JITRA: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan pembinaan Masjid Changlun, di sini, menggembirakan jemaah selepas tergendala lebih tiga tahun lalu.
Jemaah, Zul Hasan, 68, berkata masjid yang dipercayai berusia 100 tahun itu sememangnya memerlukan ruang solat lebih luas berikutan pertambahan penduduk Changlun yang semakin ramai.
"Buat kali pertama saya menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Changlun ketika berusia lapan tahun. Kini saya sudah bersara dan masih mengerjakan solat di masjid ini.
"Masjid ini sudah wujud sebelum saya dilahirkan, mungkin pada awal 1900-an dan dengan pengumuman Perdana Menteri semalam, jemaah di sini akan dapat solat di ruang yang lebih luas," katanya ketika ditemui di masjid berkenaan yang turut dikenali sebagai Masjid Ihya Ulumuddin.
Zul berkata, dia sangat berharap masjid lama itu dapat dikekalkan sebagai tapak warisan kerana tempatnya yang istimewa di hati penduduk setempat.
Semalam, media melaporkan kerajaan bersetuju untuk meneruskan pembinaan Masjid Changlun, Kedah dengan tambahan peruntukan sebanyak RM3.07 juta menjadikan keseluruhan kos pembinaan berjumlah RM5.77 juta.
Sementara itu, timbalan pengerusi masjid berkenaan, Zainol Abidin Mohamad, 64, berkata perancangan pembinaan masjid baharu itu sudah pun dibuat pada Februari 2018.
Bagaimanapun, pembinaan yang dirancang ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tergendala pada 2020 akibat pandemik COVID-19.
Dia turut berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengisytiharkan masjid lama Changlun sebagai tapak warisan.
"Jika boleh kami nak kekalkan masjid lama ini juga, sebelum ini kami sudah belanjakan lebih RM200,000 untuk pengubahsuaian.
"Masjid ini juga selalu menjadi tumpuan kumpulan konvoi motosikal berkuasa tinggi dan pelancong yang keluar masuk Malaysia-Thailand melalui Bukit Kayu Hitam," katanya.
Imam masjid, Hasrul Hasan, 37, pula berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan keperluan penduduk di Changlun.