CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 203|Reply: 0

Kulit teguh kuman tiada

[Copy link]
Post time 19-4-2023 06:18 PM | Show all posts |Read mode
Kulit teguh kuman tiada


MINUM air secukupnya untuk menjaga kesihatan kulit.


RAMAI yang tidak mengetahui bahawa puasa sebenarnya memberi banyak manfaat untuk kecantikan kulit.

Amalan berpuasa berfaedah untuk mengkalibrasikan (reboot) semua mikrobiom di dalam usus bagi membantu sistem imun secara keseluruhan termasuk sistem imun kulit.

Pakar Dermatologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Nazirin Ariffin berkata, kulit manusia memiliki sistem imun sendiri untuk melindungi daripada jangkitan kuman, sama ada bakteria, virus atau kulat.

Apabila sistem imun pada kulit teguh, maka akan kuranglah jangkitan kuman padanya.

"Untuk itu, adalah penting bagi memastikan sistem imun kulit sentiasa dalam keadaan baik terutama kepada mereka yang mengalami penyakit kulit, seperti kulit sensitif, ekzema, psoriasis, jerawat dan sebagainya.

"Ini kerana fungsi kulit sebagai perisai semula jadi sudah terjejas disebabkan masalah kulit yang mereka sedang hadapi dan secara tidak langsung mereka akan lebih terdedah kepada jangkitan kuman pada kulit," katanya.

Menurut Dr Nazirin, berpuasa juga boleh mencetus proses autofagi atau dalam istilah lain, pembersihan automatik diri sendiri, di mana sel lama yang sudah rosak akan dihapuskan untuk memberi ruang kepada sel-sel baru dan sihat.

Katanya, proses itu berlaku kepada seluruh badan, termasuk kulit.

"Dalam proses itu, kulit lama akan diganti dengan kulit baharu dengan lebih cekap semasa kita berpuasa, sekali gus menjadikan kulit lebih berseri," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dr Nazirin, ada juga yang mengalami masalah kulit kering, jerawat, kusam dan tidak bermaya ketika menjalani ibadah berpuasa.

Ia berlaku disebabkan masalah dehidrasi kerana hanya ada peluang sekitar lapan jam sahaja untuk menggantikan kehilangan air yang berlaku secara semula jadi akibat berpeluh, buang air kecil dan sebagainya.

"Apabila berlakunya dehidrasi kronik selama sebulan kerana kurang minum air, ia bukan sahaja menyebabkan kulit kering dan kusam, tetapi badan juga akan menjadi cepat penat, kurang tenaga dan stamina.

"Jika tidak diatasi, masalah dehidrasi boleh menjejas kesihatan buah pinggang, risiko batu karang dan pitam serta tekanan darah rendah," katanya.

Justeru, kata beliau, pengambilan air kosong yang secukupnya penting sepanjang berpuasa Ramadan.

Ini kerana, keadaannya berbeza dengan 'intermittent fasting' di mana kita boleh minum walaupun ketika sedang berpuasa daripada makanan dan masalah dehidrasi itu tidak berlaku.

"Oleh itu, penting untuk kesihatan secara keseluruhan dengan mengambil minuman lapan gelas sehari ketika waktu yang dibenarkan makan dan minum (sepanjang Ramadan).

"Ini kerana kita berpuasa untuk sebulan, bukan sehari dua," katanya.

Sementara itu, bagi mengelakkan bibir kering dan pecah sepanjang Ramadan, Dr Nazirin menyarankan orang ramai supaya mengambil air kosong sebanyak mungkin ketika waktu berbuka dan bersahur.

Selain itu, sapu pelembap bibir sekerap mungkin dan elakkan dari menjilat bibir yang kering kerana air liur mengandungi enzim yang boleh menyebabkan iritasi pada bibir dan kulit.

"Akhir sekali, jangan lupa makan makanan seimbang terutama sayur-sayuran dan buah buahan ketika berbuka serta bersahur untuk mendapatkan protein, vitamin dan mineral yang diperlukan bagi membantu mengekalkan kesihatan kulit dan bibir," katanya.


Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/202 ... t-teguh-kuman-tiada

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-5-2024 09:13 PM GMT+8 , Processed in 0.259839 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list