Edited by rashiman at 11-5-2022 12:29 PM
BERITA
PM tiba di Washington, dijadual temui Biden-Kamala Harris
BernamaDikemaskini: 10:02 AMIsmail Sabri Yaakob tiba di Washington hari ini untuk lawatan kerja selama empat hari termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden AS Joe Biden dan pemimpin Asean. Perdana menteri tiba di Pangkalan Udara Andrew pada pada jam 8.16 malam (8.16 pagi Malaysia) dan disambut Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Ismail Sabri kemudian disambut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan pegawai kanan Malaysia ketika tiba di sebuah hotel. Perdana Menteri akan menyertai Biden, Naib Presiden AS Kamala Harris dan pemimpin lain dari Asean dalam Sidang Kemuncak Khas Asean-AS yang berlangsung selama dua hari mulai Khamis (Jumaat di Malaysia). Biden akan menghoskan majlis makan malam untuk pemimpin Asean di Rumah Putih pada hari tersebut, diikuti pertemuannya dengan pemimpin Asean di Jabatan Negara AS, tempat sidang kemuncak khas, sehari kemudian. Sidang kemuncak khas itu menandakan ulang tahun ke-45 hubungan dialog Asean-AS dan sidang kemuncak khas kedua yang dianjurkan oleh presiden AS selepas Barack Obama mengalu-alukan pemimpin rantau tersebut di Sunnylands, California pada Feb 2016. Ismail Sabri bersama pemimpin Asean juga akan menyertai perbincangan dengan Kamala di Jabatan Negara pada hari Jumaat (waktu tempatan). Perdana Menteri juga akan bertemu Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo dan Wakil Perdagangan AS, Katherine Tai di Washington pada Khamis. Ismail Sabri juga dijadualkan bertemu ketua-ketua industri Amerika serta Majlis Perniagaan dan Dewan Perniagaan AS-Asean pada Khamis selain bertemu dengan diaspora Malaysia semasa majlis sambutan Aidilfitri Keluarga Malaysia di pada esok. - Bernama
|