|
Keyrol Figueroa, 17, menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama Liverpool. - Foto AGENSI
LIVERPOOL: Liverpool menandatangani penyerang bintang berpotensi untuk kontrak profesional pertamanya.
Penyerang muda itu adalah anak kepada bekas pemain Liga Perdana Inggeris.
Ketika bermain untuk skuad bawah 14 tahun The Reds, pemain berkenaan meledak 90 gol dalam satu musim.
Dia juga mewakili skuad remaja Amerika Syarikat dan meledak tujuh gol untuk membantu skuad bawah 17 tahun negara itu mara ke final Kejuaraan CONCACAF B-17 tahun lalu, sebelum tewas kepada Mexico.
Dia turut beraksi di Piala Dunia B-17, mara hingga ke peringkat 16 akhir.
Pemain berkenaan adalah Keyrol Figueroa, 17, anak kepada Maynor Figueroa, yang mengumpul 214 penampilan untuk Wigan Athletic dan Hull City antara tahun 2008 hingga 2015.
Figueroa menyertai akademi Liverpool sebagai pemain bawah 14 tahun dan membuat penampilan sulung dalam skuad bawah 18 tahun pada musim 2021-22, ketika masih beraksi untuk skuad bawah 16.
Dia meledak tiga gol bersama skuad Liga Perdana Inggeris B-18 dan akan menyertai skuad B-23 tidak lama lagi.
Bapanya, Maynor, menjaringkan 22 gol sepanjang 585 penampilan di peringkat kelab.
Bagaimanapun karier antarabangsanya untuk Honduras lebih cemerlang apabila mengumpul 181 kap berdasarkan data FIFA.
Ia melebihi kap Lionel Messi untuk Argentina dan menjadikannya pemain ketujuh dalam senarai kap antarabangsa tertinggi sepanjang zaman.
Liverpool mempunyai tradisi menampilkan pemain-pemain muda berbakat, antaranya Jarell Quansah dan Conor Bradley yang tampil cemerlang musim ini dan sering membarisi kesebelasan utama. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... profesional-pertama |
|