KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat nelayan, termasuk tiga warga Thailand disyaki menangkap ikan di perairan Perlis dengan menaiki dua bot nelayan asing tanpa nombor pendaftaran, dan merampas hasil tangkapan dianggarkan bernilai lebih RM20,000, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata kedua-dua bot nelayan berkenaan dikesan di dua lokasi berasingan membabitkan kedudukan 7.0 dan 7.3 batu nautika dari barat Kuala Perlis.
"Ketika kejadian, bot ronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan Op AMAN di sekitar perairan Perlis sebelum menghampiri bot terbabit kerana dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
"Pasukan mendapati ada dua bot nelayan asing tanpa nombor pendaftaran berlegar di kawasan berkenaan sebelum menahan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan, mereka disyaki sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika ditahan.
"Kedua-dua bot nelayan itu masing-masing dikemudi tekong warga tempatan dan warga Thailand serta terdapat dua awak-awak warga Thailand berusia antara 27 hingga 41 tahun.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dan sebagainya oleh bot penangkapan ikan asing di perairan perikanan Malaysia, tertakluk kepada subseksyen (2) iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan.
"Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, kesemua hasil tangkapan dianggarkan bernilai lebih RM20,000 serta empat suspek terbabit dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.