BUTTERWORTH: Seorang ibu kepada tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 28 pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat lebih RM580,000 pada dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Fatin Atikah Abdul Halim, 35, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, Fatin Atikah yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif akaun dan pentadbiran kepada syarikat Mihasi Enterprise (M) Sdn Bhd, melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM581,492.45 secara berperingkat ke dalam akaun bank miliknya.
Kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di premis Jalan Pengkalan MK6 Bukit Tengah dalam daerah Seberang Perai Tengah antara April 2022 hingga Jun 2023 dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun serta boleh didenda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Mukmin Aimi Azmi.
Ketika prosiding, Syafiq Nasrullah merayu jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh perlu menyara anak berusia empat hingga lapan tahun, selain suaminya hanya bekerja pemandu lori dengan gaji RM1,500 sebulan.
Pada masa sama, tertuduh juga berjanji menuruti segala syarat ditetapkan mahkamah sehingga kes perbicaraan selesai.
Hakim kemudian menawarkan jaminan RM75,000 terhadap semua pertuduhan dihadapi tertuduh dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 23 Ogos ini untuk serahan dokumen.