|
JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial kerana memaparkan tindakan seorang kanak-kanak lelaki yang membeli sebiji gula-gula berharga 250 rupiah (RM0.08) secara online, lapor laman berita Suara.com.
Video yang dirakam oleh seorang penghantar barang itu dikongsikan dalam akaun Instagram @infokediriraya.
Budak lelaki berkenaan dikatakan menggunakan perkhidmatan penghantaran tunai ketika serahan (COD) untuk membeli sebiji gula-gula berperisa kopi.
Rakaman memaparkan penghantar berkenaan menunjukkan satu bungkusan kecil dengan resit pembelian ditampal padanya.
Bungkusan itu dihantar kepada pembeli yang berada di kawasan Pare, daerah Kediri, Jawa Timur.
Penghantar barang kemudian merakam seorang penerima yang merupakan budak lelaki yang memakai singlet putih dan berseluar pendek.
Video tersebut mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Macam adik saya,” tulis seorang netizen.
“Kalau dipesan barang harga mahal, pening ibu bapa nak bayar. Perlu lebih hati-hati apabila anak kecil memegang telefon. Waspada terhadap aplikasi pasaran,” komen netizen lain. –CARI
Sumber: Kosmo |
|