|
Vinales perkasa Aprilia 2022
VINALES bekas juara dunia Moto3.
Paris: Pelumba MotoGP Sepanyol, Maverick Vinales yang digantung pasukannya Yamaha minggu lalu bakal berlumba untuk Aprilia pada 2022, umum pasukan dari Itali itu hari ini.
Vinales, 26, yang muncul juara dunia Moto3 pada 2013 mengikat kontrak setahun dengan pilihan sambungan dan akan bergandingan dengan rakan senegara, Aleix Espargaro musim depan.
Kehadiran Vinales bermakna Aprilia mengorak selangkah lagi dalam misi menjadi pasukan pengeluar penuh.
"Kami sangat gembira mengumumkan bahawa kami menandatangani Maverick Viñales, pelumba bertahap tinggi dalam kategori perdana,'' kata CEO Aprilia Racing, Massimo Rivola.
"Projek kami diperkuatkan dengan nilai yang dibawa Maverick, juara dunia yang mengesahkan bakatnya sebagai pelumba utama MotoGP. Masa tepat untuk perubahan."
Vinales meraih sembilan kemenangan di MotoGP, 13 petak utama dan 28 penamat podium dan dua kali menduduki tempat ketiga dalam carta kejuaraan.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|