|
PETALING JAYA – Giginya patah, kakinya pula bengkok, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang menjadi mangsa dera di Negeri Sembilan baru-baru ini berkemungkinan terpaksa membesar dalam keadaan tidak sempurna.
Perkara itu dimaklumkan ibu kandung mangsa yang memberitahu anaknya mendakwa dia pernah ditumbuk di bahagian muka sehingga menyebabkan gigi hadapannya patah.
Foto: Kosmo
“Dia (anak) mungkin terpaksa memakai gigi palsu. Kakinya juga bengkok sedikit. Saya tidak dapat memastikan punca sebenar kerana alasan pihak sana sentiasa berubah. Ada yang kata dia terjatuh basikal, namun ada pula yang cakap anak saya dipukul guna paip getah.
“Walau apapun yang berlaku, saya bersyukur kerana keadaan dia sekarang semakin baik walaupun apabila berjalan kakinya bengkok sedikit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut wanita itu, laporan mengenai keadaan organ dalaman anaknya dijangka diketahui tidak lama lagi sebelum tindakan selanjutnya termasuk pembedahan.
“Buat masa sekarang, anak saya perlu dipantau pasukan perubatan Hospital Tunku Ampuan Najihah, Kuala Pilah bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kecederaan dalaman.
“Perut anak saya juga keras dan membengkak. Dia mengadu sakit lepas makan jika diambil dalam kuantiti yang banyak. Doktor juga sudah membuat imbasan pada perutnya semalam (kelmarin),” ujarnya.
Tambah wanita itu, anaknya dijangka ditempatkan di wad selama dua ke tiga minggu lagi bagi memastikan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak itu pulih sepenuhnya.
Wanita berusia 26 tahun itu bercadang untuk untuk membawa anaknya pulang ke Sarawak selepas rawatan selesai.
“Buat masa ini saya dinasihatkan untuk tidak berhubung dengan mana-mana peguam. Saya mahu bawa dia pulang ke Sarawak, selepas itu baru selesaikan perkara lain. Saya juga menerima lawatan daripada peguam yang memberikan sokongan emosi,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan tindakan seorang kanak-kanak lelaki lari dari rumah berjaya membongkarkan kejadian dera yang dilakukan bapa kandung serta ibu tiri mangsa sejak Mac lalu.
Mangsa mendakwa selain didera fizikal, dia turut diberikan nasi putih bersama dengan garam, cili dan lada hitam sehingga menyebabkan bibir kanak-kanak itu luka. -CARI
Sumber: Kosmo |
|