuk serta sujud." Surah al-Baqarah, ayat 125

Di kebanyakan masjid, terdapat paparan lafaz dan makna niat iktikaf. Tiada alasan lagi untuk kita lupa untuk berniat iktikaf ketika berada dalam masjid. Pada ketika ini, peluang untuk dapat hadir ke masjid dilihat masih terhad. Oleh itu, usah kita abaikan amalan yang dituntut untuk kita melakukannya.

Sebenarnya dengan niat iktikaf, kita dapat memberi fokus terhadap pelaksanaan ibadah sepanjang berada dalam masjid. Sesuatu perbuatan hanya akan menjadi ibadah dengan adanya niat. Oleh itu, sepertimana dijelaskan oleh Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata'if al-Ma'arif bahawa iktikaf adalah perbuatan memutuskan segala perhubungan dengan makhluk untuk beribadah kepada  al-Khaliq  (Allah).

Selain itu, amalan yang telah lama ditinggalkan sejak tidak dibenarkan ke masjid ialah menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Mungkin sebelum ini ada dalam kalangan kita yang terus duduk sejurus masuk ke dalam masjid. Namun sekarang kita perlu merebut peluang untuk menunaikan solat sunat berkenaan tatkala memasuki masjid.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Jika salah seorang daripada kalian masuk masjid, maka hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat sebelum dia  duduk." Muttafaq 'alaih

Malah Rasulullah pernah menegur seorang lelaki yang melepaskan peluang menunaikan solat sunat dua rakat ketika memasuki masjid. Sulaik al-Ghatafani datang ke masjid pada hari Jumaat, sementara Rasulullah sedang berkhutbah, lalu dia pun duduk. Maka Rasulullah terus berkata kepadanya: "Wahai Sulaik, bangun dan solatlah dua rakaat, kerjakanlah dengan ringkas." Kemudian Rasulullah bersabda: "Jika salah seorang daripada kalian datang pada hari Jumaat, sedangkan imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia solat dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut." Muttafaq 'alaih

Begitulah kepentingan agar kita tidak meninggalkan solat sunat ketika masuk ke dalam masjid. Mungkin ada yang berpandangan ia hanya solat sunat, namun kita tidak boleh mengabaikannya di saat peluang ke masjid tidak terbuka luas seperti waktu sebelum ini. Hatta pada masa kini, masih ada tempat menghadkan jumlah jemaah yang boleh hadir ke masjid selain ada juga yang meletakkan syarat hanya orang yang telah mendapat vaksin dibenarkan ke masjid.

Semua ketetapan ini bergantung kepada keadaan terkini kes Covid-19. Pada masa sama, jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat juga perlu pastikan diri mendapat ilmu daripada khutbah yang disampaikan oleh khatib. Tidak sepatutnya ada jemaah yang terpilih untuk menunaikan ibadah di rumah Allah, namun masih sibuk berurusan dengan orang lain tentang hal dunia menerusi telefon masing-masing.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat, dia mendengarkan khutbah dan diam, maka akan diampuni dosa-dosanya antara Jumaat ini dengan Jumaat yang akan datang, ditambah tiga hari. Dan sesiapa yang bermain batu, sungguhnya dia telah berbuat sia-sia." Hadis Riwayat Muslim

Hadis ini jelas menunjukkan Rasulullah SAW melarang perbuatan yang dapat menghilangkan fokus ketika mendengar khutbah. Kita tidak boleh lagi pulang ke rumah daripada solat Jumaat dalam keadaan tidak mengambil faedah daripada khutbah yang disampaikan. Itulah ruang yang disediakan oleh Islam bagi memastikan setiap umatnya mendapat ilmu dan peringatan berguna secara mingguan untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.

Bagi orang yang berpeluang ke masjid untuk menunaikan solat fardu dan solat Jumaat, jangan lupa untuk memohon doa kepada Allah agar wabak Covid-19 segera lenyap daripada negara kita. Mudah-mudahan kita dapat terus diberi nikmat untuk menjadi hamba-Nya yang berpeluang menunaikan ibadah di masjid bersama saudara seagama Islam yang lain.

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-7-2021 01:42 AM From the mobile phone | Show all posts
Rindu suasana org solat jemaah rapatkn saf.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

18-4-2024 01:53 PM GMT+8 , Processed in 0.060788 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list