|
Damok (empat dari kiri) ketika diumumkan sebagai pelumba wild card bagi GP Malaysia, Oktober ini dalam satu majlis semalam.
KUALA LUMPUR: Grand Prix (GP) Malaysia yang dijadual berlangsung Oktober ini bakal menjadi penampilan wild card keempat buat Syarifuddin Azman bagi musim ini dalam saingan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia.
Litar Antarabangsa Sepang yang menjadi venue perlumbaan, tentunya menjadi penambah semangat pelumba yang dikenali sebagai Damok itu apatah lagi ia adalah trek yang sudah menjadi kebiasaan buat pelumba di bawah kendalian SIC Racing Team ini.
Justeru, Damok yang pada musim ini menyertai saingan Kejuaraan Dunia JuniorGP sudah bersedia untuk 'menggegarkan' Litar Antarabangsa Sepang sekali gus mencari kedudukan penamat yang lebih baik berbanding tiga penyertaannya secara wild card di GP Portugal, Sepanyol dan Catalunya sebelum ini.
Malah pelumba berusia 21 tahun itu turut mahu menyahut cabaran diberikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif yang mahu dirinya menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih baik berbanding ke-19 seperti diraihnya di GP Catalunya, Jun lalu.
"Untuk perlumbaan di laman sendiri, tentunya saya sangat teruja, menyahut cabaran daripada CEO saya pada Oktober ini. Cabaran diberikan oleh CEO saya adalah berada di kelompok hadapan, jadi saya akan buktikan kepada beliau selepas dalam beberapa wild card disertai, saya menamatkan saingan di kedudukan ke-19 (terbaik di Catalunya).
"Saya tahu ramai yang kecewa dan saya juga kecewa dengan keputusan itu. Namun di GP Malaysia ini, saya akan buktikan yang saya boleh melakukannya," kata Damok yang menyertai pasukan VisionTrack Racing Team di GP Malaysia nanti.
Untuk rekod, Damok juga pernah menyertai saingan Moto3 musim lalu ketika menggantikan tempat John McPhee dalam pasukan PETRONAS Sprinta Racing dan berjaya menamatkan saingan di GP Aragon di kedudukan ke-13.
https://www.bharian.com.my/sukan ... cabaran-gp-malaysia |
|