Edited by YgBenar at 21-2-2024 06:41 PM
Kuala Lumpur: Niat baik seorang jurusolek membantu memegang beg milik rakannya di lapangan terbang bertukar mimpi ngeri apabila dipenjara selama 30 hari oleh pihak berkuasa China kerana dikatakan membawa ubat-ubatan tradisional.
Menceritakan pengalaman itu, Lisa Lim, 45, berkata, dia dan rakannya dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas bercuti di Kunming, China pada 7 Januari lalu. "Ketika berada di lapangan terbang, seorang rakan dikenali sebagai Datin Ng meminta saya memegang beg miliknya kerana kononnya dia ada bagasi lain untuk dibawa.
"Tanpa memikirkan apa-apa, saya membantu membawa beg itu sebelum dihalang pihak berkuasa lapangan terbang di pusat pemeriksaan imigresen. "Pemeriksaan dilakukan menemui sejumlah besar ubat Cina yang dimampatkan dalam bentuk pil," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini
Lisa berkata, meskipun anjing pengesan tidak mengesan sebarang dadah dalam beg berkenaan, pihak berkuasa China masih menahannya. Menurut Lisa, rakan-rakannya meninggalkan dia di lapangan terbang itu dan terus menaiki penerbangan pulang ke Malaysia, hari sama.
"Saya diberitahu akan dibebaskan dalam tempoh tiga hari, tetapi ditahan di dalam lokap selama 30 hari sebelum dibebaskan pada 7 Februari lalu dan pulang ke Malaysia keesokannya.
"Saya dibebaskan selepas pihak berkuasa China berpuas hati bahawa beg berkenaan tidak mengandungi sebarang dadah. "Sepanjang tempoh 30 hari ditahan, saya tidak dapat menghubungi keluarga dan rakan-rakan sehingga timbul spekulasi saya terbabit dengan kegiatan jenayah," katanya.
Lisa berkata, sebaik tiba di Malaysia, dia bertemu dengan Datin Ng bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara berkenaan. "Namun, dia seolah-olah tidak kisah dengan apa yang berlaku dan menafikan ada membawa ubat-ubatan di dalam beg berkenaan.
"Malah, rakan lain yang turut bersama dalam percutian itu meminta saya untuk melupakan insiden yang berlaku (ditahan pihak berkuasa China)," katanya. Sementara itu, Michael Chong berkata, pengalaman pahit ditahan pihak berkuasa China itu merosakkan reputasi Lisa dan menyebabkan tekanan besar terhadap dirinya serta keluarga.
"Lisa bernasib baik kerana dibebaskan dan tiada dadah ditemui dalam beg berkenaan. Dalam kes ini, dia tidak menyalahkan pihak berkuasa China kerana tahu mereka hanya menjalankan tugas mereka.
"Namun, tindakan rakannya dikenali sebagai Datin Ng itu sangat tidak bertanggungjawab kerana tidak kisah dan tidak mengambil berat dengan yang berlaku," katanya.
James Ee pula menasihati Lisa untuk meneliti sekiranya mahu mengambil tindakan saman terhadap rakannya dikenali sebagai Datin Ng. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1062576/mimpi-ngeri-bantu-pegang-beg-datin
|