Yan: Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika menjala udang di Kampung Seberang Tandop, Kuala Sala di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa, Ahmad Hashim, 71, yang beralamat di Kampung Seberang Kuala Sala, Kota Sarang Semut itu belum ditemukan setakat ini.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku 6 petang semalam.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Yan serta Alor Setar.
"Bomba memulakan pencarian atas permukaan sungai sepanjang Sungai Kuala Sala menggunakan konsep pusingan bot di kawasan kejadian.
"Selaman dilakukan oleh tiga anggota pasukan APM berdekatan lokasi terakhir mangsa dilihat tenggelam, " katanya ketika dihubungi hari ini.
Shahnaz berkata, operasi pencarian mangsa diteruskan hari ini.