|
Ular sawa enam meter ceroboh kandang kambing
SEEKOR ular sawa sepanjang kira-kira enam meter ditemui di dalam kandang kambing di Kampung Anak Air Durian Daun, Pondoi, Tampin awal pagi tadi.
TAMPIN: Misteri kehilangan haiwan ternakan seorang penduduk beberapa tahun ini terjawab apabila seekor ular sawa sepanjang kira-kira enam meter ditemui di dalam kandang kambing di Kampung Anak Air Durian Daun, Pondoi, di sini, awal pagi tadi.
Penduduk, Yarlis Are, 50, berkata, dia dan suaminya, Zainal Ismail, 63, terdengar bunyi bising dari dalam kandang kambing tersebut sekitar pukul 12 tengah malam.
Menurutnya, dia dan suami kemudian melihat keadaan ternakan kambing mereka itu kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini selepas berlaku kejadian beberapa ekor kambing miliknya sebelum ini.
“Sebelum ini saya ada berbelas-belas ekor kambing tapi kini hanya tinggal lapan ekor sahaja. Kali ini kami nampak sendiri terdapat seekor ular sawa berada di dalam kandang dan seekor kambing telah cedera di bahagian leher.
“Bimbang bahaya buat kami dan binatang ternakan, suami saya terpaksa membunuhnya.
“Awal bulan ini terdapat seekor lagi ular ditemui berhampiran rumah iaitu ular tedung selar sepanjang dua meter dan kami bimbang dengan kekerapan ular muncul di penempatan kami ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Yarlis berkata, ular seberat hampir 50 kilogram berkenaan akan ditanam berhampiran rumahnya. -UTUSAN ONLINE
|
|