Kulim: "Saya sedih sangat-sangat selepas hilang dua cucu selang dua hari namun saya reda walaupun saya jaga mereka sejak lahir lagi," kata Saadiah Yaacob, 62.
Saadiah adalah nenek kepada Muhammad Akil Syauqi, 3, dan Muhammad
LuthSyauqi, 2, yang meninggal dunia selepas makan keropok beracun di kawasan kebun milik penduduk kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
Menurutnya, dia masih teringatkan keletah dua beradik itu yang dijaganya sejak lahir ketika ibu mereka keluar bekerja di sebuah kilang di Kulim.
"Makcik reda semua yang berlaku, dah sampai ajal mereka dah.
"Sebelum ini, masa hari kejadian, makcik berdoa sepanjang waktu solat supaya keduanya kembali sihat tetapi sampai masa mereka nak pergi jua, kami relakan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Saadiah berkata, dia sebelum ini sanggup bermalam di Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mengetahui perkembangan dua cucunya itu dan tidak menyangka mereka akan pergi buat selamanya.
Katanya, jenazah Muhammad Luth akan dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Padang Ubi, di sini terlebih dulu sebelum dibawa ke Kampung Banggol Berangan, Baling untuk dikebumikan.
Katanya, jenazah cucunya itu akan dikebumikan berhampiran abangnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan.
Media sebelum ini melaporkan, dua beradik itu kritikal selepas muntah, menggelupur dan mulut berbuih pada jam 11 pagi Ahad lalu selepas makan keropok beracun dan disedari ibu mereka, Nurain Hasnorizal, 25, sebelum membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau.
Bagaimanapun keadaan mereka semakin kritikal dan dihantar ke Hospital Kulim sebelum dipindahkan ke HPP.
Muhammad Akil Syauqi disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 pagi Rabu lalu ketika menerima rawatan di HPP.