View: 548|Reply: 0
|
Kekeliruan tentang Mikraj
[Copy link]
|
|
Kekeliruan tentang Mikraj
PERISTIWA Nabi SAW bermikraj memang benar-benar berlaku.
Ketika artikel ini ditulis, umat Islam hampir dengan ulang tahun tarikh Israk Mikraj yakni 27 Rejab yang merupakan salah satu daripada peristiwa besar yang disambut oleh umat Islam. Pusat Fatwa Mesir pada 3 Oktober 2018, memaparkan soalan pihak yang bertanya tentang kekeliruan yang berlaku berkaitan peristiwa tersebut khususnya mengenai Mikraj.
Berdasarkan soalan yang ditanya, sebahagian pihak cuba mengisbatkan wujudnya tempat bagi Allah SWT dan kedudukan-Nya adalah di arah atas. Mereka berdalilkan peristiwa Mikraj Nabi Muhammad SAW menuju ke langit menemui Allah SWT dan jarak secara fizikalnya menjadi hampir antaranya dan Allah SWT. Mereka juga mendakwa kedudukan malaikat yang bertugas menanggung arasy (hamalah al-'arsy) adalah lebih hampir dengan Allah SWT yang berada di atas arasy berbanding malaikat di langit kedua. Maka, apakah jawapannya untuk menjawab kekeliruan tersebut?
Jawapannya menurut Pusat Fatwa Mesir, telah menjadi kesepakatan ulama fekah, hadis, ulama kalam dan lain-lain bahawa Allah SWT tidak dibatasi pada mana-mana tempat dan arah. Mikraj bermaksud tinggi martabat, bertambah fadilat, kedudukan tinggi, mulia kedudukan dan seumpamanya. Ia bukan bermaksud menuju naik kepada Allah SWT secara fizikal dan jarak menjadi dekat dengan-Nya. Fahaman ganjil ini yakni mendakwa ketika Mikraj, Nabi SAW berkedudukan hampir jarak dengan-Nya hanya dipegang oleh golongan seperti Mujassimah, Mushabbihah dan sesiapa yang terpengaruh dengan ajaran mereka.
Berdalilkan peristiwa Mikraj Nabi SAW bertemu Allah SWT, begitu juga malaikat dan roh naik ke langit dengan faham bahawa semua itu mendekati jarak dengan Allah SWT merupakan manhaj yang salah dan merupakan perkara bidaah dolalah (perkara baharu yang sesat). Ia juga merangkumi fahaman yang salah ketika cuba menggunakan kaedah 'mengisbatkan apa yang diisbatkan oleh Allah SWT untuk diri-Nya'.
Di samping itu menurut Pusat Fatwa Mesir lagi, antara perkara yang termasuk dalam manhaj yang salah dan bidaah dolalah ialah fahaman menolak kaedah tafwid dan takwil. Mereka menyalahi ijmak ulama Islam di mana ia tidak pernah disebut oleh ulama muktabar yang sepanjang zaman menjaga agama Islam ini. Bahkan ia adalah perkara yang benar-benar jauh daripada maksud sebenar bagi syarak dalam mensucikan Allah SWT (taqdis dan tanzih).
Berdasarkan fatwa daripada pihak Pusat Fatwa Mesir ini, dapat difahami bahawa antara manhaj yang salah dan perkara bidaah dolalah ialah mendakwa Nabi SAW mendekati jarak fizikal dengan Allah SWT di langit berdasarkan kaedah 'mengisbatkan apa yang diisbatkan oleh Allah SWT untuk diri-Nya'. Adakah kaedah ini salah? Benar, kaedah ini tidak salah bahkan ini juga merupakan kaedah yang diamalkan oleh Ahli Sunah Waljamaah. Maka, apakah perbezaannya?
Antara perbezaannya adalah, golongan Mujassimah, Mushabbihah dan sesiapa yang terpengaruh dengan ajaran mereka seperti Salafi Jihadi dan Daish memahaminya dengan kaedah pengisbatan makna zahir atau ungkapan lain dalam bahasa Arab berbunyi zahiruhu murad (makna zahir literalnya, itulah yang dimaksudkan). Manakala kaifiatnya pula diserahkan kepada Allah SWT (tafwid kaifiyyat).
Contohnya, makna zahir atau literal bagi istawa adalah Tuhan duduk, bertempat atau berada di sana tetapi cara duduk, bertempat dan berada di sana bagi Allah SWT tidak sama dengan makhluk-Nya, maka inilah kaedah 'mengisbatkan apa yang diisbatkan oleh Allah SWT untuk diri-Nya' menurut dakwaan mereka. Mereka tidak menggunakan kaedah tafwid dan takwil menurut Ahli Sunah Waljamaah bahkan bagi mereka, kaedah tafwid dan takwil ini pula dianggap bidaah sedangkan itulah yang diamalkan oleh ulama salaf dan khalaf sepanjang zaman sehingga ke hari ini terjaga dengan baik diamalkan oleh majoriti ulama.
