Bayan Lepas: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang sudah kuarantin 543 burung bagi mencegah kemasukan penyakit haiwan serta zoonotik sepanjang 2022 hingga April lalu.
Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, pengambilan sampel terhadap burung itu antaranya dari Singapura dan Republik Czech itu dilakukan sehari selepas kemasukan unggas terbabit di Stesen Kuarantin MAQIS Batu Maung di sini.
"Mana-mana unggas kesayangan seperti burung kakak tua dan nuri yang dibawa masuk ke negara ini perlu menjalani prosedur kuarantin dengan tempohnya ditentukan berdasarkan analisis risiko ke atas spesies burung serta negara asal.
"Lazimnya, sampel calitan kloaka bagi burung yang dikuarantin akan diambil untuk saringan ujian Avian Influenza (AI) dan Newcastle Disease (ND)," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Muhammad Ikram menjelaskan jika hasil ujian didapati positif burung terbabit akan dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, tindakan membawa masuk haiwan hidup yang berpenyakit adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam tahun atau denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.