|
Washington – Zarah debu Bulan yang dikumpul oleh Neil Armstrong semasa misi Apollo 11 tahun 1969 dijangka dilelong pada harga antara AS$800,000 (RM3.3 juta) hingga AS$1.2 juta (RM5.05 juta), lapor stesen penyiaran CNN.
Firma lelongan Bonhams berkata, meskipun acara lelongan hanya akan bermula pada pertengahan April namun sudah banyak pihak menyatakan minat untuk memiliki debu bulan tersebut.
Apa yang menarik mengenai peninggalan Apollo 11 itu adalah ia mempunyai beberapa memori kurang baik antara pemiliknya dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Foto: Bonhams
Armstrong dikatakan membawa beg debu Bulan kembali ke Bumi tetapi NASA telah kehilangan beg tersebut selepas ia dipinjamkan sebagai pameran ke sebuah muzium.
Ia menjadi sebahagian daripada harta yang dirampas apabila pengarah muzium angkasa lepas disabitkan dengan kes penipuan dan kecurian.
Beg debu tersebut akhirnya dilelong oleh Perkhidmatan Marshalls Amerika Syarikat kepada seorang penduduk Illinois, Nancy Lee Carlson pada 2015 dengan harga AS$995 (RM4,189).
Carlson kemudian menghantar beg itu kepada NASA untuk membantu mengenal pasti dari mana ia datang, namun agensi angkasa lepas itu enggan mengembalikannya.
Tindakan itu memaksa Carlson menyaman NASA, berjaya memenangi kes dan akhirnya, memaksa pegawai agensi memulangkan beg tersebut.
Bonhams menjual debu Bulan itu bagi pihak Carlson tetapi tidak menyatakan sebab mengapa dia berminat untuk melelongnya. – CARI
Sumber: Kosmo |
|