CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3907|Reply: 1

Sanjay Dutt dipenjara 6 tahun

[Copy link]
Post time 1-8-2007 11:56 AM | Show all posts |Read mode
Senjata haram: Bintang Bollywood dipenjara 6 tahun
31-07-2007 08:35:36 PM
Oleh P. VIJIAN
NEW DELHI:  Dua hari selepas meraikan ulang tahun ke-48 kelahirannya, aktor terkenal Bollywood Sanjay Dutt hari ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana memiliki senjata api secara haram, yang mengaitkan beliau dengan siri letupan di Mumbai pada 1993 yang mengorbankan 257 nyawa di daerah kewangan di India.

Dalam detik-detik penantian yang mencemaskan itu, hakim Promod Kode memutuskan bahawa Dutt akan menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan itu, yang disifatkannya sebagai perlakuan jenayah yang berat.

Dia disabitkan menurut Akta Senjata kerana menerima senjata api yang digunakan dalam letupan itu daripada ketua kongsi gelap dan menyimpannya di kediamannya di Pali Hill.


Dutt, berbaju putih, diperiksa oleh seorang pegawai polis sebaik sahaja tiba di mahkamah untuk perbicaraannya, yang ada kaitan dengan pengeboman besar-besar di Mumbai pada 1993 yang mengorbankan 257 orang. (foto Associated Press)

Selepas mahkamah menjatuhi hukuman, Dutt merayu hakim supaya membenarkan beliau menelefon anak perempuan tunggalnya, Trishyla Dutt, yang ketika ini mengikuti pengajian di New York dan dua adik perempuannya di Mumbai.

Selepas perbicaraan selama 14 tahun, Mahkamah TADA, sebuah mahkamah khas di bawah Akta Pengganas dan Aktiviti Menimbulkan Gangguan (Pencegahan) (TADA), menjatuhi hukuman itu terhadap Sanjay tengah hari ini, di tengah-tengah kawalan keselamatan ketat di sekitar mahkamah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

November lepas, Dutt disabitkan kesalahan kerana memiliki senjata api secara haram tetapi dibebaskan daripada tuduhan keganasan yang lebih keras yang mempunyai kaitan dengan pengeboman di Mumbai.

Sejak beberapa bulan lepas, mahkamah khas itu menjatuhi hukuman mati ke atas 12 tertuduh termasuk mereka yang memasang bom manakala 20 yang lain dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Sanjay sudahpun menghabiskan 16 bulan di penjara semasa perbicaraan berlangsung, selepas aktor muda itu ditahan pada April 1993 ekoran kejadian letupan terbabit, tetapi dibebaskan dengan jaminan pada Ogos, 1994.

Kira-kira 100 suspek, termasuk wanita dibicarakan, kerana mempunyai kaitan dengan kongsi gelap Mumbai yang kejam, misalnya kumpulan jahat Abu Salem dan Dawood Ibrahim, dan perbicaraan itu dianggap sebagai satu daripada perbicaraan paling panjang dalam sejarah India.

Semasa dibicarakan, Dutt berkata beliau membeli senjata itu untuk melindungi keluarganya yang memberikan perlindungan kepada masyarakat Islam dalam rusuhan berdarah di Mumbai pada 1992.

Pada 12 Mac 1993, 13 siri letupan menggegarkan Mumbai selama dua jam, mengorbankan 257 orang manakala 713 orang lagi parah.
Hartanah bernilai kira-kira RM27 juta (300 juta rupee) rosak dalam letupan itu yang meninggalkan kesan hitam dalam hab kewangan India.

Di mahkamah sama, tiga rakan Dutt, yang didakwa terbabit dalam serangan itu turut didakwa.

Yusuf Nullwalla dipenjarakan lima tahun, Kesri Adanjia pula dua tahun manakala seorang lagi tertuduh Russi Mulla dilepaskan daripada pertuduhan tetapi diletakkan di bawah pengawasan.

Peguam Dutt kini merancang untuk merayu kepada mahkamah tertinggi India, Mahkamah Agung.

