ADUN pernah jadi KM dua penggal tidak boleh dilantik semula
oleh SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI 05 Mei 2023 12:40pm

Kon Yeow
GEORGETOWN - Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pernah memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal tidak boleh dilantik semula untuk memegang jawatan tersebut.
Ia termasuk ADUN Air Putih, Lim Guan Eng yang menjawat jawatan tersebut selama dua penggal iaitu sejak 2008 sehingga 2018.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, merujuk kepada peruntukan Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, ia jelas memperuntukkan bahawa Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan orang yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Ketua Menteri bagi dua penggal.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Guan Eng yang juga Pengerusi DAP kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.
Laporan portal itu turut menyebut pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan diadakan Selasa.
|