|
BERLIAN hitam yang menjadi perhatian dunia. FOTO Reuters.
London: Berlian hitam 555 karat terbesar di dunia dikenali sebagai The Enigma dilelong di United Kingdom dengan nilai 3.16 juta Pound Sterling (RM18 juta).
Berlian hitam jarang dijumpai yang turut dikenali sebagai Carbonados itu dipercayai terbentuk apabila meteor atau asteroid menghentam bumi lebih 2.6 bilion tahun lalu.
Berlian itu dilelong secara dalam talian oleh Pusat Lelongan Sotheby's, Rabu lalu.
"Berlian hitam ini terbentuk sama ada daripada kesan meteor yang menghasilkan pemendapan wap kimia semula jadi atau berasal dari luar angkasa akibat letupan supernova yang membentuk asteroid berlian yang akhirnya berlanggar dengan bumi," kata pusat lelongan itu.
Berlian itu dikatakan bahan yang sukar dipotong dan tidak pernah didedahkan pemiliknya yang tidak dinamakan sejak 20 tahun lalu.
Difahamkan, pakar mengambil masa tiga tahun untuk menukar berlian kasar itu menjadi permata 55 muka sebelum dipamerkan secara terbuka di Dubai, Los Angeles dan London, baru-baru ini.
|
|