|
Pemotong ikan tampar ibu dipenjara empat bulan
Muhamad Saifullah (tengah) mengaku menampar pipi ibunya dijatuhi penjara empat bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI
Kota Bharu: Pemotong ikan dijatuhi hukuman penjara empat bulan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menampar pipi kanan ibunya, bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Saifullah Jusoh, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menampar pipi ibunya berusia 67 tahun di Kampung Telok Panji di sini, pada 11.18 pagi, 14 April lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, lelaki itu meminta wang sebanyak RM50, tetapi ibunya memberi RM10 menyebabkan tertuduh mengamuk dan menampar pipi kanan mangsa sebelum wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Aisyah Abdul Manah, manakala tertuduh diwakili peguam Intan Nor Nadhirah Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, Siti Aisyah memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Intan Nor Nadhirah memohon hukuman penjara yang minimum memandangkan tertuduh mengaku salah dan menjimatkan masa mahkamah.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama empat bulan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 April lalu.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... penjara-empat-bulan
|
|