Jadi, kaedah 'mengisbatkan apa yang diisbatkan oleh Allah SWT untuk diri-Nya' dengan cara ini merupakan perkara bidaah dolalah kerana ada unsur tajsim. Inilah yang dimaksudkan oleh Pusat Fatwa Mesir berdasarkan ungkapan ithbat al-zawahir 'ala haqaiqiha allati tuhim al-tajsim bi da'wa ithbat ma athbatahu Allah li nafsihi, wa rafd al-tafwid wa inkar al-ta'wil (mengisbatkan lafaz-lafaz zahir secara hakikat maknanya yang literal yang memberi sangkaan penjisiman bagi Allah SWT dengan dakwaan bahawa ia merupakan kaedah mengisbatkan apa yang diisbatkan oleh Allah SWT untuk diri-Nya dan juga menolak tafwid dan mengingkari takwil).
Sebaliknya, kaedah Ahli Sunah Waljamaah merangkumi salaf dan khalaf yang sebenar ketika mempraktikkan kaedah 'mengisbatkan apa yang diisbatkan oleh Allah SWT untuk diri-Nya' ialah menggunakan kaedah tafwid, takwil dan zahiruhu ghair murad. Tafwid secara ringkasnya bermaksud menyerahkan maksud bagi lafaz mutashabihat itu kepada Allah SWT. Contohnya, Allah SWT yang lebih tahu maksud sebenar bagi lafaz istawa tersebut dan kita wajib beriman dengannya tanpa memilih apa-apa maksud bagi lafaz tersebut kerana bimbang tersilap dalam memahami sifat mutashabihat bagi Allah SWT.
Manakala, takwil secara ringkasnya bermaksud memalingkan lafaz mutashabihat itu daripada makna zahir literalnya dengan memilih makna yang lain asalkan ia layak bagi Allah SWT. Contohnya, mentakwilkan lafaz istawa dengan memalingkan makna zahir literalnya seperti 'duduk atau bertempat atas arasy', kepada pilihan maksud lain yang lebih layak seperti 'memerintah atau menguasai arasy'. Biasanya ia dilakukan ketika darurat akibat perkara bidaah tersebar luas, maka ulama terpaksa menggunakan takwil.
Di samping itu, berbeza dengan kaedah zahiruhu murad (makna zahir literalnya, itulah yang dimaksudkan) seperti yang diamalkan oleh golongan bidaah tadi, Ahli Sunah Waljamaah pula menggunakan kaedah lain iaitu zahiruhu ghair murad (makna zahir literalnya, bukan itu yang dimaksudkan). Ertinya, makna zahir literal seperti istawa bermaksud 'Allah SWT itu duduk atau bertempat', adalah tidak diterima dan bukan ini yang dimaksudkan oleh Allah SWT. Perlu diberi perhatian bahawa zahiruhu ghair murad dan tafwid merupakan kaedah disepakati ulama salaf dan khalaf. Salaf dan khalaf hanya berbeza pada aspek, sama ada hendak takwil atau pun tidak takwil sahaja.
Kesimpulannya, berdasarkan fatwa Pusat Fatwa Mesir ini dapat difahami bahawa kekeliruan yang berlaku dalam sebahagian masyarakat adalah disebabkan mereka salah faham dalam mempraktikkan kaedah yang sebenar dalam memahami peristiwa Mikraj. Elakkan diri daripada mempraktikkan kaedah golongan bidaah iaitu, mendakwa Nabi mikraj mendekati jarak dengan Allah SWT dan Dia bertempat atau berada di langit (kaedah zahiruhu murad) dan mendakwa hanya Allah yang tahu kaifiat bagaimana jarak tersebut atau macam mana Dia bertempat atau berada tempat tersebut (kaedah tafwid kaifiyyat).
Cara yang betul adalah menggunakan kaedah 'mengisbatkan apa yang diisbatkan oleh Allah SWT untuk diri-Nya' dengan menggunakan kaedah tafwid, takwil dan zahiruhu ghair murad. Dengan cara ini, kita faham bahawa peristiwa Nabi SAW bermikraj memang benar-benar berlaku tetapi bukan dengan maksud zahir literalnya Nabi SAW mendekati jaraknya dengan Allah SWT atau bukan dengan maksud Allah SWT bertempat di langit (kaedah zahiruhu ghair murad). Kita serahkan maksudnya kepada Allah SWT tanpa menterjemahkannya kepada apa-apa makna (kaedah tafwid) atau memilih makna yang sesuai seperti menyatakan bahawa Nabi SAW berkedudukan mulia di langit ketika menerima arahan solat daripada Allah SWT (kaedah takwil).
Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... ruan-tentang-mikraj
|
|
|
|
|
|
|
| |
|