Dutt ialah satu-satunya anak lelaki aktor popular Sunil Dutt, yang juga bekas menteri kabinet dan orang kuat parti Kongres. BERNAMA

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 4-8-2007 09:48 PM | Show all posts
Pelakon mewah Bollywood dibayar 1 dolar sehari di penjara
04-08-2007 07:14:31 PM
Oleh P. VIJIAN  

NEW DELHI:  Pelakon terkenal Bollywood, Sanjay Dutt, yang selama ini meraih pendapatan lumayan dengan melakonkan watak lelaki budiman dalam filem Hindi, kini menjalani kehidupan sebagai banduan, dengan pendapatan hanya kira-kira 40 rupee (AS$1), hasil daripada bekerja tujuh jam sehari.

Bagi tempoh sekurang-kurangnya enam tahun akan datang, dia akan menjalani kehidupan sebagai banduan, setelah mahkamah mendapatinya bersalah kerana memiliki senjata secara haram.

Kini dia menjadi warga Penjara Yeravada tidak jauh dari bandar raya Pune -- penjara kedua terbesar di India selepas Bihar, yang pernah menjadi kediaman pejuang kemerdekaan terkenal India, Mahatma Gandhi -- selama enam tahun.

Berdasarkan pelaksanaan hukuman di India, Sanjay, yang genap berusia 48 tahun Ahad lepas, akan melalui kehidupan sebagai warga penjara yang penuh getir dan mungkin diberi tugas sebagai tukang masak, tukang dobi, pembuat roti, tukang kayu, petani atau tukang jahit dengan menerima upah yang amat kecil.

Pelakon yang pernah meraih Anugerah Film-Fare sebanyak dua kali ini dan anak kepada seniman legenda filem Hindi, Sunil Dutt, akan terlebih dulu menjalani ujian sikap sebelum diberi tugas khusus di penjara itu.

Sebuah stesen televisyen yang berpejabat di Delhi bagaimanapun melaporkan bahawa Sanjay akan diberi tugas sebagai penyelia, yang bertanggungjawab menyelia hal-ehwal banduan di penjara itu.

Stesen itu juga melaporkan bahawa dia mungkin menikmati sedikit keselesaan dengan dikurung berasingan di dalam sel yang dilengkapi tandas, berbanding banduan lain yang terpaksa berkongsi sel dan menggunakan tandas secara beramai-ramai.

Seperti banduan lain, pelakon berkenaan, yang sebelum ini menjalani kehidupan serba mewah, akan dihidangkan makanan yang disediakan oleh banduan lain, selalunya roti India, kacang dal, sayur-sayuran dan kari, manakala daging pula hanya dihidangkan pada hujung minggu.

Sanjay, yang mengalami keruntuhan rumah tangga sebanyak dua kali dan mempunyai seorang anak perempuan yang sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di Amerika, dilaporkan membuat keputusan untuk mengikuti kursus dalam bidang ideologi Ghandi selama setahun untuk berkongsi ilmu yang dipelajarinya itu dengan banduan lain.

Selasa lepas, Mahkamah TADA, mahkamah khas yang ditubuhkan mengikut Akta Pengganas dan Kegiatan Pengacau (Pencegahan), menjatuhkan hukuman enam tahun penjara terhadap Sanjay dalam perbicaraan yang memakan masa 14 tahun bagi kesalahan menyimpan senjata yang diperoleh daripada kumpulan mafia.

Kumpulan ini dipercayai mendalangi pengeboman bersiri Mumbai pada 1993, yang mengakibatkan 257 orang terbunuh dan 700 yang lain cedera.

Bagaimanapun, dalam hujah bela dirinya, Sanjay berkata dia membeli senjata berkenaan bagi melindungi keluarganya daripada ancaman pelampau Hindu yang tidak berpuas hati dengan tindakan keluarganya memberi perlindungan kepada penduduk Islam semasa keganasan pada 1992, yang berpunca daripada tindakan pihak tertentu merobohkan Masjid Babri.

Pengeboman bersiri itu didakwa didalangi ketua mafia yang beroperasi di Mumbai, sebagai tindak balas terhadap pergeseran antara umat Islam dan penganut Hindu.

Sementara itu, di ibu negara India semalam, saudara perempuan Sanjay, Priya Dutt, anggota parlimen dari parti Kongres, memberi taklimat kepada presiden Kongres Sonia Gandhi, tentang kes Sanjay.

Walaupun tinggal di penjara, Sanjay terus mempunyai banyak peminat dan mendapat simpati daripada industri perfileman serta menjadi bahan berita hampir setiap hari. BERNAMA
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 02:24 PM GMT+8 , Processed in 0.473938 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list