|
KUALA LUMPUR: Kurang kasih-sayang dan penghayatan agama, keterbezaan pendidikan, kecelaruan gender, dendam dan pengaruh internet, antara punca kes buli di sekolah seperti yang disenaraikan dalam Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam senarai itu, KPM menyatakan empat faktor utama terjadinya salah laku itu iaitu faktor keluarga, individu, persekitaran dan pengaruh media.
"Bagi faktor keluarga, ia berpunca akibat kurang didikan dan penghayatan agama atau moral, kurang perhatian dan kasih sayang, keterbezaan gaya didikan, peniruan gaya hidup dalam keluarga, kurang pemantauan.
"Faktor individu pula adalah saiz badan, panas baran, dendam kerana pernah dibuli, kecelaruan gender, konsep kendiri yang rendah dan inginkan perhatian.
"Faktor persekitaran adalah mahu pengiktirafan rakan sebaya, institusi masyarakat yang kurang prihatin; manakala fakor pengaruh media membabitkan rancangan atau program bercorak keganasan, bahan negatif melalui internet dan permainan video yang menjurus kepada keganasan," katanya.
KPM juga menyatakan, mangsa buli akan berkemungkinan mengalami kesan jangka pendek dan panjang dalam tiga aspek iaitu fizikal, emosi dan dan tingkah laku.
"Kesan kepada fizikal membabitkan masalah kesihatan seperti selesema, sakit belakang, sesak nafas, kecederaan seperti lebam atau luka, gangguan tidur, keletihan dan hilang selera makan.
"Bagi kesan kepada emosi pula membabitkan tekanan emosi, ketakutan, kebimbangan, kemurungan, rasa rendah diri dan rasa terancam.
"Kesan kepada tingkah laku adalah kehadiran ke sekolah merosot, kurang keyakinan diri, prestasi pelajaran merosot dan masalah penyesuaian diri," katanya. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|