|
HFMD: Perak catat lebih 8,000 kes
IPOH, 9 Jun -- Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin (dua, kanan) beramah mesra bersama peserta bengkel Zainuddin Mat Said (tiga, kiri) ketika merasmikan Bengkel Perbincangan Draf Pelan Lembangan Sungai Kinta Berasaskan Komuniti-Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (CBKRB-IRBM) di Kinta Riverfront, hari ini.
IPOH: Perak mencatatkan 8,032 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), bermula Januari hingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin, berkata daripada jumlah itu, 144 kes membabitkan remaja berumur melebihi 12 tahun.
Beliau berkata, 787 kes atau 10.5 peratus kes wabak membabitkan pelajar sekolah rendah dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun, dan kes tertinggi dicatatkan membabitkan kumpulan bawah umur tujuh tahun dengan 6,544 kes.
Katanya, 222 kes dilaporkan sepanjang minggu epidemiologi 22 setakat Isnin lalu, yang membawa kepada penutupan 188 taman asuhan kanak-kanak berikutan arahan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau secara sukarela selaras Akta 342 Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Daerah Manjung mencatatkan penutupan TADIKA tertinggi iaitu 67 TADIKA atau 35.2 peratus diikuti daerah Kinta sebanyak 53 TADIKA atau 28.2 peratus. Pihak PKD sentiasa melakukan pemeriksaan ke semua premis dan setakat ini sudah melebihi 6,000 premis diperiksa," katanya selepas merasmikan Bengkel Perbincangan Draf Pelan Lembangan Sungai Kinta Berasaskan Komuniti-Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (CBKRB-IRBM) di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemilik premis perlu cakna terhadap kebersihan persekitaran dan tidak menerima sebarang kemasukan anak-anak jagaan yang mempunyai gejala HFMD, bagi mengelakkan penularan kepada kanak-kanak lain.– BERNAMA
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... atat-lebih-8000-kes
|
|